Ramadhan adalah bulan di mana segala jenis kebaikan terhimpun. Di sana sini kita akan melihat pelbagai usaha kebaikan dilakukan. Semua tertumpu untuk menambah ilmu dan amal masing-masing. Tidak ketinggalan juga amalan membaca. Masa senggang diisi dengan membaca buku-buku yang dapat meningkatkan pengetahuan dan keimanan.

Setelah melihat senarai ‘best-seller’ di kedai dan juga atas talian (online) di Iman Shoppe, Kak Iman dapat simpulkan buku-buku yang bertemakan ketuhanan, al-Quran dan Ramadhan menjadi pilihan pembaca IMAN Ramadhan kali ini.

Mari Kak Iman kongsikan 9 buku terbaik pilihan pembaca IMAN sempena Ramadhan kali ini.

 

1. The Art of Letting God oleh Mizi Wahid

Buku ini ditulis dalam Bahasa Inggeris oleh Ustaz Mizi Wahid. Seorang ikon agamawan yang terkenal di Singapura. Buku ini disusun dengan begitu teliti, terasa begitu dekat di hati ketika membacanya. Ada ketika dalam hidup kita merasa hilang arah, putus asa dan kecewa. Kita berusaha mencari jawapan kepada segala persoalan yang bermain di fikiran kita.

Ustaz membawa kita untuk kembali merefleksi bahawa segala apa yang berlaku dalam kehidupan kita adalah yang terbaik buat kita. Allah sentiasa mendatangkan semuanya pada masa yang tepat. Ustaz turut memberi panduan bagaimana menjadikan hati kita tetap tenang dalam dunia yang kita dikawal oleh sosial media hari ini. Sangat disarankan membaca buku ini buat kita yang ingin mencari makna kehidupan.

 

2. Being a Quran Tag Girl oleh Ayesha Syahira

Buku pertama tulisan Ayesha Syahira. Dalam buku ini penulis menceritakan tentang perjalanan penulis dari awal sehingga kini dalam usaha mendekati, memahami ayat-ayat al-Quran.

Penulis turut berkongsi tips-tips yang diamalkan beliau dalam usaha membaca, mentadabbur dan mengamalkan pengajaran yang diperoleh daripada ayat-ayat al-Quran untuk diamalkan dalam kehidupan seharian dalam usaha menjadi individu yang lebih baik dari hari ke hari.

Sangat sesuai bagi mereka yang ingin mendapatkan motivasi untuk mula mendekati, membaca, menghayati dan memahami Al-Quran. Semoga makin jatuh cinta dengan al-Quran.

3. Kompas 114 oleh Syaari Ab. Rahman

Buku ini merupakan buah tangan Ustaz Syaari yang telah memberi manfaat kepada sekian ramai pembaca. Sangat bagus untuk dijadikan alat bantuan bagi lebih mengenali & mencintai Al-Quran. Grafik imej yang sangat membantu untuk lebih memahami dan menghayati isi Al-Quran itu sendiri.

Bukan setakat menjelaskan objektif setiap surah tetapi juga mengkongsikan hubung kait di antara satu surah dengan surah yang lain. Terasa lebih dekat dengan ayat-ayat al-Quran ketika membaca buku ini. Ia bukanlah buku yang kita baca sekali sahaja dan dah selesai, ia buku yang kita akan sentiasa ulang-ulang membacanya setiap kali ingin mentadabbur isi al-Quran.

Oleh itu, wajarlah buku ini dimiliki oleh setiap orang yang ingin mendalami isi al-Quran sebelum membaca kitab-kitab tafsir yang lebih kompleks.

 

4. Bagaimana Mengambil Manfaat dari Al- Quran Dr. Majdi Al-Hilali

Karya asal buku ini adalah dalam Bahasa Arab. Buku ini mengajak pembaca memandang al-Quran bukan setakat sebuah kitab yang diberi perhatian pada huruf dan lafaz sahaja tetapi kepada isi penting yang ingin disampaikan. Hal ini kerana nilai dan keberkatan al-Quran tersembunyi di dalam makna-maknanya.

Lafaz merupakan cara untuk kita memahami makna. Penulis membawakan kupasan bagaimana al-Quran boleh membawa perubahan pada diri para sahabat dan bagaimana kita boleh mencontohinya.

Buku ringkas ini sangatlah memberi nafas baru kepada kita dalam memandang al-Quran.

 

5. Letters to God oleh Norhafsah Hamid

Sebuah novel dalam Bahasa Inggeris. Cerita tentang seorang gadis introvert bernama Sarah yang menulis surat, seperti diari menceritakan kehidupannya sehari-hari.

