PBAKL atau penuhnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang juga dikenali sebagai Kuala Lumpur International Book Fair merupakan satu acara yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pencinta buku. Tidak hairanlah ada yang menggelarkannya sebagai “Hari Raya Orang Buku”.

Bagi tahun 2019, PBAKL akan berlangsung bermula dari 29 Mac sehinggalah 7 April. Ini merupakan penganjuran kali ke-38. Dan menariknya bagi tahun ini, pesta ini berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 10 malam setiap hari. Berbeza dari waktu operasi sebelum-sebelum ini yang berlangsung sehingga 8 malam sahaja dan 9 malam pada hari Jumaat-Ahad dan cuti umum. Wah seronoknya!

Buat kalian yang telah biasa pergi ke PBAKL pasti sudah tahu apa yang menariknya di PBAKL kan?

Untuk kalian yang masih tertanya-tanya, apa yang best sangat dengan PBAKL tu, mari Kak Iman nak cerita. 🙂

1. Mengumpulkan banyak penerbit

PBAKL merupakan satu pesta buku yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan penerbit di Malaysia. Oleh itu, hampir semua penerbit yang ada di Malaysia akan turut sama terlibat. Manakan tidak, pada tahun lepas sahaja, hampir 700 buah booth yang disediakan penganjur. Sama ada berkongsi booth bersama rakan- rakan penerbit lain atau menyediakan booth bagi syarikat penerbitannya sendiri.

Senang cerita, sebutlah nama penerbit Malaysia apa pun, pasti buku mereka boleh didapati sewaktu PBAKL. Bagi Kak Iman, inilah yang best, Kak Iman tak perlu susah-susah menjejaki mencari buku-buku yang Kak Iman inginkan di banyak tempat. Hanya datang di PBAKL, Kak Iman boleh dapat banyak buku yang Kak Iman mahukan.

 

2. Beli buku dengan harga yang murah

Kebiasaannya, penerbit akan menawarkan harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran biasa. Sesetengah penerbit memberikan potongan harga sehingga 80%. Pelbagai pakej yang ditawarkan. Antaranya seperti pakej kombo dan mix-match. Buku-buku aktiviti sekolah, buku-buku motivasi dan novel-novel boleh diperolehi dengan harga di bawah RM10. Jimat kan?

 

3. Berjumpa kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama

Selain dari mudah untuk mencari buku yang diingini dan boleh mendapatkannya dengan harga yang murah, kita juga berpeluang untuk bertemu dengan ramai kawan-kawan yang mempunyai minat daripada genre yang sama. Dari situ, kita boleh menambah kenalan dan saling bertukar-tukar cerita mengenai pembacaan. Jika sebelum ini, kita merasakan susah sangat untuk bertemu kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama dengan kita, inilah masanya!

 

4. Berjumpa penulis

PBAKL juga merupakan satu platform yang mengumpulkan para penulis dari pelbagai latar belakang. Oleh itu, hampir setiap booth akan ada penulis di situ. Terutama pada hari Sabtu & Ahad. Pengunjung boleh terus berjumpa untuk meminta tandatangan, mengambil gambar kenang-kenangan dan juga saling bertukar cerita-cerita inspirasi. Inilah antara saat-saat yang dinantikan, kerana peluang untuk berjumpa terus dengan penulis yang kita gemari sangatlah jarang diperolehi.

 

5. Peluang menambah duit poket

Bagi sesiapa yang ingin menambah pendapatan sampingan, boleh mengambil peluang ini untuk menjadi personal shopper. Bukan semua kawan-kawan berkesempatan untuk turun ke PBAKL. Oleh itu, peluang ini boleh di manfaatkan dengan mengambil tempahan kawan-kawan yang tidak dapat pergi ke PBAKL tapi masih ingin mendapatkan buku-buku yang dihajati.

Wah, semakin tak sabar Kak Iman nak pergi PBAKL bila cerita pada kalian pasal PBAKL. Okey, nanti Kak Iman kongsi pula apa persediaan yang Kak Iman buat untuk pergi ke PBAKL. Jumpa nanti! Simpan tarikh #PBAKL2019  29 Mac hingga 7 April di kalendar kalian ya!

Sekian dulu untuk kali ini.