fbpx

Apabila muncul dunia internet, banyak perkara berevolusi menjadi digital. Dahulu buku hanya didapati dalam bentuk bercetak dan boleh dipegang. Sekarang, ia tidak lagi lagi. Sempadan buku sudah tidak terhad dalam bentuk fizikal semata-mata. Sudah muncul revolusi buku masa hadapan – berbentuk digital atau elektronik – yang terdiri daripada kolektif data dalam dunia maya. Buku digital ini lebih dikenali sebagai buku elektronik (e-buku) atau ebook.

IMAN tidak melepaskan peluang untuk turut menghasilkan buku elektronik. Ada penerbit yang menghasilkan buku yang sepenuhnya elektronik. Tapi bagi di IMAN, e-buku yang diterbitkan mempunyai kembar dalam versi bercetak. 

Jadi, apa kelebihan buku elektronik sehinggakan IMAN turut agresif mengeluarkan buku elektronik? Kami percaya setiap produk mempunyai tujuan tersendiri yang memenuhi kehendak audiens. Justeru, e-buku menawarkan ciri-ciri yang sesuai dan memenuhi kehendak audiens digital (digitalist) yang tiada pada buku fizikal. Siapa audiens digital? Ia adalah generasi yang lahir mahupun hidup dalam dunia internet dan mengunapakai kemudahan internet.

Anda seorang digitalist? Ini kelebihan yang ada pada ebook yang barangkali menarik minat anda:

1. Mudah beli

Hanya perlukan internet dan peranti (device), lalu anda boleh dapatkan e-buku yang anda mahukan di mana-mana sahaja. Tak kisah di ceruk kampung, hatta jauh di luar negara, dengan mudah anda boleh memiliki ebook yang anda cari.

2. Mudah dapat buku luar negara

Bagi anda yang gemar membaca buku tulisan penulis luar negara, malah dalam versi bahasa penulis itu sendiri, akses bagi memperolehinya dalam bentuk buku elektronik adalah pilihan mudah dan cepat yang terbaik.

3. Segera dapat

Transaksi pembelian mengambil masa kurang daripada lima minit. Apabila sahaja anda selesai membeli, anda akan terus dapat ebook yang anda ingini. Boleh terus baca, tidak perlu menunggu pesanan buku fizikal yang memakan masa berhari-hari, bahkan berminggu-minggu (pesanan dari luar negara) untuk sampai ke depan pintu rumah anda. 

4. Boleh cari buku lama yang sudah tiada dalam pasaran

Kebanyakan buku fizikal tidak akan berada di pasaran sampai bila-bila. Ia disebabkan beberapa faktor seperti kos operasi, kurangnya permintaan daripada pelanggan, dan sebagainya menyebabkan ia tidak lagi dicetak. Solusinya, anda boleh mencari buku-buku dalam bentuk ebook. Aplikasi buku elektronik yang berkos rendah dan bersifat jangka masa panjang menyebabkan penerbit gemar untuk menerbitkan bahan digital sebegini untuk buku-buku lama terbitan mereka.

5. Lebih murah

Buku elektronik dijual lebih murah daripada buku fizikal, tak kira sama buku itu lama apatah lagi penerbitan semasa. Terutama sekali bagi buku-buku judul yang baru sahaja diterbitkan, anda mendapati versi ebook lagi murah berbanding versi bercetak pada masa yang sama. Justeru, mana lagi berbaloi?

6. Harga sama berlainan tempat tanpa diskriminasi

Buku fizikal lebih mahal apabila dijual di Sabah dan Sarawak. Ini terjadi disebabkan adanya penambahan kos seperti pengangkutan. Tetapi tidak bagi ebook. Anda boleh beli dengan harga yang sama di mana sahaja anda berada, semenanjung, Sabah dan Sarawak, malah di luar negara.

 7.Ringan

Ebook tersangat ‘ringan’. Ia sebenarnya tidak mempunyai jirim pun. Buku elektronik hanya data dalam bentuk digital. Ia berlegar di alam maya (internet) tanpa perlukan badan untuk ‘hidup’. Apabila mahu dibaca, barulah ia memerlukan peranti sebagai medium perantaraan.

8. Mudah bawa

E-buku mudah dibawa ke mana-mana. Dengan adanya akaun yang anda gunakan semasa membeli e-buku anda, anda dapat mengakses kesemua koleksi buku-buku elektronik yang ada dalam simpanan. Anda juga hanya perlukan satu peranti sahaja. Peranti kecil seperti telefon pintar atau iPad tidak memerlukan ruang besar bagi disimpan. Letak sahaja di dalam poket seluar atau beg, anda bebas bergerak ke mana-mana dengan hati girang. Kelebihan yang paling menguntungkan, kutubkhanah bacaan anda dapat diakses dengan satu akaun dan satu peranti sahaja! 

