Alhamdulillah, tahun ini merupakan momen bersejarah bagi kami di IMAN kerana 4 buah buku terbitan Iman Publication telah berjaya tercalon dalam Best of MPH 2018!  Setelah berminggu-minggu, eh silap, berbulan-bulan naik turun dalam carta. Ha, kawan-kawan tahu tak apa 4 buah buku itu? Nak tahu kenapa Kak Iman rasa teruja sangat?

Mestilah Kak Iman teruja kerana dengan tercalonnya buku-buku Iman Publication dalam Best of MPH 2018 menandakan ramai rupanya kawan-kawan Kak Iman telah membeli buku-buku tersebut.

Semakin ramai yang membeli maka semakin ramai yang akan beroleh manfaat. Walaupun mungkin ada kawan-kawan Kak Iman yang baru beli sahaja tapi tak baca lagi. Hehe…

It’s okay kerana yang penting langkah pertama dah berjaya – dah beli dulu. Insha Allah nanti cari masa untuk baca ya.

Jadi apakah 4 buah buku tersebut? Meh Kak Iman kongsi sikit.

 

1) Letters to God by Norhafsah Hamid

Buku ini ditulis dalam Bahasa Inggeris oleh Norhafsah Hamid. Seorang ibu kepada 5 orang anak dan juga 5 anak kucing. Kak Iman kira pengalaman dan perjalanan kehidupan beliau dalam mencari hidayah sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada beliau untuk menghasilkan karya sebegini.

Buku ini sebenarnya adalah ‘sequence’ daripada buku sebelumnya, iaitu ‘Heavent Sent’. Untuk Best of MPH 2018, buku ini dicalonkan di bawah kategori ‘Best Paperback Fiction’.

 

 

Bila Kak Iman baca reviu buku ni dari kawan-kawan, ramai yang sangat suka buku ini sebab kata mereka terasa seperti merekalah sebagai watak utama dalam buku ini. Terutama kawan-kawan Kak Iman yang gegirl. Hee….Kak Iman pun sama. Sep sikit!

Tapi, kawan-kawan Kak Iman yang lelaki pula jangan tak nak baca pula. Kalian akan lebih memahami bagaimana perempuan ‘deal’ dengan perasaan atau emosi dia.  

Dalam novel ini, watak utamanya bernama Sarah. Sarah sangat positif orangnya apabila melalui setiap apa sahaja yang berlaku dalam hidupnya. Dia menceritakan segala apa yang berlaku, orang yang dia jumpa dan apa yang dia belajar dari setiap peristiwa kepada Tuhan.   

 Membaca dialog-dialog Sarah kepada Tuhan seperti kita sendiri juga sedang bercerita kepada Tuhan, hingga ada masa Kak Iman turut menangis sekali. Kehidupan kan mencabar.

Walaubagaimanapun, kita harus tetap cekal dan sabar melaluinya. Bagaimana Sarah bangkit dan memujuk dirinya dalam buku ini melalui ayat-ayat Al-Quran dan juga pesanan ayahnya sangat memberi inspirasi kepada Kak Iman untuk terus berdiri gagah!  

2) Unshakeable by Aiman Azlan

Sebut sahaja nama Aiman Azlan ni Kak Iman mesti nak tergelak sebab teringat karakter beliau yang memang tersangatlah konfiden dan sentiasa menghiburkan sesiapa sahaja di sekeliling beliau. Kak Iman kalau jumpa Aiman Azlan mesti penat. Penat gelak.

Buku Aiman Azlan pula dicalonkan di bawak kategori ‘Best Non-Fiction’.

 

 

Mengenali Aiman Azlan, beliau sangat komited dan fokus dalam usaha membantu lebih ramai anak muda untuk mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Hingga ke pelbagai pelosok negeri beliau pergi untuk berkongsi tips-tips tersebut dengan lebih ramai remaja dan belia.

Oleh itu, buku ini terhasil daripada pemerhatian beliau kepada apa sebenarnya penghalang anak muda hari ini untuk jadi lebih yakin, menonjolkan diri dan seterusnya mengeluarkan segala potensi diri.

Buku ini juga ditulis dalam Bahasa Inggeris. Bergenre inspirasi atau motivasi. Kalau tanya Kak Iman siapa yang patut dapatkan buku ini? Kak Iman akan kata semua orang patut baca buku ini!

Sebab kita semua perlu mempunyai ‘mindset’ yang jelas dalam membina keyakinan diri. Dalam kerjaya kita, pembelajaran kita dan juga dalam kehidupan peribadi kita.

