fbpx

Filem Sully (2016) ialah sebuah filem berdasarkan peristiwa sebenar yang berlaku pada tahun 2009 di bandar New York. Dalam peristiwa tersebut, Kapten Chesley ‘Sully’ Sullenberger (lakonan Tom Hanks) mencipta sejarah apabila membuat pendaratan pesawat Airbus A320-214 di atas permukaan Sungai Hudson. 

Pesawat US Airways itu menghadapi kerosakan enjin di udara setelah dihentam oleh sekawan burung yang terbang dari arah bertentangan.

Peristiwa itu mengangkat Kapten Sully sebagai hero di mata negara kerana kesemua 155 penumpang dan krew ditemukan dalam keadaan selamat.

Sesi penyiasatan itu membuka mata semua pihak tentang suatu nilai penting yang selalu kita terlepas pandang dalam dunia pekerjaan, iaitu keistimewaan faktor manusia (human factor).

Faktor Manusia

Dalam kehidupan dan tugasan harian, ada banyak faktor yang perlu diambil kira ketika manusia membuat keputusan.

Dalam kejuruteraan misalnya, jurutera perlu mengambil kira nilai faktor seperti angin dan graviti dalam pengiraan melibatkan struktur dan binaan. Nilai faktor-faktor ini boleh dimasukkan dalam bentuk nombor dan boleh dirujuk nilainya dalam buku manual.

Namun, tidak seperti faktor-faktor tadi, faktor manusia hanya boleh dinilai secara kualiti berbanding kuantiti. Ia bergantung sepenuhnya kepada suatu individu – kemahiran membuat keputusannya, ilmunya serta pengalamannya dalam bidang diceburinya. 

Disebabkan faktor manusia ini, terdapat banyak kes kemalangan pesawat yang disebabkan oleh kesilapan manusia itu sendiri. 

  • Pada tahun 1983, sebuah pesawat Air Canada berlepas dengan hanya membawa kurang daripada separuh minyak yang diperlukan untuk sampai ke destinasi. Ini kerana krew di lapangan terbang tersilap menggunakan unit pounds berbanding kilograms dalam pengiraan mereka. Mujur juruterbang berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat di sebuah kawasan walaupun bergantung hanya dengan peralatan-peralatan ‘standby’ yang ada di dalam kokpit.
  • Pada tahun 1990 pula di England, sebuah pesawat hampir menyedut keluar juruterbangnya apabila tingkap kokpit tiba-tiba tercabut dalam penerbangan menuju ke Sepanyol. Dalam keadaan huru-hara itu, pembantu juruterbang berjaya membuat pendaratan cemas di Southampton dalam keadaan juruterbangnya terkeluar separuh badan. Penyiasatan mendapati kemalangan berlaku hanya disebabkan krew penyelenggaraan tidak menggunakan bolt yang betul untuk memasang tingkap berkenaan.
  • Sebuah pesawat terhempas di tengah lautan pada waktu malam Februari 1996 selepas setengah jam berlepas dari Peru, meragut kesemua 70 orang penumpang di dalamnya. Hal ini terjadi disebabkan seorang juruteknik terlupa untuk mencabut semula pita pelekat yang dilekatkannya pada sensor peralatan semasa membuat penyelenggaraan, mengakibatkan krew di dalam kokpit gagal menentukan ketinggian dan kelajuan angin semasa terbang di udara. Juruteknik berkenaan dihukum penjara selama dua tahun.
  • Pada tahun 1994, sebuah pesawat Airbus di Russia jatuh menjunam dari udara lalu terhempas dan membunuh kesemua 75 orang penumpang di dalamnya. Ia berlaku setelah juruterbang membenarkan anaknya duduk di atas kerusinya di dalam kokpit. Anaknya mematikan suis autopilot lalu pesawat itu akhirnya berpusing ke bawah sebanyak 90 darjah. Juruterbang dan pembantunya gagal menarik semula pesawat itu ke kedudukan asal.
  • Pada Ogos 2010, sebuah pesawat dari Republik Congo terhempas setelah hilang kawalan disebabkan seekor buaya. Buaya tersebut yang cuba diseludup salah seorang penumpang di dalam begnya terlepas dan berkeliaran di dalam kabin. Para penumpang lain panik lalu berlari dan berkumpul pada suatu hujung, mengakibatkan ketidakseimbangan berat dalam pesawat berkenaan.

Ini tidak termasuk banyaknya kes salah komunikasi antara juruterbang dan pegawai kawalan trafik udara serta serangan teroris atau orang sakit mental di dalam kokpit dan kabin.

Tidak dinafikan faktor manusia sering dilihat sebagai penyumbang kepada kelemahan dalam sesuatu sistem.

