fbpx

Musibah covid-19 yang menimpa seluruh dunia hari ini sangat mengejutkan kita. Kita tak pernah terfikir tentangnya. Ia telah mempengaruhi emosi dan merubah rutin harian kita. Untuk berasa sedih dan risau di dalam hati itu normal.

Namun segala kesedihan dan kegusaran itu harus berusaha dikawal dengan mengingati bahawa setiap sesuatu yang berlaku dalam kehidupan kita pasti ada sesuatu pelajaran yang Allah ingin kita pelajari. Tetaplah tersenyum.

Menjadi muslim yang beriman, kita percaya bahawa Allah Tuhan yang menyusun segalanya dan ada sebab tersendiri atas setiap yang berlaku yang harus kita gali hikmahnya.

Sebagaimana Allah sebut di dalam Al-Quran

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا ثُمَّ اسْتَوَىٰ إِلَى السَّمَاءِ فَسَوَّاهُنَّ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ ۚ وَهُوَ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Dia-lah Allâh, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak menuju langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. [Al-Baqarah 2: 29]

Banyak hikmah yang kita perolehi dari musibah ini. Antaranya adalah;

 

1. Memberi lebih ruang masa untuk diri sendiri

Dalam kesibukan harian menyebabkan kita selalu terlupa untuk memberi masa untuk diri sendiri. Bertanya khabar diri sendiri dan menganalisa sejauh mana pencapaian diri. Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini menjadikan kita mempunyai lebih masa untuk memerhatikan diri atau memberi sepenuh perhatian kepada diri sendiri berbanding sibuk memerhatikan orang lain. Masa-masa terluang ini juga boleh dimanfaatkan untuk memberi hak-hak kepada diri sama ada dari segi fizikal, mental dan spiritual.

Lebih banyak waktu buat diri bermakna lebih banyak waktu untuk bermuhasabah diri dan meluangkan lebih masa untuk menambah pengetahuan dan kemahiran diri. Lebih banyak waktu untuk menelaah buku-buku dan kelas atas talian yang sebelum ini tidak sempat diikuti.

 

2. Berfikir dengan lebih kreatif

Hari-hari kita dalam tempoh PKP bukanlah seperti hari-hari biasa. Banyak pekerjaan yang biasa kita lakukan, terpaksa ditangguhkan. Namun, objektif dari pekerjaan tersebut harus tetap tercapai. Oleh itu, situasi ini telah menjadikan kita lebih kreatif untuk tetap berusaha mencapai objektif tetapi dilakukan dengan cara yang berbeza. Misalnya kerja dari rumah. Kita harus memikirkan bagaimana kita mahu menyelesaikan kerja dengan pelbagai cabaran di rumah. Hal ini penting bagi mengekalkan produktiviti kerja kita. Berfikiran kreatif bermakna kita sentiasa mencari solusi. Tidak hanya duduk diam tidak berbuat apa-apa. Banyakkan belajar dari pengalaman orang lain atau banyakkan membaca. Ini merupakan salah satu cara untuk mengasah minda kreatif kita.

3. Lebih menghayati erti qanaah dan syukur

Dalam tempoh ini kita melihat pelbagai situasi masyarakat. Ada yang tempoh PKP ini merupakan rahmat buatnya kerana dapat meluangkan masa bersama keluarga. Namun ada yang menjadi ujian buatnya kerana tidak dapat bekerja seperti biasa. Tidak dapat keluar bekerja, bererti tidak ada pendapatan untuk meneruskan kehidupannya dan memberi kelengkapan pada keluarganya.

Situasi ini benar-benar mengajar kita untuk qanaah atau berpada-pada dengan apa yang kita ada. Berpada-pada dalam membelanjakan harta dan mengikut keinginan. Berpada-pada dalam berkongsi dan mempamerkan nikmat yang kita punyai. Kerana ada orang lain yang jauh lebih susah dari kita. Dan ada hak orang lain dalam harta kita. Kita menjadi lebih bersyukur atas nikmat dan rezeki yang kita punya.

Ingatlah pada sebuah hadis Rasulullah SAW mengingatkan kita mengenai sifat qanaah: “Jadilah seorang yang warak, nescaya kamu menjadi manusia paling baik dalam beribadat. Dan jadilah seorang yang memiliki sifat qanaah, nescaya kamu menjadi manusia paling bersyukur.” (Riwayat Ibnu Majah)

 

4. Cepat beradaptasi dengan perubahan

Jika kita tidak cepat beradaptasi kita akan ketinggalan dan menjadi tidak relevan. Musibah ini mengajar kita untuk segera beradaptasi. Misalnya sesi pembelajaran dan pengajaran yang biasanya dilakukan di dalam kelas menggunakan buku dan kertas bertukar menjadi secara atas talian menggunakan video.

IMAN sendiri misalnya yang menjual buku-buku fizikal harus cepat beradaptasi dengan dengan situasi yang berlaku dan memikirkan peluang-peluang lain. Jika kita tidak cepat beradaptasi kita akan ketinggalan dan tidak mendapat apa-apa manfaat.

 

5. Kita akan sentiasa memerlukan orang lain

Terkadang rutin harian kita yang memerlukan kita bertemu ramai orang setiap hari menyebabkan kita inginkan masa untuk bersendiri. Sehingga terkadang merasakan kita boleh melakukannya semuanya sendiri tanpa bantuan sesiapa. Ditambah lagi dengan teknologi hari ini yang memungkinkan hal itu terjadi.

Namun, dalam tempoh ini mengajar kita untuk lebih menghargai setiap orang yang hadir dalam hidup kita. Apabila berjauhan dan lama tidak bertemu barulah kita merasakan pentingnya sebuah komunikasi dan keberadaan orang-orang di sekitar kita untuk meastikan kita menjadi manusia yang seimbang. Stabil emosi dan fikiran.

Demikianlah 5 pelajaran yang dapat kami kongskan kali ini. Didoakan semoga kalian semua berada dalam keadaan yang terbaik. Terbaik fizikal, emosi dan spirtual. Jaga diri dan keluarga, terus bertahan ya, kita lakukan ini bersama-sama. Jangan lupa untuk terus mendoakan agar musibah ini segera berlalu pergi.

 

 

Disediakan oleh,

Hidayah Hamid & Usaid Asmadi,

(Tim Konten IMAN)