fbpx

Syeikh Mustafa Masyhur yang merupakan Mursyidul Am ke-5 Ikhwanul Muslimin telah menulis sebuah karya yang sungguh hebat. Namanya adalah Fiqh Dakwah. Satu kitab yang saya kira wajib dibaca dan dibincangkan oleh para pendakwah di luar sana.

Di bahagian topik “Daie Dan Uslub (Kaedah) Dakwah”, Syeikh Mustafa Masyhur menukilkan tiga perkara yang wajib dibuat atau dikuasai oleh para pendakwah yang mahu meluaskan keindahan Islam. Kata Syeikh Mustafa Masyhur, seorang pendakwah itu mestilah;

1. Meluaskan pembacaan.

Pengetahuannya yang luas kesan pembacaan yang merentas pelbagai lapisan bidang, akan menjadikan dia tahu solusi yang terbaik diantara sekian banyaknya solusi yang ada. Ilmu pengetahuannya tidak terbatas kepada satu bidang tertentu sahaja. Jika dibaca buku Tsaqafah Daiyah karangan Dr. Yusuf Qardhawi, beliau telah meminta para pendakwah untuk mempelajari 6 lapangan ilmu iaitu Ilmu Agama (Al-Thaqafah Al-Diniyah), Ilmu Sejarah (Al-Thaqafah Al-Tarikhiyah), Ilmu Sastera dan Bahasa (Al-Thaqafah Al-Adabiyah Wa Al-Lughawiyah), Ilmu Kemanusiaan (Al-Thaqafah Al-Insaniyyah), Ilmu Sains (Al-Thaqafah Al-‘Ilmiyyah) dan Ilmu Hal Ehwal Semasa (Al-Thaqafah Al-Waqi’iyyah). 

Pembacaan yang luas juga membantu pendakwah memahami bidang ilmu yang lain. Lantas berlaku adil dan menghormati lapangan ilmu masing-masing. Malah pemikirannya tidak jumud dan taksub kepada satu sudut pandang sahaja, bahkan menyeluruh. Perbincangan mengenai 6 lapangan ilmu ini boleh dibaca juga dalam buku tulisan Ustaz Hasrizal yang terbaru iaitu Seni Berfikir Yang Hilang

2. Cakna isu semasa samada masyarakat dekat atau jauh.

Caknanya kepada isu semasa akan membuatkan pendakwah itu tahu apa permasalahan dan situasi semasa. Seorang pendakwah itu mestilah sensitif dengan apa yang berlaku di sekliling dirinya, juga tahu bagaimana mahu meresponnya. Pendakwah mestilah menjadi seorang yang peduli jika mahu menjadikan risalahnya itu diterima oleh masyarakat sekitar. 

Caknanya dia pada sekitarnya dan memahami situasinya akan membantu pendakwah itu bijak mengutamakan apa yang sepatutnya diutamakan dan bagaimana mahu melaksanakannya dengan berkesan. Bukan tergesa dan gopoh menyeru manusia kembali kepada Allah yang akhirnya masyarakat memilih untuk tidak menyambut seruan pendakwah. 

3. Ambil tahu pelbagai aliran pemikiran dan ideologi.

Mengetahui aliran pemikiran dan ideologi moden akan membantu pendakwah itu menghadapi perbezaan warna pemikiran dan ideologi. Sebelum seorang pendakwah itu tahu cara yang betul untuk meraikan perbezaan dan bagaimana untuk berhujah menerangkan kebenaran jika ideologi mereka bertentangan sesuai dengan tahap pemikiran mereka, memahami selok belok aliran ini adalah kerja pertama yang perlu dilakukan. 

Perpecahan kesan daripada perbezaan dapat dielakkan jika pendakwah itu memahami apa yang berbeza dan apa yang sama dalam ideologi satu sama lain. Dari sini pendakwah itu belajar bagaimana mahu mengharmonikan rentas pemikiran yang kontradik dan berbeza. Memaksa orang lain menganut apa yang kita yakini bukanlah suatu sikap yang meraikan fitrah, bahkan hanya memberikan musibah.

Penguasaan kepada tiga aspek yang saling berkait ini akan mendidik pendakwah  melaksanakan dakwah dengan kaedah yang terbaik dan berkesan. Kerja dakwahnya itu menawan hati manusia yang melihat dan mendengarnya. Manusia akan semakin mendekat, bukannya meluat.

Tambah Syeikh Mustafa Masyhur dalam buku tersebut: “Dia memperbaiki kondisi dan situasi, bukannya mengeruhkan”.

Begitulah seharusnya seorang pendakwah. Pendakwah itu menyeru manusia kepada Allah. Walau lambat manapun ia dalam perjalanan menuju Allah, asalkan ia masih diatas laluan yang benar, usah disusahkan; apatahlagi dibina halangan.

Dapatkan buku Fiqh Dakwah tulisan Syeikh Mustafa Masyhur dan Seni Berfikir Yang Hilang tulisan Ustaz Hasrizal di www.imanshoppe.com

 

Penulisan oleh,

Usaid Asmadi,

Pelajar Praktikal Iman Publication.