was successfully added to your cart.

Dunia ini kadangkala terlalu sibuk dan aktif untuk seorang penulis berkarya.

Setiap saat, ada sahaja suara yang cuba memanggil penulis untuk tinggalkan meja dan alat tulisnya (pen, pensel, atau komputer). Rakan yang mengajak kita ke kompleks membeli belah, ibu meminta kita temannya ke pasar pagi, anak menuntut perhatian kita, dan juga pensyarah yang kerap memberi tugasan-tugasan dengan tarikh akhir tak masuk akal.

Oleh itu, pondok menulis adalah impian terindah bagi seorang penulis. Tiada siapa boleh ganggu anda selagi mana anda duduk di dalam Pondok Menulis. Anda bebas untuk berkarya tanpa rasa gusar seseorang akan menghentikan tarian rancak jemari anda atas papan kekunci.

Pondok Menulis Penulis Terkenal

Pondok Menulis Roald Dahl

roald-dahl

Pondok Menulis Thomas Dylan

thomas-dylan

Pondok Menulis Michael Pollan

michael-pollan

Ciri-ciri Pondok Menulis Afiq Sazlan

Tak ramai penulis yang berpeluang memiliki Pondok Menulis peribadi. Salah seorang penulis sedemikian adalah diri saya sendiri. Oleh itu, saya wujudkan Pondok Menulis peribadi saya dalam kedai-kedai kopi berdasarkan ciri-ciri berikut:

Tiada siapa kenal saya

Saya menulis di kedai kopi yang tipis kebarangkalian untuk sesiapa kenali saya. Biarpun kedai kopi tersebut dipenuhi pelanggan, saya tidak akan diganggu sesiapa di sana. Ruang meja saya menjadi Pondok Menulis peribadi. Segala perbualan atau kejadian di luar Pondok Menulis tersebut tidak menerima perhatian saya, walau secebis.

Bebas asap rokok

Pondok Menulis saya tidak terhad kepada kedai kopi sahaja. Sekali sekala, saya menulis di kedai mamak. Namun begitu, penilaian teliti perlu dibuat sebelum saya menulis di kedai mamak. Hal ini kerana sesetengah kedai mamak menjadi pilihan pelanggan daripada komuniti yang suka merokok di kedai makan tanpa menghiraukan keselesaan pelanggan lain. Seorang penulis memerlukan persekitaran yang sihat untuk menjana idea bernas daripada akal yang cerdas.

Akses Internet yang laju

Sekiranya kedai tersebut menawarkan akses internet yang laju, itu adalah bonus. Sekiranya tidak, cukup sekadar internet mobil saya tidak terganggu. Apabila saya menulis, saya menggunakan internet untuk rujukan. Sebagai contoh, saya kerap merujuk Gerbang Maya Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memastikan kefahaman dan penggunaan ayat saya adalah tepat.

Berdasarkan ciri-ciri di atas, banyak kedai kopi (pastikan halal!) yang anda boleh jadikan sebagai Pondok Menulis. Paling penting sekali, anda perlu selesa dengan suasana kedai tersebut. Apabila anda selesa, barulah idea akan gembira untuk bertandang dalam kepala anda.

img_6725

Bonus: J.K. Rowling dikhabarkan mahu membina pondok Hagrid daripada siri novelnya Harry Potter sebagai Pondok Menulis beliau. Luar biasa!


Jika anda mempunyai kedai kopi, atau kedai buku untuk saya promosikan sebagai lokasi Pondok Menulis yang menarik, sila tinggalkan pautan dalam ruangan komen di bawah.

Author Afiq Sazlan

More posts by Afiq Sazlan