Setiap manusia memiliki pemikiran, emosi, serta tubuh badan yang berbeza. Mereka tidak seperti robot. Mereka bertindak mengikut ciri-ciri kemanusiaan mereka.

Manusia boleh mencipta sistem yang paling sempurna dan canggih dalam sejarah. Namun selagi mana sistem itu diuruskan oleh manusia, pasti akan berlaku gelinciran di mana-mana kerana manusia bukan entiti yang sempurna.

Begitu juga dalam kehidupan beragama. Orang Muslim mengimani Islam sebagai suatu sistem yang sempurna dan lengkap serta sesuai dengan cara hidup manusia sepanjang zaman. Cuma penganutnya ialah manusia biasa. Kita tidak pernah menemukan seorang Muslim, baik ulama’ atau mufti, yang tidak pernah membuat khilaf dalam hidupnya.

Hero Atau Penipu?

Badan penyiasatan mempertikai keputusan Sully kerana lapangan terbang hanya berada 5 kilometer dari tempat kejadian. Pesawat itu baru saja berlepas ketika dihentam burung. Pihak penyiasatan membentangkan bukti simulasi penerbangan bahawa pesawat itu sempat mendarat dengan selamat jika berpatah balik ke arah lapangan terbang.

Sully dituduh sebagai penipu.

Namun, menurut hujah Sully, mereka terlupa bahawa simulasi tidak mungkin sama dengan situasi sebenar. Mereka terlupa untuk mengambil kira faktor manusia, iaitu ‘tempoh reaksi’ juruterbang setelah mendapati enjin rosak – tempoh baginya untuk mengenal pasti pilihan-pilihan yang ada, dan paling penting, tempoh masa bagi seorang kapten membuat keputusan antara hidup dan mati itu.

Mereka terlupa bahawa juruterbang ialah manusia, yang membuat pertimbangan berdasarkan pengalaman, emosi dan fizikal diri.

Sungguhpun sebuah simulasi penerbangan dijalankan oleh seorang juruterbang juga, ia berbeza kerana dia sudah maklum dengan yang perlu dibuat. Dia tidak perlu membuat keputusan dan mempertimbangkan emosi. Dia sudah diprogram untuk hanya melaksanakan arahan misi untuk mendarat, tidak ubah seperti robot. Dia tidak bertindak seperti manusia yang dalam situasi sebenar.

Setelah badan penyiasatan mengambil kira ‘masa reaksi’ yang layak diambil oleh juruterbang dalam simulasi yang baru, mereka mendapati bahawa pesawat itu tidak sempat mendarat di landasan jika kapten berpusing ke arah lapangan terbang. Ia akan merempuh bangunan di tengah-tengah bandar New York. 

Mereka akhirnya bersetuju bahawa memilih Sungai Hudson sebagai tempat pendaratan adalah keputusan terbaik yang dapat dibuat oleh seorang juruterbang pada waktu itu.

Ketika itu barulah mereka sedar yang selama ini faktor manusia yang dianggap sebagai kelemahan itulah yang sebenarnya menjayakan pendaratan cemas berkenaan.

Kapten Sully merupakan juruterbang yang mempunyai pengalaman puluhan tahun dalam bidang penerbangan. Beliau pernah berkhidmat dengan pasukan tentera udara Amerika Syarikat sebelum bersara dan beralih kepada pesawat komersial. 

Kerana pengalaman dan kemahiran tinggi yang dimilikinya, tempoh masa reaksi, ‘faktor manusia’ yang diambil oleh Kapten Sully dalam kejadian berkenaan hanya kurang dari 30 saat.

Melalui peribadi Kapten Sully, kita dapat menyimpulkan bahawa beliau merupakan seseorang yang sangat berdedikasi dan cinta pada tugasnya. Kerana tanpa keduanya seseorang tidak mampu mencapai tahap pengalaman dan kemahiran yang begitu tinggi dalam bidang diceburi.

Bukan setakat itu sahaja, peribadi beliau patut dikagumi kerana beliau selalu meletakkan kepentingan orang lain di hadapannya ketika membuat sebarang tindakan. Malah, beliau adalah orang terakhir yang keluar dari pesawat itu sebelum pesawat itu tenggelam ke dalam sungai.

Beliau juga enggan menerima kredit dan pujian yang diberikan kepadanya, serta menyatakan penghargaannya kepada kesemua orang yang terlibat dalam operasi menyelamat.

Begitulah istimewanya manusia. Biarpun banyak khilaf dan kemusnahan yang telah berlaku di tangan manusia, manusia diciptakan Allah SWT boleh menjadi makhluk paling hebat di atas muka bumi ini kerana ciri-ciri kemanusiaan mereka tersebut.

Wallahua’lam.

Follow telegram Kak Iman untuk dapatkan semua berita terkini. >> t.me/KakIman

 

Penulisan oleh,

Auni Zainal,

Penulis IMAN.