was successfully added to your cart.

Individu kreatif perlukan seseorang untuk berkongsi dan berbincang mengenai idea.

 

Kebiasaannya, individu kreatif tidak mencari jawapan atau solusi daripada sesi perkongsian dan perbincangan itu.

Sebaliknya, dia sekadar mahu mengeluarkan idea, pendapat, atau kajian yang terlalu banyak dalam kepalanya, kemudian hadam kembali agar dia lebih faham mengenai kesemuanya. Individu kreatif sentiasa mempunyai idea-idea yang pelik dan luar biasa. Individu kreatif tidak selesa sekiranya setiap kali dia kemukakan idea, rakan perbincangannya sibuk mengkritik atau mengemukakan pendapat yang rasional.

Orang atau kumpulan yang diperlukan individu kreatif ini perlulah mempunyai tahap Keselamatan Psikologi yang tinggi (sepertimana yang dilaporkan oleh para penyelidik Google dalam Projek Aristotle).

Keselamatan psikologi adalah persepsi individu terhadap akibat mengambil risiko terhadap hubungan sesama ahli pasukan.

Pasukan yang mempunyai keselamatan psikologi yang tinggi membuatkan individu rasa selamat untuk mengambil risiko sesama ahli pasukan. Mereka yakin tiada siapa dalam pasukan itu akan memalukan atau menghukum seseorang kerana mengakui kesilapan, bertanyakan soalan, atau mengajukan idea.

Bagaimana mencari individu atau kumpulan yang mempunyai tahap keselamatan psikologi tinggi?

 

Salah satu caranya adalah menyertai syarikat yang meraikan idea, seperti Google. Syarikat-syarikat sebegini kebiasaannya akan berusaha gigih untuk menonjolkan aspek kreatif dan ‘cool’ mereka bagi menarik individu-individu kreatif untuk menyertai mereka.

Selain itu, anda juga boleh menyertai program-program yang bersifat hangout dan menghimpunkan individu kreatif, seperti Momentum oleh The Vocket. Secara peribadi, saya berpendapat seminar dan bengkel penulisan bukanlah program untuk anda bebaskan daya kreatif. Seminar dan bengkel penulisan lebih berfokus pada pengasahan kemahiran penulisan.

Akhir sekali, anda boleh memohon sesi perjumpaan dengan individu-individu kreatif yang dikenal pasti melalui penulisannya di medium seperti Facebook, blog, atau buku. Secara peribadi, saya menulis buku saya (seperti Aku Hamasah As-Syabab) dan blog agar para pemuda tahu mereka boleh berjumpa saya dan saling berbincang mengenai idea-idea menarik mereka.

Author Afiq Sazlan

More posts by Afiq Sazlan