was successfully added to your cart.

Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 yang lepas, Iman Publication berpeluang menerbitkan novel sulung kami yang berjudul Hijrah. Saya berbesar hati untuk kongsikan kisah di sebalik penerbitan novel Hijrah ini yang menarik.

Prosedur biasa penerbitan sebuah buku adalah sama ada penulis menghantar manuskripnya kepada pihak penerbit untuk penilaian, atau penerbit mencari calon penulis untuk menghasilkan sebuah manuskrip bersama. Kemunculan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, dan Youtube memudahkan proses penerbit mencari penulis yang berpengaruh dalam masyarakat.

Selain itu, penerbit juga banyak bergantung pada medium blog seperti WordPress dan Blogspot untuk pencarian penulisan yang berkualiti. Medium sebegini banyak membantu kerana pihak penerbit boleh membaca dan menilai penulisan individu tersebut secara langsung. Pada masa yang sama, medium blog turut membuka peluang kepada para penulis baru dan muda untuk mempamerkan kemahiran dan idea-idea mereka kepada penerbit-penerbit yang berpotensi.

Kini, peluang tersebut menjadi semakin besar dengan kemunculan medium penulisan dan penerbitan buku online,Wattpad. 

wattpad

 

Saya menemui salah satu karya Arif Zulkifli di Wattpad yang berjudul Hijrah melalui Twitter beliau. Pada ketika itu, beliau menjemput rakan-rakan Twitternya untuk membaca novel itu di Wattpad. Kemudian, seseorang bertanyakan padanya mengenai kemungkinan beliau menerbitkan novel Hijrah versi bercetak. Beliau menjawab, “Kalau ada penerbit yang sudi.”

Sebaik sahaja saya membaca jawapan Arif Zulkifli itu, saya segera menghubungi editor Iman Publication, dan meminta beliau menilai dan mempertimbang potensi penerbitan novel Hijrah. Alhamdulillah, novel Hijrah diterima oleh Iman Publication lalu diterbitkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016.

Selang beberapa bulan, saya berpendapat ada manfaat besar sekiranya pengalaman Arif Zulkifli menerbitkan buku daripada Wattpad ini dikongsikan bersama komuniti Iman Publication. Oleh itu, saya menghubungi Arif Zulkifli dan menemuramah beliau secara ringkas melalui Facebook Messenger.

Moga bermanfaat!

Penulis Alaf Baru Menulis Menggunakan Smartphone

 

Arif Zulkifli, 23, mula meneroka dunia penulisan baru di Wattpad sejak Ogos tahun lepas. Beliau menampilkan peribadi seorang penulis alaf baru melalui pilihannya untuk menulis menggunakan perisian Wattpad yang dipasang dalam telefon Sony Xperia Z1.

Perisian Wattpad tersebut ditawarkan secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store. Bagi Arif Zulkifli, menulis dalam mobile apps adalah lebih menyenangkan.

Bagi seorang penulis, apabila idea meluncur masuk ke dalam kepala, itu adalah saat-saat genting. Jika penulis itu gagal mencatat atau mula menulis dalam masa beberapa saat, idea tersebut akan pergi meninggalkannya dan mencari penulis yang lebih bersedia. Oleh itu, penulis wajar mempunyai peralatan yang sesuai untuk menangkap idea sepantas mungkin. Salah satu peralatan yang berkesan adalah smartphone dan mobile apps.

Peratusan besar novel Hijrah ditulis oleh Arif semasa tempoh senggang antara kelas pengajian. Beliau mampu berbuat sedemikian kerana beliau menggunakan smartphone dan apps Wattpad untuk menulis. Sekiranya anda gunakan komputer riba (laptop), besar kemungkinan anda akan menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan komputer riba tersebut daripada beg setiap kali mahu menulis.

maxresdefaultAnda juga boleh menulis dalam kolam renang bersama Sony Xperia Z1 kerana smartphone ini kalis air!
Bayangkan Arif Zulkifli menulis sebuah novel sambil berenang atau menyelam. Epik!

