Semalam dalam usrah saya memilih untuk membincangkan tentang buku terbaru Ustaz Hasrizal yang bertajuk Seni Berfikir Yang Hilang. Sengaja saya pilih buku ini kerana kebetulan dalam usrah saya ada seorang yang memang meminati penulisan Ustaz Hasrizal dan dia sendiri sudah selesai membaca buku berkenaan. Kata dia, Ustaz Hasrizal selalu berjaya membawa sisi pandangan yang berbeza daripada kebiasaan. Pandangan Ustaz Hasrizal selalunya berjaya mengasak cara fikir dan faham orang dengan menemukan titik buta kepada isu yang diulas oleh beliau.

Ingin Dapatkan Info Terkini, Promosi Dan Surat Istimewa Daripada Kak Iman?
Masukkan email dan klik butang SAYA NAK! sekarang.
*T&C apply

Kata dia lagi : “Ustaz Hasrizal bukan tipikal ustaz.”

Buku Seni Berfikir Yang Hilang ini adalah syarahan semula daripada karangan asal Dr. Yusuf Qardhawi di dalam bukunya yang bertajuk Tsaqafah Al-Daiyah. Buku ini awalnya merupakan satu kertas kerja yang dihasilkan oleh beliau untuk dibentangkan dalam satu persidangan antarabangsa yang dianjurkan oleh Universiti Islam Madinah sekitar tahun 1976. Kertas kerja ini kemudiannya telah ditambah baik beberapa bahagian sebelum diterbitkan menjadi sebuah buku pada tahun 1978.

Saya masih ingat ketika saya baru memasuki pengajian asasi di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya di Nilam Puri, abang saya telah perkenalkan buku ini kepada saya. Buku yang dalam versi bahasa Arab. Pesannya mudah; “Baca dan habiskan. Penting. Lagilah bila belajar dalam bidang agama. Nanti dah habis kita bincang tentang buku ini”.

Maka, buku ini sering diselak dalam pengajian dan cuba difahami kandungannya sepanjang saya jalani pengajian asasi saya.

 

MENGHORMATI KEMULIAAN ILMU

Usrah semalam kami mulakan dengan satu persoalan, “Buku ini menjelaskan tentang 6 ilmu yang perlu difahami oleh kita. Jadi, kenapa dalam keadaan semua ilmu ini mempunyai perbahasan yang panjang, tapi bahagian agama yang paling panjang sampai merangkumi 2 per 3 daripada keseluruhan buku yang dikarang?”

Jika kita lihat dalam buku asal Dr. Yusuf Qardhawi yang setebal 144 muka surat, ilmu agama sahaja sudah setebal 99 muka surat yang dipecahkan kepada subtopik yang berbelas-belas. Perbincangan bahagian agama sangat mendalam dengan penjelasan beberapa disiplin ilmu agama seperti tentang Al-Quran, Sunnah Nabi dan juga lapangan Fiqh.
Penulis menjelaskan satu per satu perkara asas dalam ilmu agama.

“Dr. Yusuf Qardhawi ini latarbelakang pengajiannya adalah bidang agama. Panjangnya perbincangan agama dalam karangan ini sehingga merangkumi 2 per 3 buku menjadi satu gambaran yang beliau memang ada pengetahuan dan kepakaran yang mendalam dalam bidang yang beliau dalami”, kata anak buah usrah saya selepas meneguk sekejap air di depannya.

Kita akui yang mempelajari bidang agama tidak boleh lari daripada membaca tentang lapangan ilmu yang lain seperti bahasa dan sejarah. Kena belajar tentang bahasa supaya tahu bagaimana nak baca kitab karangan ulama besar. Memahami bahasa adalah pintu kepada memahami makna dalam setiap karangan yang ditulis.

Juga perlu belajar sejarah supaya tahu apa perjalanan yang berlaku sebelum ini sehingga menghasilkan apa yang ada pada hari ini. Memahami sejarah adalah memahami sebab dan akibat yang berlaku sebelum ini.