Keyakinan diri ini bukan sahaja diperlukan ketika bercakap di hadapan orang atau ketika bertemu orang lain tetapi menjadi individu yang yakin dan percaya dengan diri sangatlah penting dalam membantu kita mencapai kejayaan demi kejayaan dalam hidup ini.

“Building self-confidence is a process, not a switch.”

Menjadi individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi ini adalah proses, dalam buku ini Aiman Azlan kongsikan bersama kita semua, satu demi satu prosesnya. Terima Kasih Aiman Azlan!

3) Impian Jalanan oleh Teme Abdullah

Teme Abdullah. Seorang penulis muda yang telah menginspirasikan ramai anak muda. Buku ini berbentuk anekdot atau cerita perkongsian pengalaman hidup beliau. Buat yang telah mengikuti penulis ini dari buku pertama beliau iaitu Pelukis Jalanan, pasti sangat teruja mendapatkan buku ketiga dalam Siri Jalanan ini.

Untuk Best of MPH 2018, buku ini dicalonkan di bawah ‘Best Malay Non-Fiction’.

 

 

Membaca dua buku beliau sebelum ini iaitu Pelukis Jalanan dan Arkitek Jalanan, disambung pula dengan Impian Jalanan membuatkan Kak Iman terasa seolah-olah membesar bersama kisah beliau.

Bermula dari sebagai seorang pelajar hinggalah ke hari ini. Tema yang diangkat dari kisah beliau adalah mengenai perjalanan mengejar mimpi atau cita-cita. Orang lain boleh katakan apa sahaja tentang kita, tentang mimpi kita, tapi akhirnya kitalah yang harus membuktikan kepada diri kita bahawa kita tidak selemah apa orang lain sangkakan.

“Success is not defined by how much money you make but by how you can be at peace and happy, even when you have zero in your bank account. And it’s about how many lives you can improve. Also about how you share the happiness.”

Bukan biasa-biasa, buku ini telah menyentuh hati ramai orang melalui kisah kehidupan penulis. Penulis berkongsi inspirasi untuk beroleh kejayaan. Bagaimana untuk kekal termotivasi dalam memburu kejayaan yang sebenar dan tetap kekal menunduk hati sesama manusia.

 

4) Empayar oleh Teme Abdullah

Keempat dan terakhir adalah novel Empayar tulisan Teme Abdullah. Ini adalah cubaan pertama penulis ini keluar dari kebiasaan beliau. Novel ini dicalonkan di bawah kategori “Best Malay Fiction’.

Kak Iman kira novel ini sarat dengan kritikan-kritikan sosial kepada masyarakat Malaysia hari ini. Banyak yang kita boleh kaitkan dan mengambil iktibar dari apa yang berlaku di dunia hari ini.

Berlatar belakangkan suasana masyarakat Melayu lama, novel ini digarap dengan cukup baik dan unik. Kenapa Kak Iman cakap unik? Sebab nama-nama watak semuanya guna nombor.

Watak-watak yang diwujudkan adalah gambaran kepada jenis manusia yang wujud dari sudut sikap mereka terhadap agama. Adakah agama digunakan untuk kepentingan pangkat atau berhujah semata atau yang lebih penting agama sebagai cara hidup? Novel ini mengkritik kita. Ya, bagaimana kita dalam beragama?

“Tuhan bukan seperti manusia yang bisa memaafkan tetapi tidak mungkin melupakan. Malah, Tuhan menerima taubat mereka yang berdosa dan menggantikan kejahatan yang mereka lakukan dengan kebaikan”

 

Baik, itulah yang Kak Iman nak kongsi berkaitan Best Of MPH 2018 dengan kalian semua. Terima kasih kepada semua kawan-kawan Kak Iman atas segala sokongan yang telah diberikan.

Untuk kawan-kawan Kak Iman yang belum dapatkan buku-buku di atas bolehlah segera berlari-lari ke MPH berdekatan anda untuk dapatkan buku-buku ini sebelum 31 Januari 2019.

 

Bukan apa, sekarang ni kawan-kawan yang bukan ahli membership MPH pun boleh dapat Diskaun 25% untuk buku dalam Bahasa Inggeris iaitu Letters To Good dan Unshakeable dan Diskaun 20% untuk buku-buku dalam Bahasa Melayu iaitu Impian Jalanan dan Empayar. Yeahhh!

Buat yang dah beli, boleh cerita dengan kawan-kawan apa yang kalian suka pasal buku-buku ini dan boleh minta mereka juga berlari-lari ke MPH berdekatan untuk dapatkan buku-buku ini. Ada 20 lebih cawangan MPH di seluruh Malaysia. Dan mohon doakan buku-buku ini dinobatkan sebagai pemenang ya! Nanti kita sama-sama tunggu pengumumannya.

Sekian dulu untuk kali ini.