fbpx

Ya, saya masih ingat sekitar tahun 2017, ketika itu saya bekerja sebagai pembantu editor di Iman Publication, lalu saya diminta oleh ketua editor saya, Kak Faizah, untuk membaca proposal manuskrip komik.

Ianya tentang Palestin.

Cuma, proposal yang saya terima itu hanya memuatkan dua bab sahaja. Dan dua bab itu tidak menceritakan apa-apa langsung tentang sejarah Palestin, melainkan pengenalan watak sahaja.

“Hmm, saya rasa, kita perlu baca keseluruhan manuskrip dahulu,” komen saya, dan kami ketika itu di pihak editorial Iman bersetuju.

Lalu pelukis tersebut – IF Moses, menghantar manuskrip Komik Gaza yang penuh. Berkali-kali saya dan editor yang lain membacanya, membincangkan kelebihan dan kekurangan manuskrip ini, dan mempertimbangkan potensi yang ada.

Ketika itu kami maklum, manuskrip Komik Gaza ini pernah ditolak untuk diterbitkan. Masih, kami memilih untuk membaca dan memberi penilaian menyeluruh.
“Macam mana?” CEO Iman Publication ketika itu, Fatin Syamimy bertanya kami, dalam mesyuarat yang entah kali ke berapa. Sudah tiga bulan manuskrip itu dalam perbincangan kami, dan kami perlu buat keputusan hari itu juga.

“It’s good, but not good enough.”

“Komik ini ada potensi, tetapi dengan apa yang ada sekarang ini, kita tak boleh luluskan untuk diterbitkan.”
“Nak suruh dia ubah?”

“Komik ini dah siap inking dan toning. Boleh kata kalau kena ubah, kena ubah banyak sebenarnya. IF Moses sanggupkah?”

“Itu, kena tanya IF Moses,” ujar CEO kami, “Dan Syeraho, awak in charge untuk komik ini ya!” serta-merta terus arahan big boss, saya yang ketika itu masih lagi seorang pembantu editor terkebil-kebil sebentar diberikan tanggungjawab tiba-tiba. 😂

Maka bermulalah pertemuan rasmi antara pihak Iman Publication bersama pelukis; IF Moses. Berbekalkan nota dan catatan komentar saya dan dari tim editorial Iman Publication, saya bentangkan satu per satu kepada IF Moses kelebihan, kelemahan juga komentar kritikan terhadap Komik Gaza itu. Sepanjang pembentangan itu, IF Moses dengar dengan teliti dan mencatat kritikan-kritikan dari kami.

“Berdasarkan penilaian yang kami dah bentangkan tadi, Komik Gaza ini sebenarnya tidak lulus untuk pihak Iman terbitkan,” ketika ayat ini dituturkan, saya ingat lagi ketika itu IF Moses sedaya upaya cuba menyembunyikan kekecewaannya. Tidak lulus, bererti ditolak dari diterbitkan.

Saya memandang Kak Faizah. Kami kemudiannya memandang ke arah IF Moses dengan senyuman.

“Tidak lulus untuk Iman terbitkan, tidak bermakna Iman tidak berminat,” kata-kata itu membuatkan IF Moses terkesima dan keliru sebentar.

“Begini, Komik Gaza ini membawa mesej yang sangat bagus, lukisannya juga kemas, cuma perlu diperbaiki lagi dari segi penceritaannya. Kami tahu, nak betulkan komik yang sudah siap inking dan toning ini sangat susah. Ada banyak pembetulan yang perlu dibuat, yang pihak kami faham akan memerlukan IF Moses untuk sketch, inking dan toning semula. Tetapi itulah yang pihak Iman offer; apakah IF Moses sanggup nak betulkan cerita Komik Gaza ini hingga pihak Iman Publication luluskan. Bagaimana?”

Berdebar jantung saya apabila tawaran itu disebutkan. Sebab saya tahu, permintaan untuk komik yang sudah siap inking dan toning ini diperbaiki jalan ceritanya, merupakan permintaan yang saya fikir mungkin pelukis tidak sanggup mahu hadapinya sekali lagi. Apatah lagi untuk manuskrip yang sama.

Ada jeda pabila IF Moses menarik nafas dan merenung sejenak manuskripnya itu.

“InsyaAllah boleh, saya sanggup,” ujarnya, yakin.

Alhamdulillah!

Semenjak pertemuan hari itu, beberapa kali pertemuan diadakan untuk sesi pembetulan komik. Bahkan, ketika saya sudah berhenti bekerja di Iman Publication dan sambung pengajian saya, rupanya siap ada kelas bahasa lagi editor perolehan Iman Publication buat khas untuk IF Moses 😂

Dan, akhirnya, hingga ke hari ini, saya masih lagi sukar hendak mempercayai rupa-rupanya Komik Gaza sudahpun sampai ke siri yang ke-4! 😭

Benar, sebagai seorang editor komik di Iman Publication yang telah mengikut rapat proses penghasilan Komik Gaza ini semenjak buku pertama lagi, penghasilan Komik Gaza bukan sekadar sebuah komik untuk memberi bahan bacaan yang menghiburkan semata-mata.

Bahkan, merupakan sebuah komik yang akan membawa kalian bersama-sama Gaza dan keluarganya, menelusuri sejarah Palestin – dengan debaran, dengan hubungan kekeluargaan, dengan kegetiran, kegembiraan, sesekali terselit kelucuan, juga bibit-bibit yang akan membuatkan pembaca rasa sebak dan kesedihan.

Sudahkah kalian membaca Komik Gaza?

Jika belum, dapatkannya sekarang juga!

 

 

Penulisan oleh,

Syahira Hozami,

Editor Komik Iman Publication.