Positivity opens us. Positive emotions open our hearts and our minds, making us more receptive and more creative. (Barbara L. Fredrickson)

Fikiran yang positif umpama ‘perisian automatik’ yang menjadikan seseorang itu mudah bahagia dan susah kecewa. Kajian yang dibuat oleh Dr Barbara Fredrickson, seorang tokoh yang tidak asing lagi dalam bidang Psikologi turut mengatakan bahawa orang yang positif akan menjadi lebih inovatif, lebih banyak pilihan hidup, lebih proaktif dan berupaya menggandakan potensi baru dalam masa yang pantas.

Hal ini akan menjadikan seseorang individu itu menjalani kehidupan dengan lebih gembira dan bahagia.

Jadi Kak Iman inginkan kongsikan 5 cara bagaimana untuk kita kekal berfikiran positif.


PERTAMA: BERSYUKUR!

Bermula dengan mensyukuri apa sahaja yang ada dalam genggaman kita. Harta, keluarga, kejayaan, kehidupan dan segalanya. Di kala kita mampu bersyukur, bermakna kita sedang berterima kasih kepada diri sendiri, kepada orang yang memberi dan yang lebih penting adalah kepada Tuhan yang memberi segala nikmat tanpa kita sedar.

وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ ۚ وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ ۖ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ

Dan sesungguhnya telah Kami berikan hikmat kepada Luqman, yaitu: “Bersyukurlah kepada Allah. Dan barangsiapa yang bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya ia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji”. (12)
Ada ketika, saat melihat orang lain lebih dari kita dari pelbagai aspek membuat kita jadi cemburu, dengki atau apa sahaja perasaan negatif. Namun, kita harus kembali ingat, saat kita bersyukur atas apa yang kita punya, Allah SWT akan tambah dan tambah lagi.

Tambah yang perlu kita fahami bukanlah dari segi kuantiti semata, ia boleh datang dalam pelbagai bentuk yang tidak kita fahami. Boleh jadi dalam bentuk keberkatan rezeki, kesihatan, kebahagiaan keluarga dan banyak lagi.

Kak Iman suka kata-kata Imam Hasan Al-Basri, seorang tokoh cendekiawan Islam dahulu kala berkaitan rezeki, iaitu;

“Aku tahu rezekiku tidak mungkin tertukar dengan rezeki orang lain, karena itu hatiku tenang.”


KEDUA: BERSABAR.

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruhnya urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka ia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka ia bersabar. Itu pun baik baginya.” (HR. Muslim)

Sabar membawa banyak maksud. Menurut Syed Alwi Al-Attas, seorang penulis dari Indonesia dalam bukunya The Straight Path,

“Sabar adalah kesanggupan dan kemahuan untuk menunda kepuasan. Kerana kita meyakini, dunia ini dan seisinya bersifat sementara. Akhiratlah tempat abadi dan diperhitungkan segala amal perbuatan kita.”

Bagi kak Iman sabar adalah melambangkan kekuatan jiwa kita. Menjadi Muslim yang meyakini Allah sebagai sebaik-baik perancang menjadikan kita lebih mudah bersabar dan positif kepada apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita.


KETIGA: MEMAAFKAN.

Sebelum belajar memaafkan orang lain, kita harus belajar memaafkan diri kita sendiri. Menerima kesilapan diri dengan hati terbuka merupakan langkah awal bagi mengosongkan fikiran dan hati kita dari perkara-perkara negatif.

Pejam mata, tarik nafas dalam-dalam, bayangkan orang yang berbuat kesilapan pada kita, dan bisiklah dengan perlahan “Demi Allah, atas kasih sayangNya yang luas, aku memaafkanmu sahabatku”.

Cuba kita buat setiap hari sebelum tidur, atau saat kita terlihat atau teringat tentang orang-orang yang kita tidak suka. Percayalah saat kita memaafkan orang lain, kita akan jadi lebih tenang dan gembira. Sebagaimana kita ingin dimaafkan dan diberi peluang kedua, begitu juga orang lain.

Kita sama-sama belajar memaafkan ya! Kerana memaafkan adalah pekerjaan orang-orang yang kuat. (Mahatma Ghandi)


KEEMPAT: BERDOA.

Ada kawan Kak Iman pernah menceritakan bahawa dia telah berusaha sehabis daya untuk kekal berfikiran positif, merasakan emosi yang positif dan bersikap positif. Namun, suasana persekitarannya tidak membantu malah dia bimbang jika akhirnya dia tidak mampu lagi kekal positif.

Satu sahaja yang Kak Iman pesan padanya. Berdoalah! Doakan untuk diri sendiri agar mampu untuk terus istiqamah. Doakan kawan- kawan di persekitarannya agar mampu turut sama berfikiran positif.

Sebut nama kawan-kawan kita setiap hari. Jangan pernah ada rasa benci dalam hati kita. Kerana apa yang dalam hati kita, akan terpancar pada riak wajah dan perbuatan. Cuba fahami dan selami hati kawan kita. Boleh jadi kehidupannya yang begitu mencabar membentuk siapa dia hari ini.

Yakinlah dengan kuasa doa. Mohon pada Allah dengan sangat. Setelah kita berusaha, serahkan segalanya pada Dia. Dia kan Maha Mengetahui segalanya. 🙂


KELIMA: CAKAP YANG BAIK.

“Arghh, penatlah macam ni!”

Pernahkan kita merungut sedemikian sekali-kala? Marahkan cuaca, marahkan anjing yang menyepahkan sampah di depan rumah, marahkan anak kecil yang menangis tanpa henti, marahkan jiran yang mengambil parking kita dan pelbagai lagi.

Marah menjadikan emosi kita terus serta merta berubah negatif. Kita akan rasa sesak dada, geram dan membuak- buak ingin melepaskan.

Pernah kan kita dengar, percakapan itu merupakan doa? Cakaplah yang baik- baik. Pilih perkataan yang tidak akan menyinggung hati sesiapa. Percakapan yang baik menggambarkan ketinggian kita dalam berbudi bahasa dan kepada nilai diri kita. Perkataan yang negatif bukan sahaja merosakkan emosi kita, tetapi semua orang di sekitar kita.

Demikianlah 5 tips dari Kak Iman bagaimana untuk kita kekal berfikiran positif. Mari kita bersama-sama praktikkan.

Semoga kita sentiasa fikir, cakap dan buat yang baik-baik sahaja kerana Allah akan menatijahkan segala yang baik- baik juga buat kita dan semua orang. Jangan sesakkan dada dan fikiran kita dengan perkara negatif ya.

Sayangi diri sendiri, kerana kita juga berhak disayangi.

Antara buku-buku Kak Iman suka baca yang bertemakan berfikiran positif adalah:

Sekian dulu untuk kali ini.