Baca al-Quran vs baca buku di bulan Ramadhan

Ramadhan adalah bulan al-Quran. Bulan yang diturunkan al-Quran di dalamnya. Bulan yang seluruh umat Islam di seluruh dunia memperbanyakkan bacaan al-Quran.

Lalu adakah ketika Ramadhan tiba kita tak boleh baca buku? Kita kena baca al-Quran sahaja? Saya konfius lah Kak Iman nak baca Quran ke buku. Baca buku pun bagus, tapi baca Quran lagi bagus. Tapi saya nak baca jugak buku. Macam mana ni Kak Iman. Rasa bersalah pun ada bila baca buku. Sepatutnya masa tu saya guna untuk baca al-Quran.

Siapa ada persoalan yang sama? Kak Iman pun sama. Tapi setelah separuh Ramadhan berlalu Kak Iman dapat simpulkan 4 perkara mengenai situasi ini. Tapi ia tidak muktamad tau. Bagi Kak Iman, jawapannya akan berbeza mengikut individu dek kerana perbezaan jadual harian dan target Ramadhan masing-masing.

Untuk beroleh kefahaman, mestilah dengan ilmu dan hidayah daripada Allah. Dan salah satu cara beroleh ilmu adalah dengan membaca. Untuk memahami kandungan al-Quran sendiri juga kita perlu membaca kitab tafsir dan sebagainya. Oleh itu, tiada salahnya jika kita memperuntukkan sedikit masa untuk membaca buku. Tapi jangan sampai baca buku sahaja dan tak baca al-Quran. Rugi kita.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda kepada para sahabat:
أَيُّكُمْ يُحِبُّ أَنْ يَغْدُوَ كُلَّ يَوْمٍ إِلَى بُطْحَانَ أَوْ إِلَى الْعَقِيقِ فَيَأْتِىَ مِنْهُ بِنَاقَتَيْنِ كَوْمَاوَيْنِ فِى غَيْرِ إِثْمٍ وَلاَ قَطْعِ رَحِمٍ » . فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ نُحِبُّ ذَلِكَ . قَالَ « أَفَلاَ يَغْدُو أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَيَعْلَمَ أَوْ يَقْرَأَ آيَتَيْنِ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ
عَزَّ وَجَلَّ خَيْرٌ لَهُ مِنْ نَاقَتَيْنِ وَثَلاَثٌ خَيْرٌ لَهُ مِنْ ثَلاَثٍ وَأَرْبَعٌ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَرْبَعٍ وَمِنْ أَعْدَادِهِنَّ مِنَ الإِبِلِ ».

“Siapakah di antara kalian yang suka berangkat pagi setiap hari ke Bathhan atau ‘Aqiq (pusat jual beli unta berkualiti tinggi) dan pulangnya membawa dua unta yang besar dan menarik tanpa melakukan dosa dan memutuskan tali silaturrahim?” Para sahabat menjawab, “Wahai Rasulullah, kami suka hal itu.” Beliau bersabda: “Ketahuilah sekiranya kalian pergi ke masjid, lalu belajar atau membaca dua ayat al-Quran? Sesungguhnya hal itu lebih baik daripada memperoleh dua ekor unta, tiga ayat lebih baik daripada tiga ekor unta, empat ayat lebih baik daripada empat ekor unta dan (jika lebih) sesuai jumlah itu dari beberapa ekor unta.” (HR. Muslim)

Saja Kak Iman pilih hadis ni, hadis yang jarang Kak Iman dengar. Unta tu kalau dapat diumpamakan pada zaman kini adalah seperti sebuah kereta. Dalam hadis ini menunjukkan membaca satu atau dua ayat al-Quran lebih baik daripada memperoleh satu atau dua ekor unta yang besar (kereta besar). Banyak lagi hadis lain yang menunjukkan keutamaan dan kelebihan membaca al-Quran terutamanya di bulan Ramadhan. Nanti kalian cari lagi ya.

4 poin penting Kak Iman nak kongsi dalam isu ini:

 

1. Pilih buku yang tepat

Masa yang kita ada singkat untuk membaca di bulan Ramadhan. Oleh itu, pemilihan buku yang tepat sangat memainkan peranan. Pilihlah buku yang berkaitan dengan al-Quran atau Ramadhan. Pilih buku yang membantu kita untuk mencapai target Ramadhan kita. Misalnya jika Ramadhan kali ini kita berazam untuk lebih akrab dengan al-Quran, kita boleh pilih buku Being A Quran Tag Girl oleh Ayesha Syahira, kalau kita berazam untuk lebih banyak bersangka baik dengan Allah, kita boleh pilih buku The Art of Letting God oleh Ustaz Mizi Wahid. Begitulah seterusnya.

     

 

2) Bahagikan masa untuk al-Quran dan buku

Peruntukkan masa untuk baca al-Quran bila dan baca buku bila. Misalnya, setiap kali lepas solat nak baca al-Quran. Baca buku pula masa rehat tengahari atau masa tunggu berbuka atau selepas terawih. Ha, tapi cara ni kena disiplin dan kuat azam sikit lah. Untung pada orang perempuan, sebab dia ada masa lebih sikit iaitu masa dia tak boleh berpuasa dan solat. Jadi masa tu boleh guna untuk baca buku.

 

3) Bawa kedua-duanya ke mana-mana

Bawa al-Quran dan buku ke mana-mana. Menaiki pengangkutan awam, pergi ke masjid, berbuka di restoran dan di mana-mana lah. Bila ada masa lapang sahaja, bukalah al-Quran dulu. Lepas tu rasa macam dah penat mengaji, boleh baca buku pula. Akhirnya, kita yang mengenali diri kita sendiri. Kalau rasa kita boleh baca al-Quran terus tanpa henti tak mengantuk, lakukan, tapi jika kita mahu berehat seketika dan berehat dengan membaca buku, lakukan. Yang penting pilih untuk berbuat sesuatu. Jangan banyakkan tidur dan bercakap perkara yang sia-sia.

 

4) Letakkan target apa yang kita nak dapat dari membaca buku tersebut

Jangan target untuk habiskan keseluruhan buku (jika masa membaca kita terhad). Target lah untuk dapat isi penting dari buku yang kita nak baca. Baca mengikut persoalan yang kita inginkan jawapan. Bila kita letak target nak habiskan baca buku tu tetapi masa kita terhad, nanti kita jadi stress bila tak berjaya. Takpe perlahan-lahan, yang penting matlamat akhir pembacaan tercapai. Iaitu menjadi sedikit tahu dari sebelumnya dan membunuh kebodohan.

Ok. Jadi jangan konfius dan pening-pening lagi. Baca lah al-Quran dan bacalah buku. Mari kita sama-sama mengisi Ramadhan dengan sebanyak mungkin amal kebaikan dan berusaha mencari makna di sebalik setiap amal ibadah kita. Salam nuzul Quran!

Sekian dulu untuk kali ini.