was successfully added to your cart.

Tak semua penulisan mengenai idea, teori, atau dapatan daripada kajian yang kita tulis hari ini akan mendatangkan hasil pada hari yang sama. Bahkan, sesetengah penulisan hanya diterima selepas puluhan atau ratusan tahun berlalu.

Muhammad Musoddiq bin Jaafar, penulis artikel “Cabaran Penyelidikan Syok Sendiri” dalam buku Sains-Lah berkongsi:

“Tak semestinya harini result (hasil kajian diperoleh), esok (terus ada nilai) komersial. Ada (teori) yang ambil masa beratus tahun (untuk mempunyai nilai komersial). Sebagai contoh, idea mengenai kerelatifan. Macam mana nak paten atau komersialkan idea tersebut? Idea itu memakan jutaan dolar untuk dibuktikan. Prosesnya melibatkan penghantaran satelit tiruan ke angkasa. Selepas hampir seratus tahun barulah idea itu boleh digunakan dalam usaha menyempurnakan sistem GPS yang merupakan sebahagian daripada industri berbilion dolar.”

Hakikat ini tidak terhad kepada hanya teori sains.

Baru-baru ini, filem Korea berjudul Silenced tiba-tiba diketengahkan oleh rakyat Malaysia setelah sekian lama. The Vocket turut menerbitkan satu artikel berjudul Bagaimana Novel Dan Filem ‘Silence’ Berjaya Membongkar Jenayah Pedophilia Di Korea.

Filem Silenced ini telah diterbitkan pada 2011, berdasarkan novel Silenced tulisan Gong Ji-Young yang diterbitkan pada tahun 2009. Kedua-dua novel dan filem ini dihasilkan berdasarkan kes sebenar pemerkosaan seksual yang berlaku di sekolah kanak-kanak bisu dan pekak Gwanju Inhwa, Korea Selatan. Hanya selepas 2 usaha besar iaitu penerbitan novel dan filem, barulah orang ramai sedar mengenai jenayah pemerkosaan ini.

“Kadangkala, satu filem, satu novel, atau satu artikel boleh mengubah segala-galanya. Fenomena ini sedang berlaku di Korea hasil kejayaan luar biasa filem Silenced. Filem ini berdasarkan novel yang berkongsi judul sama oleh Gong Ji-Young. Novel ini berkisarkan jenayah seks oleh kakitangan sekolah terhadap pelajar yang bisu dan pekak.”  – Nocut News, 27 September 2011.

Tidak sesekali kita boleh mengalah dan berhenti daripada menulis hanya kerana kita tidak nampak hasilnya pada hari ini. Setiap ketukan jemari kita pada papan kekunci berpotensi menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik dan sejahtera untuk generasi baru kelak.

Teruskan menulis atas jalan kebenaran!

Afiq Sazlan

Author Afiq Sazlan

More posts by Afiq Sazlan