fbpx
Bertaubat itu senang, mahu kekal bertaubat itu yang susah.

Tatkala manusia ingin bertaubat atas kesilapannya, hanya satu langkah yang perlu diambil untuk melakukan taubat itu. Namun, yang selalu menjadi kesusahan bagi kita adalah untuk kekal bertaubat, yakni istiqamah dalam keadaan bertaubat.

Justeru, berikut ada enam saranan yang perlu kita buat secara berperingkat supaya berjaya kekal dalam perubahan.

 

1. Adakan hala tuju yang jelas.

Apabila fitrah god spot dalam hati tersinar dengan cahaya hidayah, jangan terus bertindak terus secara tergopoh-gapah. Kita perlu menetapkan dahulu niat dengan jelas – kenapa kita mahu berubah, bertaubat?

“Aku mahu berubah/bertaubat kerana mahu capai keredhaan Allah.”

Keredhaan Allah SWT ini adalah enjin yang mendorong pada permulaan. Malah ada kenikmatan yang menunggu di penghujungnya. Niat inilah juga matlamat.

“Aku mahu bertaubat sebab kawan aku bertaubat.”

Niat sebegini sebenarnya bagus, tapi ia tidak jelas. Apabila hala tuju tidak jelas, ia membuatkan pendirian ‘mahu berubah’ itu tidak kuat.

Hasilnya, apabila ada gangguan yang menghilangkan fokus, ia bakal goyah. Jika kawan dia itu berhenti berubah di tengah jalan, maka kita pun akan terjebak sama.

 

Niat, matlamat, hala tuju taubat – kesemuanya tidak boleh berpaksi duniawi. Perubahan yang dilakukan dengan niat keduniaan sukar membuatkan seseorang itu istiqamah untuk bertaubat.

Taubat ini sesuatu yang suci, ia bukan perlukan matlamat materialisme untuk bergerak, tetapi kesedaran bahawa manusia ini sebenarnya hamba – kepada Allah SWT.

 

2. Jangan tunggu, terus buat.

Apabila keinginan bertaubat itu termeluwap, jangan ditangguh-tangguh!

Ini kerana dengan sikap menunggu-nunggu inilah keinginan yang hangat membara pada asalnya bakal bertukar kepada bara yang sejuk. Bara yang sejuk tidak menggugah sesiapa, ia sudah tidak mendorong kerana sudah hilang tarikan.

Walaupun saranan pertama tadi menyatakan jangan tergopoh-gapah, tidak bererti kita perlu melewat-lewatkan tindakan kita. Tergopoh-gapah itu hanya terjadi apabila perbuatan itu disulami niat tidak jelas dan sikap hangat-hangat tahi ayam.

 

Tindakan perlu segera, tetapi tersusun, berstrategi, dan berdisiplin. Bermula sahaja percikan keinginan taubat itu muncul, gerakkan jentera akal dan fizikal untuk memenuhinya serta-merta.

<image>
Sesuatu perbuatan apabila dilakukan bersungguh-sungguh bakal memperolehi penghujung yang lumayan, apatah lagi usaha itu dilakukan ikhlas kerana Allah SWT:

“Dan orang berusaha dengan berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak Kami, sesungguhnya Kami pimpin mereka ke jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang berusaha membaiki amalannya.”
(Surah al-Ankabut: 69)

3. Memilih suasana hijrah.

Ada satu hadis Rasulullah SAW:

“Perbandingan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin memberimu minyak wangi, atau engkau akan membeli minyak wangi daripadanya, dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau harum daripadanya. Sedangkan tukang besi, mungkin (percikan apinya) mengenai pakaianmu, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak enak.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika kita yakin mahu bertaubat dan terus-menerus berada dalam keredhaan Allah SWT, maka kita perlu melihat suasana sekelilingnya juga.

<image>

Adakah kita mendekati kawan-kawan yang mendorong kita kepada kebaikan?

Adakah persekitaran kita sudah tidak berkisarkan kemaksiatan, tetapi ditukar kepada suasana yang saban masa mendorong kita menjadi hamba Tuhan yang baik?

Apakah kita mencari guru yang boleh membimbing kita selalu?

Suasana sekeliling inilah yang mampu menjadi guru, teladan mahupun contoh, inspirasi serta motivasi untuk seseorang supaya kekal dalam keadaan dirahmati Allah SWT.

4. Mulakan perubahan dengan amalan yang kecil atau ringan dahulu.

Apabila bertaubat, jangan tergesa-gesa untuk terus menjadi baik secara total.

Mulakan dahulu dengan amalan yang ringan atau kecil. Ini supaya kita dapat membina satu daya toleransi yang mampu menerima terhadap suasana hidup baru, mahupun satu sikap yang berupaya menolak kemaksiatan secara keseluruhan tanpa ada sisa yang tinggal pada diri.

