was successfully added to your cart.
artikelpenulisan

6 Persediaan Penulis Sekiranya Mahu Menghantar Manuskrip Kepada Penerbit

By May 26, 2017 No Comments

Eh sebentar. Bukan penulis kerjanya hanya menulis sahajakah?

Silap itu. Penulis perlulah ada strategi untuk memastikan manuskripnya menjadi pilihan hati penerbit.

Ok, hadamkan semua tips ini betul-betul!

 

1. Apakah istimewanya manuskrip kita sehingga penerbit perlu terbitkan?

Jika ia sekadar tulisan yang baik, diluar sana juga ada banyak karya-karya yang baik. Jika ia sekadar ada nilai yang baik atau mesej yang baik, semua karya ada mesej tersendiri. Jadi apa lebihnya kita dari manuskrip orang lain?

Anda rasa, kenapa penerbit perlu pilih karya anda, bukan orang lain?

Misalnya, jika karya kita diletakkan dalam kelompok buku yang hampir sama tema dan genre tulisan kita, pada anda apa lebihnya karya anda berbanding yang lain?

Bunyi macam berlagak pula. Tetapi bukan suruh anda berlagak, tapi mampu mengenalpasti kekuatan pada manuskrip kita.

Pokoknya, apakah ‘outstanding value’ yang akan kita usulkan kepada penerbit nanti?

 

2. Apakah latar belakang penerbit yang kita sasarkan?

Pengalaman menjadi pembantu editor, antara solan yang kerap ditanya ialah;

“Boleh tahu, syarikat XXX terbitkan buku yang bagaimana?”

Tercuit sebentar hati para editor mendengarnya. Tercuit kerana pihak editor kemudiannya tertanya dalam hati; “Awak ni pernah belek buku-buku kami atau tidak?”

Tetapi tidak apalah, pihak penerbit biasanya layan juga soalan begitu dengan menyuruh si penanya membaca buku-buku yang telah diterbitkan supaya si penanya memahami latar belakang dan stail penerbit tersebut.

Syarikat penerbitan FIXI pernah berhadapan dengan situasi yang hampir sama;

“Salam FIXI, kalau saya nak publish buku kata-kata nasihat, pihak korang boleh tolong tak? :)”

Lalu pihak FIXI menjawab; “Anda dinasihati cari penerbit lain kalau begitu. :)”

Setiap penerbit ada personaliti dan stail masing-masing berdasarkan pada buku-buku yang diterbitkan, bahkan genre yang dipilih setiap penerbit juga berbeza.

Kajian akan menjimatkan masa kita nak tahu penerbit mana yang sesuai untuk manuskrip kita.

Kalau manuskrip tentang perbahasan fiqh muamalat, tidak sesuai hendak hantar kepada syarikat Legasi Oakheart. Kalau manuskrip novel bahasa Inggeris, tidak sesuai hendak dihantar kepada Alaf21. Kalau manuskrip kumpulan puisi, tidak sesuai dihantar kepada IlhamBooks.

Manuskrip yang betul untuk penerbit yang betul.

 

3. Bagaimana seharusnya etika ketika kita menghantar manuskrip?

Sebenarnya, tidak susah pun. Cari macam mana nak hantar manuskrip, cari emel, kepilkan manuskrip, hantar.

Tapi editor pun pening kepala juga apabila emel ini dihantar tanpa common sense. Sudah jadi uncommon sense pula, jadi kena cakap juga.

Ambil perhatian semua!

a) Tajuk emel. Jangan apabila editor menerima emel tersebut, ia tertera – “No subject”. Stres editor dibuatnya. Ini manuskrip ke spam? Biasanya emel begini takdirnya ialah kena delete.

b) Pengenalan ringkas & tujuan. Anda bayangkan ada seseorang yang tidak dikenali datang ke rumah anda dan berikan sebuah bungkusan tanpa memperkenalkan diri dan menyatakan kenapa dia datang dan berikan bungkusan itu. Samalah seperti menghantar emel yang ada manuskrip tetapi tiada pengenalan ringkas dan tujuan hantar.

c) Elakkan bahasa pasar. Gunalah bahasa pengantar yang standard mengikut penerbit dan kekalkan formaliti. Jangan pula tiba-tiba emel sudah ‘bro’, ‘sis’, ‘hai’, macam kawan-kawan pula (walaupun editor itu kawan sendiri, jangan buat begitu ya!)

d) Emel dan manuskrip ditulis dengan ejaan penuh. Jangan semuanya ditulis dengan short form pula, boleh darah tinggi editor melihatnya!

e) Terakhir, jangan terlupa kepilkan manuskrip pula!