9. Mudah menukar buku untuk dibaca semasa berkembara

Apabila anda membawa buku fizikal sebagai bahan bacaan semasa bermusafir misalnya, anda hanya mampu membawa beberapa buah sahaja. Bagi ebook ia tak menjadi satu masalah. Yang paling seronok, dengan memiliki ‘akaun’ dan membawa ‘satu peranti’, anda dapat akses kepada seluruh koleksi buku elektronik yang ada miliki. Dengan keupayaan sebegini anda dapat menukar bacaan antara ebook anda dengan mudah. Tak perlu rasa menyesal kerana membawa buku yang silap. Tak perlu mengeluh juga kerana beg berat kerana muatan buku.

10. Tak perlukan ruang besar

Buku fizikal memerlukan ruang fizikal bagi disimpan. Jika anda memiliki 1,000 buah buku bercetak misalnya, anda perlukan rak yang memakan ruang di rumah anda – ruang yang sangat berharga. Bagi buku elektronik, anda hanya perlukan sedikit ruang sahaja di rumah anda – itu pun ruang bagi menyimpan peranti anda sahaja. Buku elektronik mempunyai banyak cara penyimpanan. Anda boleh muat turun dalam memori peranti anda bagi dibaca offline. Selain itu anda juga dapat memilih cara alternatif dengan membacanya secara online atau disimpan dalam cloud storage, ini sekiranya anda tidak mahu memenuhkan memori peranti anda.

11. Selamanya menjadi milik kita

Bagi sesetengah orang, disebabkan kerana ruang yang terhad di rumah, menyebabkan mereka terpaksa menjual buku-buku fizikal yang dimiliki mereka sedia ada supaya buku-buku baru dapat dibeli dan disimpan. Masalah ini tidak timbul bagi ebook. Bayangkan, jika satu buku elektronik memerlukan ruang simpanan sebesar 2MB, anda dapat menyimpan 500 buku dalam satu kad memori bersaiz 1GB. Dan kad memori ini lebih kecil daripada saiz kad pengenalan anda! Jadi, anda boleh membeli tanpa ada rasa bimbang berkenaan ruang simpanan. Setiap buku yang dibeli dapat dimiliki anda selama-lamanya.

 12. Tak ada sesiapa pinjam dan lupa pulangkan

Tiada sesiapa yang boleh mengakses ke koleksi buku-buku elektronik tanpa melalui akaun anda. Jika anda mahu memberi pinjam ebook anda kepada orang lain, anda perlu memberi akses akaun anda kepada mereka. Cara sebegini mengikut kepercayaan anda terhadap peminjam. Ia agak berisiko kerana mendedahkan kata kunci keselamatan kepada orang lain. Atau cara lain dengan memberi mereka membacanya di peranti sahaja.

 13. Simpan di satu tempat sahaja

Seluruh koleksi e-buku anda itu hanya boleh diakses dengan satu akaun sahaja – iaitu akaun yang anda gunakan semasa membeli e-buku. Ia tidak boleh dipindahkan atau disalin ke mana-mana akaun. Dengan satu akaun, semua buku-buku elektronik anda disimpan di satu tempat sahaja. Dengan satu akaun, semua akses hanya memerlukan beberapa sentuhan sahaja di hujung jari anda.

14. Boleh buka di banyak peranti (device)

Anda mengakses koleksi e-buku anda berdasarkan satu akaun. Bagi medium pembacaan pula, ia tak terhad untuk satu jenis peranti. Anda boleh log in ke akaun anda di mana-mana peranti elektronik seperti telefon pintar, iPad, PC (personal computer), atau komputer riba.

15. Mudah baca

Hanya perlukan peranti, boleh baca di atas katil tanpa bebanan yang berat. Boleh baca dalam LRT, pada telefon pintar yang muat dimasukkan ke dalam poket, peranti kebiasaan yang sentiasa dibawa ke mana-mana. Boleh baca dalam gelap, disebabkan peranti mengeluarkan cahaya pada skrin. Konklusi, dengan ebook anda berkeupayaan untuk membaca buku-buku anda pada bila-bila dan di mana-mana sahaja. 

 Berikut adalah 15 sebab yang menjelaskan kenapa anda perlu memiliki buku elektronik. E-book tidak menjadikan buku fizikal ketinggalan zaman. Buku fizikal ada ciri unik yang tertentu, yang serve the purpose untuk matlamat tertentu, begitu juga pada e-buku. Pada satu masa anda perlukan buku fizikal, dan pada satu masa lain keperluan untuk menggunakan ebook pula mendominasi. Kedua-dua ini melengkapi satu sama lain.

Follow telegram Kak Iman untuk dapatkan semua berita terkini. >> t.me/KakIman

Penulisan oleh,

Kak Iman.