was successfully added to your cart.

Menurut buku Sayonara Jahiliah tulisan Muharikah, terdapat 4 jenis jahiliah yang terkandung di dalam Al-Qur’an.

Terdapat 2 jenis jahiliah yang berkaitan dengan masalah hati, dan 2 jenis lagi berkaitan dengan amalan luaran.

“Al-Haq (Kebenaran) itu berat namun lazat kesannnya. Sedangkan kebatilan itu ringan namun buruk kesannya. Betapa banyak syahwat sesaat yang mewariskan kesedihan yang berpanjangan.” (Abdullah bin Mas’ud)

Sangkaan Jahiliah

Dinukilkan dalam surah ali ‘Imran ayat 154:

“…sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang Jahiliah. Mereka berkata: Adakah
bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?…”

Diceritakan oleh Abu Thalhah dalam sebuah hadis riwayat Imam at-Tirmizi, an-Nasai dan al-Hakim;

“Aku angkat kepalaku pada waktu Perang Uhud, lalu aku lihat ke sana ke mari, namun tidak ada seorang daripada kami pada waktu itu melainkan berada dalam keadaan terhuyung-hayang kerana mengantuk.”

Lihatlah apa yang berlaku kepada golongan munafik atau mereka yang baru masuk Islam tetapi masih belum mantap imannya. Mereka mengalami kegoncangan hati yang amat dahsyat.

Mereka menuju bersama kaum Muslimin ke medan jihad barangkali semata-mata untuk mendapatkan ghanimah, menjaga air muka atau kerana terpaksa.

ring-n-watchKetika berlakunya serang hendap yang mengakibatkan kekalahan umat Islam di dalam peperang Uhud, mereka menjadi sangat ragu-ragu dengan Allah. Hati mereka mula goyah untuk bergantung sepenuhnya kepada Allah. Malah, mereka berasa kesal kerana ikut serta dalam peperangan tersebut.

Mereka bersangka kepada Allah, seperti mana sangkaan jahiliah. Dan berasa Allah mengabaikan mereka. Juga berasa Allah tidak membantu dan menolong mereka serta membiarkan mereka menjadi mangsa orang-orang kafir.

Ada yang terfikir untuk berhubung dengan Abdullah bin Ubai, ketua orang munafik untuk mendapat perlindungan daripada serangan Abu Sufian. Sedangkan hakikatnya mereka buta bahawa kekalahan sementara di medan Uhud itu adalah tapisan yang Allah berikan untuk membezakan antara golongan beriman dan tidak beriman.

“Jika Allah menolong kamu, maka tiadalah yang dapat mengalahkan kamu, jika Allah membiarkan kamu (tidak memberikan pertolongan) maka siapakah yang dapat menolong kamu selain Allah.” (Ali Imran 3: 160)

Kesombongan Jahiliah

Ini dimaksudkan dengan perasaan ego yang tinggi sehingga tidak mahu menerima kebenaran. Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Fath ayat 26:

“Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliah lalu Allah menurunkan ketenangan kepada Rasul-Nya, dan kepada orang-orang Mukmin dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat takwa dan adalah mereka berhak dengan kalimat takwa itu dan patut memilikinya. Dan adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.”

Imam Bukhari meriwayatkan di dalam sebuah hadis:

“Ketika itu seorang lelaki dari kalangan Muhajirin memprovokasi seorang lelaki dari kaum Ansar, orang Ansar tersebut memanggil gengnya;

‘Hai orang-orang Ansar!’ dan begitu pula orang Muhajirin tadi, ia juga memanggil gengnya yang Muhajirin;

‘Hai orang-orang Muhajirin!’ Kemudian bersabdalah Rasulullah S.A.W:

Apakah engkau memanggil dengan panggilan jahiliah itu? Tinggalkanlah olehmu kerana itu perbuatan busuk!”

(HR Ahmad dan Baihaqi)

Ketika seseorang mempersiapkan golongannya untuk berdebat dan melawan golongan yang lain dengan memanggil-manggil golongannya, maka inilah yang dipanggil fanatik golongan atau perkauman. Hal ini termasuk dalam perbuatan jahiliah.

Hukum Jahiliah

Ini dimaksudkan dengan hukum-hakam, peraturan dan cara hidup selain yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Firman Allah dalam surah al-Ma’idah ayat 50:

“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin ?”

Imam Ibnu Kathir menafsirkan bahawa Allah menempelak orang yang tidak mahu mengikuti hukum-Nya. Ini termasuklah golongan yang :

  1. Enggan melakukan kebaikan
  2. Tidak melarang keburukan.
  3. Beralih dan mengikuti pendapat, hukum dan undangundang yang dibuat oleh manusia yang tidak disandarkan kepada syariat Allah.

Perhiasan Jahiliah

Maksud sebenar tabarruj menurut al-Zujaj adalah menampakkan perhiasaan dan semua hal yang boleh merangsang syahwat lelaki.

Bentuk jahiliah ini agak sensitif terutama pada golongan wanita. Rata-rata wanita sudah terbiasa dengan cara pemakaian harian mereka. Maka untuk menilai sama ada pemakaian dan perhiasan mereka berbentuk tabarruj atau tidak, ia bergantung kepada kefahaman dalam diri.

crownAllah melarang isteri-isteri Nabi S.A.W melakukan tabarruj (berhias berlebih-lebihan) kerana hal itu termasuk perbuatan jahiliah:

“Dan hendaklah kamu tetap berada di rumah kamu serta janganlah kamu ‘bertabarruj’ seperti ‘tabarruj’ jahiliah zaman dahulu…” (Al-Ahzab 33: 33)

Allah telah menggariskan tata cara pemakaian bagi wanita Muslimah. Cuma perlaksanaannya sering dihiasi dengan perubahan fesyen dari zaman ke zaman.

Industri fesyen wanita adalah antara industri paling menguntungkan di dunia. Tambahan pula, memang fitrah wanita itu suka berhias. Namun, Islam memandu perasaan fitrah ini agar nilai wanita di sisi Islam sentiasa mulia dan terjaga.

Allah berfirman di dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka dan,

janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan,

janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan,

atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan,

janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orangorang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Iman Publication .

Author Iman Publication .

More posts by Iman Publication .

Leave a Reply