 

4. Selepas hantar manuskrip, jangan tergesa-gesa dan tidak sabar

Biasanya lepas emel manuskrip diterima, editor akan beritahu tempoh penilaian. Almaklumlah editor ini juga manusia, bukan robot yang boleh nilai manuskrip dengan imbas lalu sekelip mata.

Contohnya, ada penerbit yang perlu 3 bulan untuk tempoh penilaian. Kalau baru seminggu berlalu, tidak perlulah tanya dah baca ke belum. Dah 3 bulan barulah emel kembali.

Sesetengah penerbit beritahu jika tiada khabar selepas tempoh sekian sekian, maknanya manuskrip tersebut tidak diterima. Harapnya jangan ada yang mengamuk pula kenapa tidak beritahu manuskrip ditolak.

Oh ya, sebelum terlupa, kalau mahu hantar manuskrip, hantar satu penerbit dulu dan tunggu keputusannya dahulu. Kalau ditolak, barulah hantar ke penerbit lain. Kalau hantar satu manuskrip ke 10 penerbit dalam satu masa, penerbit akan rasa; “Dia ni serius ke tidak dengan kita?”

Bayangkan dalam 10 penerbit itu ada 5 penerbit yang terima, kita perlu tolak 4 penerbit. Editor dari 4 syarikat penerbit itu bengang juga, penat-penat dia baca, nilai, bawa ke dalam mesyuarat sama ada hendak terima atau tidak, apabila diterima sekali tidak jadi pula. Em, jangan buat begini ya. Sabar itu penting!

5. Permintaan kepada penerbit

Antara penulis dan penerbit, biasanya akan ada perbincangan bersama untuk persetujuan masing-masing sebelum karya diterbitkan.

Yang anehnya apabila manuskrip belumpun diterima sudah demand macam-macam kepada penerbit. Aduh, berbelah bagi penerbit mendengarnya.

Contohnya bertanya tentang pembayaran royalti sedangkan manuskrip belum diterima untuk diterbitkan, masih di tahap penilaian.

Anda kena pastikan karya anda diterima, barulah kita sembang ke fasa seterusnya. Ok?

 

6. Sekiranya manuskrip tidak diterima?

Sekiranya tidak diterima, bukanlah bermakna anda tidak pandai menulis. Bukan begitu, pihak penerbit ini semua baik-baik orangnya.

Apa yang perlu dilakukan sekiranya manuskrip tidak diterima, ialah kita jangan berputus asa.

Ramlee Awang Murshid (RAM) pernah berkongsi sewaktu mula-mula beliau menulis, buku pertamanya langsung tidak mendapat sambutan, sampai ada satu tahap kedai-kedai buku langsung tidak mahu meletakkan buku RAM di rak kedai mereka. Jika RAM berputus asa selepas buku pertamanya, tiadalah siri Sunan tulisan beliau yang terkenal itu di pasaran dan tiadalah gelaran novelis thriller no.1 Malaysia padanya.

Apabila hendak menghantar manuskrip, bersedia secara mental yang karya kita mungkin ditolak walaupun sudah banyak persediaan kita lakukan. Paling penting, jangan putus asa menulis!

 

***

Perjalanan mahu karya kita diterbitkan memang perlu menempuh jalan yang menuntut kesabaran dan ketabahan.

Jadi, selamat menulis dan menghantar manuskrip!

Syeraho

Author Syeraho

Pembantu editor di Iman Publication Sdn Bhd.

More posts by Syeraho