Bersempena Hari Wanita Sedunia 2019, Kak Iman nak kongsi hasil perkongsian dari Dr Raudhah Yunus, penulis Tales of Mother semasa program Great Books, Great Women di Imanshoppe pada 3 Mac 2019 yang lepas mengenai how to deal with hardship?’ bagaimana menangani kesukaran yang berlaku dalam hidup?

Menjadi manusia normal, tanpa mengira jantina, perempuan atau lelaki, pasti akan melalui masa-masa sukar dalam kehidupan. Takkan pernah ada manusia yang tidak menghadapi masalah. Masalah yang datang dalam kehidupan kita bukanlah bertujuan untuk menjadikan kita lemah, tetapi untuk menjadikan kita lebih kuat dari hari ke hari.

Sama ada kita suka atau tidak, mahu atau tidak, masalah akan tetap kunjung tiba. Kita takkan pernah dapat lari daripadanya. Walaupun kita berusaha sedemikian kuat untuk berlari jauh. Kerana masalah, kesukaran, cabaran atau namakan apa sahaja, merupakan sebahagian dalam proses sebuah kehidupan.

Kata Dr Raudhah,

Pertama, kenal diri sendiri.

Kita sibuk menghabiskan masa kita untuk mengenali artis atau pelakon yang kita minati, atau berusaha sedaya mungkin mengenali pasangan kita, tetapi kita terkadang terlupa untuk mengenali diri kita dengan lebih mendalam. Mengetahui apa kelebihan dan kekurangan diri kita sendiri. Mengetahui apa tujuan penciptaan diri kita. Ke mana hala tuju kehidupan kita. Apa cita- cita yang kita idamkan.

Mengenali diri dengan lebih mendalam, menjadikan kita mudah menerima kemampuan diri dengan hati yang lapang. Kita akan lebih memahami diri kita. Kita akan lebih berupaya menyusun kehidupan kita. Oleh itu, apabila ujian datang menjengah, kita akan lebih tenang kerana kita tahu bagaimana kita akan menghadapinya.

 

Kedua, betulkan ‘mindset’ kita.

‘Mindset’ atau cara fikir yang betul adalah penting bagi memastikan perjalanan hidup kita tidak terganggu dek kerana perkara- perkara remeh. Jika kita mempunyai cara fikir atau cara pandang yang positif terhadap sesuatu perkara, itulah hasil yang akan kita perolehi.

Kita perlu sentiasa percaya bahawa Allah sentiasa inginkan yang paling terbaik buat kita hambaNya. Kita sebagai manusia seringkali tidak sedar dan tidak tahu. Kerana pengetahuan dan keupayaan kita terbatas. Setiap kali datang ujian yang tidak menyeronokkan kita, kembali ingat bahawa Allah pasti ingin menghadiahkan kita sesuatu yang lebih baik di sisiNya.

Sebagaimana Allah katakan di dalam al- Quran :

   وَعَسَى أَن تَكْرَهُواْ شَيْئاً وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ وَعَسَى أَن تُحِبُّواْ شَيْئاً وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ وَاللّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ

..dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

 

Ketiga, muhasabah atau reflections.

Jangan fokus pada kemarahan kita atau sakit hati kita atau apa sahaja yang kita rasakan setiap kali ada cubaan atau ujian dalam kehidupan kita. Apabila kita marah misalnya kita tak akan boleh terima dan tidak boleh faham apa yang sebenarnya yang sedang berlaku. Kita akan menyalahkan takdir dan orang lain.

Bertenang dan fikirkan apa pengajaran yang kita boleh ambil dari peristiwa yang menimpa kita tersebut.

 

Keempat, belajar untuk mengurus emosi kita.  

Apabila ujian demi ujian bertubi – tubi datang menghentam kita, bertenang dan akui emosi kita. Menangislah semahunya jika perlu. Wanita dan air mata kan tak boleh dipisahkan. Menangislah, keluarkan segala rasa. Jangan simpan dan biar ia membengkak di dalam hati.

Penting untuk kita akui emosi yang kita rasakan. Terima ia. Kemudian, kawal emosi kita. Kita boleh rasakan apa sahaja yang ingin kita rasakan tika itu, tapi yang lebih penting adalah kita perlu kawal tindakan kita selepas itu. Salurkan emosi negatif kita kepada perkara lain. Seperti menceritakan kepada orang yang kita percaya, atau menulis diari atau pelbagai cara lain.

Jangan biar emosi mengawal tindakan kita. Kita yang harus mengawal emosi dan tindakan kita. Menjadi wanita gagah, kita harus membiasakan begini.

Demikianlah sedikit sebanyak hasil perkingsian daripada Dr Raudhah yang Kak Iman dapat simpulkan dan tokok tambah.

Ayuh para wanita sekalian, apa jua beban di bahamu, sesak di dadamu, mari kita bersama- sama laluinya dengan semangat yang tak pernah berputus asa. Tuhan kan selalu ada. Selamat Hari Wanita Sedunia 2019 dari Kak Iman dan team.

Sekian dulu untuk kali ini.