Amalkan petua, sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.

Carilah amalan yang dapat dibuat pada permulaan ini. Istiqamah dalam melakukannya. Tidak perlu banyak, satu sahaja pun sudah cukup. Tetapkan matlamat, jika berjaya melakukan amalan ini 30 hari tanpa putus, tambah lagi amalan lain. Jika tidak tambah amalan lain, tambah baik amalan yang sedia ada itu – jadikan ia amalan yang berkualiti.

Manusia tidak mampu berubah 180 darjah dalam masa yang singkat.

<image>

Dengan melakukan amalan yang ringan dan kecil terlebih dahulu, kita sedang membina persediaan. Menguatkan akar. Supaya nanti kita menjadi kuat secara berperingkat, yang tidak terhenti di tengah jalan kerana ujian nafsu. Apabila angin dan ribut taufan melanda, kita tidak tumbang, sebab ‘akar’ kita dalam ke pasak bumi.

“Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Amalan yang kecil tetapi dilakukan secara berterusan lebih baik. Yang penting adalah kualiti, bukan kuantiti. Jika kejar kualiti terlebih dahulu, tiada masalah pada bab kuantiti.

5. Jaga solat. Berdoa kepada Allah.

Apabila mahu bergelumang dalam dunia perubahan aka taubat jangan sesekali lupakan yang paling asas sekali – iaitu solat lima waktu. Walau seteruk mana sekalipun keadaan dia, walau sebesar mana kemaksiatan yang dia lakukan, solat jangan dilupakan.

Solatlah penghubung utama seorang hamba kepada Allah SWT.

<image>

Dan setiap kali selepas solat, panjatkan doa kepada-Nya. Antara doa yang baik adalah doa yang diamalkan Nabi SAW.

Contohnya seperti pesan Rasulullah SAW kepada Mu’az bin Jabal RA di bawah:

“Aku wasiatkan kepadamu Mu’az, jangan kamu tinggalkan bacaan setiap kali di akhir solat hendaknya kamu berdoa: Ya Allah, bantulah aku untuk mengingat-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan beribadah dengan baik kepada-Mu.”
(Riwayat Abu Daud)

6. Lazimi dan sentiasa bertaubat.

Bagi orang yang bertaubat, ujian untuk kembali ke dunia maksiat sentiasa ada dan malah menggoda.

Tidak dinafikan, ada sahaja yang tumbang semasa perjuangan memuncak. Faktornya pelbagai, kesannya berbeza bagi lain-lain individu, tetapi inilah realiti yang ada berlaku.

Namun, bagi kita yang kecundang sekali, jangan terus putus asa.

Apabila terjatuh sekali, bangkit lagi. Apabila terjatuh berkali-kali, bangkit berkali-kali!

Tidak banyak manusia menjadi sempurna baik pada percubaan kali pertama. Majoriti adalah insan yang diduga bertimpa-timpa. Ini tanda sayang daripada Tuhan. Dia menguji kita sebab Dia mahu kita kembali kepada-Nya dengan lebih kuat daripada sebelumnya.

<image>

Apabila jatuh, beristighfarlah, buat ‘post-mortem’, perbaiki kelemahan. Atasi kelemahan itu, tumpu pada kekuatan, kuatkannya. Sentiasa bersihkan diri daripada dosa-dosa silam, fokus bina amalan yang diredhai Allah SWT, genggam dengan erat tabiat yang baru.

Bak kata hujjatul Islam, Imam al-Ghazali:
“Jika kamu bertaubat sehingga taubat itu gugur dan kamu kembali melakukan dosa, maka, bersegeralah bertaubat kembali! Katakanlah kepada dirimu: Moga-moga aku mati sebelum sempat mengulangi dosa kali ini.”

Jangan mengalah. Mereka yang istiqamah untuk bertaubat walaupun tahu diri mereka disirami lebat dengan dosa, berkali-kali – adalah orang yang hebat diperhatikan Tuhan. Dan sungguh, orang yang bertaubat sangat disukai oleh-Nya.

“Kecuali orang bertaubat, beriman, dan mengerjakan amal soleh. Maka kejahatan mereka akan diganti Allah dengan kebaikan.”
(Surah al-Furqan: 70)

“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan orang menyucikan dirinya sendiri.”
(Surah al-Baqarah: 222)

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya, nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (terus-menerus).”
(Surah Hud: 3)

Apakah tips dan panduan yang anda sentiasa pegang untuk konsisten dalam perubahan? Kongsikan dengan kami dan pembaca di luar sana!

 

Follow telegram Kak Iman untuk dapatkan semua berita terkini. >> t.me/KakIman

 Penulisan oleh,

Sang Penulis Jiwa.