 

Wattpad – Suatu Medium Penulisan yang Mengujakan Pembaca dan Penulis

 

Salah satu keistimewaan Wattpad adalah penulis menerbitkan cerita mereka secara berperingkat, bab demi bab.

Proses ini menimbulkan rasa tertanya-tanya dalam para pembaca. Penulis membawa para pembaca untuk bersama menaiki kereta api menelusuri kisah itu. Kadangkala, rasa ingin tahu bukan sahaja terhad kepada pembaca, tetapi juga penulis.

Arif Zulkifli sendiri menulis Hijrah dalam keadaan rangka cerita hanya samar-samar dalam kepala. Beliau hanya tahu permulaan dan pengakhiran Hijrah. Di antara dua lembaran itu, Arif membiarkan imaginasi memimpin jemarinya.

Wattpad turut menjadi cabaran besar untuk penulis konsisten menerbitkan sambungan ceritanya.

Apabila kami bertanya pada Arif, apakah cabaran terbesar menulis Hijrah, beliau mengakui ‘musuh’ utamanya adalah ketandusan idea, dan mood menulis. Arif mendakwa dirinya seseorang yang malas menulis. Oleh itu, apabila mood menulis tiba-tiba berkobar dalam dada, beliau akan ‘pecut’ sehabis baik.

Selepas bertanyakan perihal cabaran, tidak lengkap sekiranya kita tidak bertanyakan perihal pendorong terbesar untuk terus menulis Hijrah di Wattpad. Arif Zulkifli memberi kredit besar kepada para pembaca Hijrah di Wattpad. Respon daripada mereka yang menyatakan rasa tidak sabar mahu tahu peristiwa seterusnya dalam novel Hijrah membakar semangat Arif Zulkifli untuk terus menulis.

Wattpad mempunyai komuniti pembaca yang positif

Menerbitkan sebuah karya yang sudah sedia ada secara online kadangkala menakutkan seorang penulis. Lebih-lebih lagi sekarang, tidak sedikit individu yang menghimpunkan status Facebook, Tweets dan Instagram Posts mereka lalu diterbitkan dalam bentuk buku bercetak. Komuniti pembaca yang setia mengikut penulisannya secara online mungkin tidak berpuas hati dengan keputusan penulis kegemaran mereka.

Walau bagaimanapun, komuniti pembaca di Wattpad Arif Zulfkifli yang mencecah 20 ribu orang ternyata begitu positif. Kebanyakan daripada mereka turut berkongsi rasa gembira bersama beliau. Bahkan ramai yang membeli novel Hijrah versi bercetak, walaupun mereka sudah membaca kisah tersebut sehingga penghujung di Wattpad.

Saya menjadi saksi kepada aura positif komuniti pembaca sekitar Arif Zulkifli ini. Sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016 dan Pesta Buku Selangor 2016, memang ramai kawan dan kenalan Arif Zulkifli yang singgah booth Iman Publication bagi mendapatkan novel Hijrah sebagai tanda sokongan kepada beliau. Selaku seorang penulis juga, saya akui suasana ini benar-benar menginspirasikan. Tidak ramai penulis yang mampu membina hubungan sebegitu intim bersama orang sekelilingnya.

Nasihat Arif Zulkifli: “Jangan Pernah Berputus Asa”

 

Nasihat Arif Zulkifli kepada kalian para penulis mudah sahaja.

“Jangan pernah berhenti menulis dan jangan pernah berhenti membaca. Jangan berputus asa jika manuskrip anda ditolak penerbit, mungkin rezeki anda tiada bersama penerbit itu, tetapi ada di penerbit lain.”

13166917_622974914522814_1886770649_n
Hidup penulis penuh dengan penolakan, dan tentangan. Penulis perlu kental!

Jika anda sukakan temuramah sebegini, pastikan anda kongsikan artikel ini di Facebook, Twitter dan semua media sosial yang anda miliki. Jika temuramah ini menerima sambutan menggalakkan, saya akan umumkan sesi temuramah seterusnya.
Afiq Sazlan

Author Afiq Sazlan

More posts by Afiq Sazlan