Kata Dr. Sulaiman al-Duqur dari buku terbaru Ustaz Syaari iaitu Menggapai Bintang;

“54 surah daripada 114 surah al-Quran memuatkan kisah-kisah. Tujuan kisah-kisah al-Quran itu adalah tujuan al-Quran itu sendiri. Sekiranya al-Quran itu mukjizat, maka kisah-kisah yang terkandung di dalamnya juga adalah mukjizat! “

Ada 3 sebab kenapa buku ini memberi kesan pada kehidupan Kak Iman. Kak Iman harap, ia berkesan kepada awak juga.

1. Ustaz Syaari berjaya membantu kita untuk melihat kisah-kisah al-Quran dalam kehidupan seharian kita.

Antara ayat yang sering Ustaz ulang berkali-kali dalam kuliah beliau adalah,

“Tanyakan di mana kita dalam kisah al-Quran yang kita baca?”

Ketika kita membaca kisah tentang Firaun dan Nabi Musa misalnya, tanyakan adakah sisi-sisi Firaun dalam diri kita? Dan tanyakan juga di manakah sisi-sisi Nabi Musa yang harus kita teladani.

Ketika kita mampu memahami dan mengambil pelajaran dari kisah-kisah di dalam al-Quran, kita akan mendapati segala yang kita lalui, bukanlah kita seorang yang menghadapinya, rupanya telah berlaku kepada generasi sebelum kita dan telah ada pun solusinya. Hanya kita yang kurang mentadabbur (berfikir dan mengamati) ayat-ayat al-Quran.

Kata Ustaz, apabila kita diuji dengan kesakitan, lalu kita kehilangan kudrat untuk bekerja dan sebagainya, diuji dengan kecacatan, kita seharusnya menjadikan kisah Nabi Ya’kub sebagai panduan kita. Mencontohi bagaimana beliau bersabar dan redha atas ujian yang diberikan. Apabila kita menjadi seorang kakak, kita harus belajar dari kakak Nabi Musa bagaimana menjadi taat dan berani dalam menggalas tanggungjawab.

Begitulah seterusnya kita harus berinteraksi dengan kisah-kisah yang terdapat di dalam al-Quran. Melalui pendekatan yang Ustaz gunakan dalam buku ini, kita akan terbiasa melihat dengan lebih mudah dan jelas bagaimana untuk benar- benar menghayati ayat-ayat al-Quran yang Allah turunkan sebagai panduan buat kita.

2. Buah tangan istimewa dari Ustaz Syaari

Bagi kawan-kawan yang belum berpeluang untuk menghadiri kuliah Ustaz secara langsung, atas sebab kekangan waktu dan jarak atau anda merupakan individu yang lebih suka membaca berbanding mendengar, buku ini Kak Iman kira adalah buah tangan istimewa Ustaz Syaari buat kalian. Kalian masih boleh mengutip mutiara-mutiara berharga dari Ustaz untuk dimanfaatkan dalam kehidupan seharian walaupun belum berpeluang bertemu Ustaz.

Bagi kalian yang sudah pernah hadir kuliah Ustaz pun beruntung juga. Kerana dengan buku ini, boleh diulang-ulang membaca, ditulis nota di tepi helaian, diwarnakan point-point penting, point-point kesukaan dan sebagainya.

Seperti kata Ustaz, untuk saling berkongsi manfaat dari al-Quran kita harus memahami isinya terlebih dahulu. Dalam proses untuk memahami kita tidak boleh hanya mendengar sahaja, kita perlu merapikan prosesnya dengan membaca dan mengikatnya dengan catatan.

3. Ustaz Syaari selaku Murabbi Ummat

Bagi yang telah mengikuti Ustaz bermula dari awal penglibatan beliau dalam bidang tafsir dan tadabbur ini, samaada di radio IKIM.fm semenjak tahun 2013, di kuliah atau di seminar Ustaz – pasti telah mengetahui betapa telitinya Ustaz dalam mendisiplinkan diri beliau bagi menghasilkan tulisan dan input-input yang sesuai untuk dikongsikan dengan masyarakat awam.

Ustaz bukan sahaja merujuk kepada sebuah kitab tafsir, tetapi Ustaz akan membuka, membaca dan menelaah beberapa kitab tafsir dari pelbagai latar belakang. Sama ada dari ulama’ silam atau ulama’ moden, kitab-kitab dalam bahasa Arab atau dalam bahasa-bahasa lain. Ustaz juga akan mengelak seboleh mungkin mengambil kisah-kisah israiliyat (data-data yang diambil dari pendeta Yahudi yang memeluk Islam) dalam kupasan beliau.

Oleh itu, apa yang sampai kepada kita adalah hasil daripada pembacaan dan disiplin Ustaz terhadap ilmu tafsir. Ustaz bijak dalam memilih ayat dan situasi yang sesuai dengan masyarakat kita hari ini dan berjaya menampakkan sisi-sisi penting yang sering kita terlepas pandang dalam menghayati al-Quran.

Kata kawan Kak Iman, kalau boleh dianalogikan, kupasan Ustaz kepada kisah-kisah dalam al-Quran umpama lapisan bawang yang paling dalam, Ustaz berjaya mengupasnya dan membentangkannya kepada kita.

Huraian Ustaz yang mudah difahami dan tepat mengikut keadaan semasa sangat membantu kita dan membuat kita tiada lagi alasan untuk tidak bersungguh-sungguh dalam usaha memahami al-Quran.

Bukanlah Kak Iman ingin memuji Ustaz tanpa asas yang kukuh, namun kredebiliti dan ketokohan Ustaz dalam bidang ini wajar menjadi salah satu sebab kenapa karya beliau harus kita miliki. Ustaz telah mengambil amanah selaku murabbi ummat, menterjemahkan pemahaman beliau terhadap kitab-kitab besar yang tak mampu kita orang awam fahami dek kerana keterbatasan penguasaan bahasa Arab dan ‘ulum al-Quran’.

Boleh dapatkan Buku Menggapai Bintang di imanshoppe.com atau Whatsapp 013-287 5747!

 

Sekian dulu kali ini. Mesti tak sabar nak dapat buku ni dalam tangan kan! Hee, Kak Iman pun sama.