was successfully added to your cart.

Saya tertarik dengan perkongsian seorang pemuda mengenai adiknya. Si adik telah diberi tugasan oleh guru Bahasa Melayu untuk mengisi ruangan kosong dalam ayat yang diberi dengan salah satu daripada pilihan ini: ‘Dia’ atau ‘Beliau’.

Soalan:

  1. Cikgu Anuar adalah seorang guru sekolah. _______ suka mengajar murid-murid Tahun 1.
  2. Ali adalah seorang penoreh getah. ________ rajin bekerja.

Si adik telah menjawab ‘Beliau’ untuk kedua-dua soalan. Cikgunya yang menyemak tugasan tersebut berdasarkan skema jawapan mengatakan jawapan si adik adalah salah.

Seharusnya ‘Beliau’ adalah panggilan untuk guru, manakala ‘Dia’ untuk penoreh getah.

Guru itu menerangkan bahawa ‘Beliau’ adalah panggilan khas untuk golongan berstatus tinggi.

Si adik merasa hairan dengan penjelasan gurunya, lalu bertanya pada ayah mereka, “Bukankah kedua-duanya bekerja dan mencari rezeki? Kenapa guru dapat panggilan ‘Beliau’, tetapi penoreh getah tidak?”

Neraca Sebenar Penilaian Kita

 

Semua bahasa di dunia ini mempunyai peraturan (tatabahasa) yang telah digariskan, termasuklah Bahasa Melayu. Salah satu peraturan Bahasa Melayu adalah sepertimana yang dinyatakan oleh cikgu dalam kisah di atas, iaitu panggilan ‘Beliau’ khas untuk golongan berstatus tinggi sahaja.

Walau bagaimanapun, wajar kita bertanya “Bagaimana seorang Muslim menilai status orang lain?”. Adakah kita membezakan darjat seorang manusia berdasarkan pekerjaan sepertimana cikgu di atas? Adakah penghormatan yang kita berikan kepada seseorang bergantung pada harta atau pangkatnya?

Si adik mempunyai kaca mata penilaian yang menari. Beliau (si adik) melihat kedua-dua guru dan penoreh getah setaraf dan layak menerima panggilan beliau kerana mereka bekerja dan mencari rezeki. Adakah kita juga memakai kaca mata penilaian yang sama seperti si adik?

Kita boleh bermula dengan salah satu budaya Melayu Tinggi yang diperkenal oleh Puan Ainon Mohd, iaitu panggilan Cik Puan kepada semua perempuan yang dimuliakan. Kita berikan gelaran terbaik yang selayaknya untuk manusia-manusia baik dalam penulisan kita.

Panggilan ‘Cik Puan’ berasal daripada ‘bahasa istana Melayu’. Ia gelaran rasmi khusus untuk perempuan berdarah biasa yang dikahwini oleh sultan, raja, ataupun anak-anak raja. Mereka diberikan panggilan mulia Cik Puan sebelum diberikan panggilan ‘Tuanku’. Panggilan mulia Cik Puan kini dipinjam ke dalam Bahasa Melayu Tinggi. Ia digunakan sebagai panggilan mulia kepada semua perempuan yang dimuliakan.

Author Afiq Sazlan

More posts by Afiq Sazlan

Leave a Reply