Siapa yang dia jumpa dan apa yang dia lalui saban hari. Latar belakang masa adalah ketika Sarah menyambung pengajiannya di luar negara & berjauhan dengan keluarga.

Yang menarik dan mendapat pujian ramai adalah apabila di setiap akhir surat dia meletakkan hadis atau ayat al-Quran yang berkaitan apa yang ditulisnya untuk memujuk dirinya. Buku ini memberi inspirasi kepada kita bagaimana untuk melalui hari-hari mendatang. Berdialog dengan Tuhan melalui doa dan al-Quran.

 

6. Menyambut Ramadhan mengikut Imam Hasan Al-Banna

Buku ini menghimpunkan tulisan-tulisan Imam Hassan Al-Banna mengenai Ramadhan yang ditulis pada tahun 1933 sehingga 1948. Ada 25 artikel dalam buku ini yang menyentuh tentang Ramadhan dan ada dua artikel terakhir tentang Syawal.

Walaupun telah ditulis berabad lamanya, namun isinya masih kekal relevan buat rujukan kita hari ini. Beliau banyak membetulkan cara kita memandang Ramadhan itu sendiri. Antara yang menarik perhatian Kak Iman adalah mengenai kupasan Ramadhan dan konsep kebebasan. Beliau menekankan bahawa antara intipati Ramadhan ialah makna kebebasan diri.

Iaitu bebas daripada salah faham bahawa makan dan minumlah yang memberi manusia kekuatan bekerja kuat. Dalam buan Ramadhan kita dilarang makan dan minum. Oleh itu, ia memberi cetusan kepada kita bahawa kita mampu bebas untuk menjalankan aktiviti harian atau bulanan tanpa ada keterikatan kepada sesuatu yang nampak zahirnya penting seperti makanan.

Kita mampu merdeka daripada semua itu dan itu adalah suatu bentuk kebebasan nafsu.

 

7. Reviving The Spirit of Ramadhan oleh Hasrizal Abdul Jamil and Aqtar Mohamed Umar

Buku ini ditulis dalam Bahasa Inggeris. Ada beberapa tulisan di dalam buku ini yang diterjemah dari buku asal Transformasi Ramadhan. Dalam buku ini Ustaz mengajak pembaca untuk memaknakan amal ibadah terutama Ramadhan yang kita lakukan.

Kerana Islam bukanlah sekadar agama hukum, yang mana wajib, yang mana haram. Tetapi, Islam adalah agama yang lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan dan sentiasa bertepatan dengan fitrah manusia.

Hanya kita yang perlu kembali merasakan objektif di sebalik setiap suruhan Allah. Buku ini mengajak kita berfikir dan lebih menghayati amal ibadat kita.

 

8. Heaven Sent oleh Norhafsah Hamid

Novel ini merupakan sekuel novel Letters To God. Norhafsah terkenal dengan tulisannya yang menyentuh hati ramai pembaca. Berkisarkan tentang perjalanan seorang wanita Muslim yang bernama Sarah mencari Tuhan. Watak yang begitu berdikari dan tegas berprinsip.

Menyambung pelajaran di luar negara dan dikelilingi kawan-kawan non-Muslim, tidak menjadikan Sarah semakin jauh dengan agama malah menjadikan rakan-rakannya semakin jatuh cinta dengan Islam. Selain itu, buku ini juga mengangkat mesej baik atau buruk individu seseorang itu, sentiasa ada ruang untuk dia melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik.

 

9. Prayers of the Pious oleh Omar Suleiman

Omar Suleiman merupakan seorang aktivis, penulis, penceramah dan ilmuwan yang terkenal dari Amerika. Google sahaja nama beliau, kita akan dapat lihat banyak video-video perkongsian dari beliau.

Sudah semestinya buku ini ditulis dalam Bahasa Inggeris. Buku ini mengumpulkan 30 doa pendek daripada 30 orang soleh di zaman silam yang disertakan pesan-pesan spritual dan praktikal.

Mudah untuk kita amalkan dan lebih memahami doa tersebut lalu membuahkan keyakinan yang lebih kukuh. Apa yang lebih menarik, di hujung buku ini turut disertakan ruang untuk jurnal doa pembaca. Pembaca boleh menyenaraikan doa yang ingin dipohon.

Demikianlah sedikit Kak Iman kongsikan apa yang menarik daripada buku-buku pilihan pembaca IMAN sepanjang bulan Ramadhan ini.

Kalian dah baca yang mana? Jemput kongsikan bersama kawan-kawan untuk kita saling memberi manfaat.

Sekian dulu untuk kali ini.