Umurnya ketika itu 40 tahun. Gua Hira’ yang menjadi tempat pertapaan nenek-moyangnya turun-temurun menjadi lokasi pilihan. Dipanjatnya Jabal Nour yang setinggi 300 meter itu, dari hari ke hari, dari minggu ke minggu. Muka gua Hira’ betul-betul menghadap ke pusat kota Makkah, kota yang membuat jiwanya resah lalu membuat pilihan untuk berkhulwah (bersendirian) di sana. Beliau adalah Muhammad bin Abdullah, Selawat dan Salam ke atas Baginda.

Ingin Dapatkan Info Terkini, Promosi Dan Surat Istimewa Daripada Kak Iman?
Masukkan email dan klik butang SAYA NAK! sekarang.
*T&C apply

Sumber: Antaranews

Kerosakan kaum Baginda bukan alang kepalang. Sedangkan bekas tinggalan Nabi Ibrahim AS, bapa sekalian Nabi dan Ismail AS, masih di hadapan mata mereka, mereka masih bertawaf mengelilingi Ka’bah, masih lagi berulang-alik melakukan Sa’i antara Safa dan Marwa, masih berdoa dan merayu kepada Allah SWT. Malangnya orientasi jiwa mereka tidak lagi mentauhidkan Allah SWT yang satu. Habis rosak Syariat mereka campuri dengan keberhalaan yang menjadi rutin harian mereka, sejak Amru bin Luhai Al-Khuza’i membawa pulang berhala Hubal masuk ke kota Makkah.

Bermula daripada Hubal, lalu lahirlah berhala-berhala lain di seluruh tanah Hijaz. Setiap kabilah mempunyai berhala mereka yang tersendiri, Huzail bin Mudrikah mempunyai berhala Suwa’, Kilab mempunyai berhala Wad, Muzhaj mempunyai berhala Yaghuts, sedangkan Khaywan mempunyai berhala Ya’uq, Humair mempunyai berhala Nasr. Lebih 360 buah berhala diaturkan di sekeliling Ka’bah, menjadi perhatian mereka yang bertawaf, barangkali menambah khusyuk. Ibadah Sa’i yang suci, mereka cemari dengan berhala Isaf dan Nailah. Kedua-duanya adalah dua pencinta, yang tidak direstui oleh ibu bapa masing-masing. Lalu, melepaskan berahi cinta mereka dengan berzina di dalam Ka’bah yang mulia, Na’uzibillahi min zalik.

 Image result for berhala hubal the patriots

Sumber: The Patriots

 

Dipacakkan Isaf di puncak Safa, manakala Nailah diletakkan di puncak Marwa. Lantaran cinta sejati, mereka puja dua pencinta ini. Seakan-akan mereka yang bersa’i bergilir-gilir menyampaikan salam cinta Isaf kepada Nailah. Sekali lagi, Na’uzubillahi min zalik!
Belum kita perincikan rosaknya hubungan keluarga, yang para wanita seakan hamba kepada suaminya, diperlakukan sesuka hati, dicerai dan dilacurkan. Anak-anak yang lahir tidak menentu keturunannya. Perkelahian dan penindasan adalah suatu hal yang rutin, yang menang tentulah mereka yang terdiri daripada kabilah-kabilah besar, bukannya mereka yang benar itu yang akan menang. Inilah lumrah undang-undang rimba, yang lemah ditipu yang kuat disanjung-sanjung. Na’uzubillahi min zalik!

Inilah model masyarakat yang berada di pandangan Baginda SAW sehari-harian. Malangnya, Baginda SAW buntu. Benar ini suatu kesalahan dan kesesatan yang nyata, tetapi di mana jalan keluarnya? Apakah kebenaran itu? Persoalan sebegini mendesak di dada Baginda SAW, hingga membawanya naik ke gua Hira’ menantikan sesuatu. Entah pedoman, entah ilham. Di sisi Allah SWT, inilah susunan peristiwa yang membawa kepada hari yang gilang-gemilang, ditabalkan Baginda SAW menjadi Nabi utusan-Nya. Lantas berlangsunglah upacara tersebut, sebagaimana yang diriwayatkan oleh ‘A’isyah dengan panjang lebar.

Jibril AS mendatangi Baginda SAW, mengajarnya untuk membaca. “Bacalah!” kata Jibril AS sambil memeluknya dengan erat lalu melepaskan Baginda SAW. “Tidak” jawab Baginda, “Aku bukanlah seorang pembaca.” Ia berulang sebanyak tiga kali sehingga akhirnya turunlah wahyu Allah SWT, lima ayat terawal daripada Surah Al-‘Alaq: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, Tuhanmu Maha Pemurah. Yang mengajarkan dengan pena. Dia mengajarkan manusia apa yang ia tidak tahu.”

 

 Alangkah indah aturan Ilahi, segala puji bagi Allah SWT. Ia tidak terkandung sebarang Syariat, tidak pula penetapan ibadah-ibadah tertentu untuk dilaksanakan. Mesejnya cukup asasi, menjawab persoalan yang berlegar dan menyesak di fikiran Abu Al-Qasim, Baginda Muhammad SAW. Ia memaklumkan pada Baginda SAW, bahawa Allah SWT ada untuk memberi panduan, didikan dan jalan keluar kepada masalah yang dilalui. Ia meminta Baginda SAW untuk mengiktiraf kelemahan diri yang selemah gumpalan darah, menyedari bahawa di atas kelemahan tersebut adanya sang pemberi ilham, iaitu Allah SWT.

Awalan dalam memahami agama ini adalah dengan menginsafi kejahilan diri lalu menyerahkannya kepada ajaran wahyu yang agung. Bacalah!

 

Penulisan oleh,

Khubaib Asmadi,

Editor Iman Publication.