fbpx

Memasuki minggu ke-3 PKP ini benar-benar semakin meresahkan dan mengganggu. Setiap hari saya melihat kalendar dan menghitung hari-hari PKP ini akan berakhir. Bekerja dari rumah menjadi cabaran kepada semua terutama yang sudah berkeluarga.

Ketika diumumkan tempoh PKP dipanjangkan, hati saya sedikit berkecamuk. Sebab produktiviti yang lari, rasa tidak bersemangat, bahkan serabut dengan berita-berita yang melimpah di setiap ruang media sosial dan mesej-mesej yang dikongsikan oleh orang lain. Dunia tetap bising walaupun masing-masing berada di dalam rumah.

Sebahagian hati saya selalu rasa mahu menjerit dan mengharapkan semua ini lekas-lekas berakhir.

“Tenang, tenang, tarik nafas dalam-dalam,” kata saya pada diri sendiri, cuba bertenang, cuba memujuk diri.

Saat kita berasa resah ialah saat kesihatan mental kita mudah terjejas dengan memikirkan hal-hal yang negatif. Maka;

  1. Cari orang yang anda percaya untuk anda luahkan apa yang terbuku di hati

Jika ada sesuatu yang menganggu perasaan dan mental kita, cari teman berbicara dan kita boleh meluahkan tanpa rasa dihukum. Boleh jadi orang itu ialah ahli keluarga kita, atau teman-teman, atau rakan sekerja.

Menyimpan perasaan berkecamuk seorang diri tidak sihat untuk kesihatan emosi kita.

  1. Ambil masa untuk bermeditasi dan mengatur pernafasan kita.

Bermeditasi itu hanya memerlukan kita untuk duduk sebentar, kosongkan fikiran kita dari memikirkan apa-apa, dan atur kembali pernafasan kita – tarik nafas dalam-dalam, kemudian lepaskannya perlahan-lahan. Ambil masa sekitar 10-15 minit sehari.

Menunaikan solat dan zikir juga boleh dikira sebagai satu bentuk meditasi bagi orang Muslim. Solat dilakukan tanpa terburu-buru, membaca dengan tenang, kosongkan fikiran dan memusatkan pergantungan dan pengharapan hanya kepada Allah.

Digalakkan untuk menggunakan wangi-wangianserta haruman yang menenangkan sewaktu kita bermeditasi atau menunaikan solat supaya fikiran kita lebih mudah untuk menjadi tenang.

  1. Luangkan masa untuk melakukan aktiviti yang menyeronokkan

Saya masih ingat perunding psikologi saya berpesan supaya saya luangkan masa setiap hari untuk lakukan aktiviti yang saya suka lakukan – dan melihat hal ini penting untuk kita lakukan sebagaimana pentingnya kita perlu makan setiap hari.

Perunding psikologi saya pernah bertanya saya; “Kita rasa depressed sebab kita tak dapat buat aktiviti yang kita suka, atau kita tak buat aktiviti yang kita suka menyebabkan kita depressed? Mana satu?”

Saya menjawab yang pertama. Tetapi dia kemudian berkata; “Sebenarnya kedua-duanya. Sebab itu penting kita pastikan kita ada aktiviti yang kita gembira lakukan setiap hari.”

  1. Jaga maka, minum dan tidur.

Menjaga makan, minum dan tidur sangat penting untuk memastikan metabolisme tubuh badan kita berfungsi dengan baik dan sentiasa dalam keadaan yang optimum. Jika tidak dijaga, ia akan mengganggu fungsi badan kita.

Perasan kan, jika kita terlalu kerap kurang tidur kita mudah jatuh sakit? Sebabnya kekurangan tidur atau tidur yang tidak teratur akan melemahkan fungsi imunisasi badan kita (Besedovsky, L., Lange,T., Born, J., 2018).


  1. Melakukan senaman 10-15 minit setiap hari

Bersenam ialah aktviti yang bagus untuk memastikan tubuh badan kita dapat menghasilkan hormon endorfin – sejenis hormon yang membuatkan kita merasa gembira atau positif.

Ajak kawan atau ahli keluarga anda bersenam bersama supaya lebih bersemangat untuk melakukannya. Ikut sahaja contoh-contoh senaman yang ada di dalam Youtube misalnya.

  1. Satu per satu. One at a time.

Lambakan kerja sememangnya mudah membuatkan kita terasa beban, stres dan emosi jadi terganggu. Lakukan ini:

Paused. Berhenti sejenak, kemudian senaraikan 3-4 kerja yang perlu kita lakukan dalam bentuk poin mudah. Buat satu senarai dan pangkah tugasan yang kita selesai lakukan, satu per satu.

Supaya, ini dapat memberi ‘sense of accomplishment’ dan membuatkan kita lebih produktif.

  1. Berhenti

 Sudah sampai masanya untuk kita berhenti dari terus-menerus menjebakkan diri dengan sesuatu yang toksik, terutamanya daripada media sosial.

Fokus hanya pada berita yang penting (bukan bahagian komentar dan pendapat orang yang bukan ahlinya), atau menggunakan media sosial dan perkhidmatan atas talian untuk berhubung dengan keluarga atau teman-teman dari jauh.

  1. Kembali kepada Tuhan

Sentiasa sandarkan setiap apa yang kita harapkan dalam doa-doa kita kepada Tuhan. Tidak semestinya berdoa itu harus di atas sejadah. Di mana sahaja kita berada. Berdoalah walaupun di dalam hati juga tidak apa, seolah-olah kita sedang berbicara terus kepada Tuhan – apa yang kita fikir, apa yang kita rasa, apa yang mengganggu kita, apa yang kita syukuri, apa sahaja yang membuku di dalam hati – kita beritahu Tuhan.

Kerana Dia tidak pernah meninggalkan kita.

Disediakan oleh,

Syahira Hozami,

Penulis dan Editor IMAN.