was successfully added to your cart.

Bagi seorang penulis, ketandusan idea atau sindrom dipanggil ‘writer’s block’ sering mengganggu progres menulis dan kadang menghalang seseorang memulakan suatu penulisan.

Bagaimana hendak mengatasi masalah ini?

Austin Kleon dalam bukunya bertajuk Steal Like An Artist telah meletakkan 10 langkah bernas bagaimana hendak mencungkil kreativiti. Dalam artikel ini, saya akan bincangkan langkah pertama iaitu bagaimana hendak menjana idea.

Langkah #1 – Bagaimana hendak mencari idea? Curi.

Austin Kleon pernah ditanya; “Where do you get your ideas?

I steal them,” jawab beliau.

Kita kadang-kadang terperangkap dengan gaya pemikiran; “Apakah idea yang terbaik?” sedangkan menurut Austin Kleon, proses mencari idea itu bermula dengan memikirkan – apakah idea yang berbaloi untuk di’curi’?

Dalam erti kata lain, langkah pertama yang harus dilakukan ialah kumpulkan segala idea-idea yang menarik. ‘Curi’ seberapa banyak idea yang menarik.

‘Plagiat’ yang tidak dikesan

Sebuah idea yang dikatakan original menurut Austin Kleon, ialah hasil yang tercipta melalui idea-idea yang lalu.

Kata William Ralph Inge; “What is originality? Undetected plagiarism.

Untuk seorang penulis menghasilkan sebuah karya, mereka tidak dapat lari daripada keperluan melihat hasil karya orang lain, ‘mencuri’ seberapa banyak idea pada karya-karya yang ada dan menerbitkan idea kita yang tersendiri.

Kajian yang banyak dan mendalam

Untuk ‘mencuri’ idea, kita tidak boleh mencuri dari satu sumber sahaja. Itu ialah plagiat sepenuhnya, dan ia salah. ‘Mencuri’ idea memerlukan kita melakukan banyak kajian, bacaan, rujukan, dan pengalaman.

Saya pernah bersembang dengan Muharikah; “Kenapa agaknya idea susah nak datang?”

“Sebab kamu kurang membaca, itu sahaja,” balas beliau.

Supaya idea tidak hilang

Di sinilah pentingnya membawa buku nota kecil atau aplikasi nota dalam telefon bimbit untuk mudahkan kita segera tulis apa sahaja idea menarik.

Apa sahaja, rasa-rasa ia menarik, ‘curi’ dan simpan dalam nota anda!

Nota: InsyaAllah akan ditulis lagi 9 langkah lain yang telah dinukilkan oleh Austin Kleon dalam bukunya Steal Like An Artist. Nantikan!

Syeraho

Author Syeraho

Pembantu editor di Iman Publication Sdn Bhd.

More posts by Syeraho