“Walaupun beliau ini saya percaya mendalam juga pengetahuannya kepada lapangan yang lain seperti bahasa dan sejarah, tapi beliau tidak menyentuhnya terlalu mendalam. Hanya menyebut secara umum sahaja kerana beliau menghormati lapangan ilmu berkenaan. Tapi pada masa yang sama beliau catatkan juga sebagai satu gambaran kepentingan mempunyai pengetahuan tentangnya. Disebabkan beliau bukanlah orang yang pakar secara mendalam dan bukan berlatarbelakangkan pengajian dalam ilmu berkenaan, beliau tidak mengupas secara mendalam sama seperti ketika beliau mengupas tentang agama. Beliau sedar limitasi duduknya ilmu beliau di mana”, sambungnya.

Dr. Yusuf Al-Qardhawi memahami kepentingan 6 lapangan ilmu yang beliau sebutkan dalam karangan beliau. Tetapi beliau mengupasnya cukup dengan peringkat pengetahuannya dan tidak berlebihan menjelaskan 5 lapangan ilmu yang lain.

Dalam karya asal beliau, ilmu sains dikupas sebanyak 7 muka surat sahaja!

Begitulah Dr. Yusuf Al-Qardhawi mengajar kepada kita. Menjadi seorang tokoh ulama yang besar tidaklah memberi kita izin untuk mengupas perkara yang luar daripada pengetahuan mendalam kita.

 

MEMBINA UMAT DAKWAH YANG MENGESANKAN

Karangan Dr Yusuf Qardhawi hadir bukanlah menjadikan kita seorang yang pakar dalam semua ilmu yang beliau sebutkan. Tetapi buku ini hadir untuk menyediakan seorang muslim menjadi umat dakwah.

Dakwah yang mengesankan. Bukan hanya menebar dalam awangan.

Memahami dan mengetahui ke semua 6 ilmu ini adalah untuk menjawab persoalan yang beliau lontarkan dalam prakata Tsaqafah Al-Daiyyah;

“Apakah ilmu yang cukup untuk seorang pendakwah menjadi orang yang berkesan dan memberi petunjuk?”

Jawapannya, ada penjelasan di dalam buku Tsaqafah Al-Daiyah. Tapi, buku ini tidak memberikan semuanya. Jika tidak mampu membaca bahasa Arab, maka hadirlah buku Seni Berfikir Yang Hilang untuk memudahkan kita memahami karangan Dr. Yusuf Qardhawi ini.

Ingat, membaca buku ini bukanlah untuk kita menjadi pakar sesuatu ilmu itu. Tapi membentuk cara fikir kita untuk menjadi seorang pendakwah. Bukan sekadar seorang pendakwah, tapi yang berdakwah dengan berkesan.

 

RESOLUSI USRAH

“Jadi, lepas kita faham sesuatu ilmu atau perkara, how to move forward?”

“Itulah, aku fikir juga. Ni baru permulaan. Aku terfikir seterusnya apa”

“Beginilah, setiap kali lepas kita tilawah dan tadabbur Quran, kita kongsi ilmu berdasarkan bidang pengajian kita. Boleh?”

“Boleh juga”

“Kongsi perkara yang boleh amal lah. Atau perkara yang orang selalu salah faham tentangnya. Jadi, minggu depan memandangkan kau bidang perubatan, kita mulakan tentang ilmu kesihatan”

“Nak aku kongsi pasal apa? Pemakanan?”

Saya pandang dia. Diam.

Pandai dia bergurau. Nak cakap saya tak jaga makan lah tu.

Dapatkan buku Seni Berfikir Yang Hilang tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di kedai buku berdekatan anda atau secara atas talian di imanshoppe.com .

 

Penulisan oleh,

Usaid Asmadi,

Pelatih di Iman Publication