Empayar 2 merupakan novel fiksyen neo-klasik sambungan dari novel Empayar 1 : Hikayat Putera Tanpa Nama. Novel ini membayangkan Malaysia pada masa hadapan tetapi menggunakan stail klasik dari segi suasana, bahasa, dan penceritaan. Bagi yang telah biasa dengan penulisan Teme Abdullah, pasti sudah menjumpai banyak quotes menarik yang boleh dijadikan inspirasi dan pedoman kehidupan.

Kak Iman kongsikan 15 quotes menarik pilihan Kak Iman.

“Apabila timbul satu kesulitan yang melibatkan pilihan yang mengelirukan, maka ikutlah fatwa di jantung hati. Pilihlah sesuatu yang paling mendatangkan ketenteraman sanubari. Lebih-lebih lagi perkara yang berkait dengan soal agama.” (m/s 131)

“Itulah hakikat dunia, sedungu mana pun seorang ketua, pasti ada juga yang mengikutinya. Apatah lagi jika terpancar bayangan keagamaan pada ketua tersebut, walaupun sedikit. Alangkah mudah manusia ditemberang.” (m/s 141)

“Jika tiada lagi ketua yang boleh diikuti, maka jadilah ketua. Sekurang-kurangnya ketua kepada diri sendiri.” (m/s 49)

“Sia-sialah jika seorang pemuda itu membiarkan dirinya merana kerana cinta, sedangkan pemuda itu boleh menggegar dunia.(m/s 70)

“Dunia ini memihak kepada mereka yang mahir bercakap, berbanding mereka yang berkata benar. Sudah menjadi hakikat dunia ini, lidah saduran perak sudah cukup untuk mengalahkan hati emas.” (m/s 154)

“Dunia ni tak mungkin menjadi adil dan memuaskan hati semua. Kerana itulah kita beriman dengan hari akhirat, tempat kita menuntut keadilan yang tertangguh.” (m/s 160)

“Inilah kesetiaan yang sebenar. Bukan membenarkan segala yang disuap oleh seseorang yang dianggap sebagai ketua, tetapi mengkaji kesahihannya dengan pandangan keadilan. yang buruk dinasihati, yang baik dihargai.” (m/s 176)

“Semakin hebat manusia itu beragama, semakin hebatlah syaitan yang menggodanya.” (m/s 190)

“Bukan sekali, malah berkali-kali. Seperti sukar untuk dipercayai, walaupun ia sudah dilakukan berulang-ulang, tidak pernah sekali pun ia gagal. Alangkah mudahnya memperdaya orang dengan hanya kelihatan beragama.” (m/s 274)

Sudah menjadi lumrah. Penipu akhirnya akan menarik penipu juga menjadi temannya.” (m/s 279)

Orang Melayu memang dari dulu tak berubah. Jika malas mengaji memerah buku mencari ilmu, semua kepelikan akan dituduh sihir.”

(m/s 359)

Orang Melayu sejak dulu gemar menjadikan umpatan sebagai pengisi masa lapang. Sehinggakan umpatan yang seberat memakan daging saudara sendiri itu sudah menjadi biasa.” (m/s 360)

“Engkau yang salah kerana menisbahkan kemenangan itu pada kemasyhuran dan bilangan pengikut. Jika engkau masih memegang sifir itu, maka firaun itu benar. Dia juga terkenal dan ramai pengikut.(m/s 387)

“Tidaklah salah menyarungkan jubah kerana ingin merasa dekat dengan Baginda. Namun, adalah salah jika pakaian Arab itu mencerminkan tingginya pengamalan Islam seseorang. Adalah salah apabila kita mengatakan baju Melayu itu menentang sunah. Seseorang penipu yang berjubah tidaklah lebih baik daripada ahli sedekah yang berbaju Melayu.(m/s 401)

“Pergilah… aku lebih suka lihat kalian mengembara. Agar kalian tak menjadi seperti kebanyakan Melayu yang sempit dan rengus.”   (m/s 461)