Berada dalam dunia siber hari ini, sana sini pencapaian masing-masing di kongsikan. Kejayaan dalam kerjaya dan pelajaran. Kebahagiaan bersama pasangan dan keluarga. Serta pelbagai lagi jenis kegembiraan. Ada ketika ia memberi inspirasi, ada ketika ia mendatangkan rasa kekecewaan di dalam diri. Kecewa kerana kita tidak berjaya, bahagia dan gembira seperti orang lain.

Lalu, kita menjadi hilang percaya diri. Kita merasa begitu kerdil. Kita merasa begitu jauh ditinggalkan. Kita merasa kitalah orang yang paling ketinggalan saat ini. Kita jadi kurang bersyukur. Malah lebih jauh lagi, kita jadi cemburu dan penuh emosi.

Sedangkan hakikat di sebaliknya adalah berbeza dengan apa yang kita fikirkan.

Mari saya kongsikan 5 sebab kenapa kita perlu berhenti membandingkan diri kita dengan orang lain.

 

1. Yang perlu dibandingkan adalah diri kita hari ini dengan diri kita yang semalam. Bukan dengan orang lain.

Terkadang kita lupa, semuanya perlukan proses. Kita terlupa yang kita sedang melalui proses. Kita terlalu asyik melihat orang lain. Atau terkadang menilai orang lain. Sedangkan yang lebih perlu lebih di perhatikan adalah diri kita sendiri. Yang lebih penting adalah diri kita. Kita yang lebih mengenali diri kita.

Langkah pertama kita boleh jadi ia adalah langkah ke lima orang lain. Oleh itu, hasilnya juga berbeza. Dia telah melakukannya untuk kali ke lima, sedangkan kita kali pertama. Sebab itulah kita perlu membandingkan diri kita hari ini dengan diri kita semalam. Bukan diri kita dengan orang lain. Beri masa kepada diri kita.

Sebab itulah kita tak boleh bandingkan diri kita dengan orang lain.

 

2. Semua orang punya garis masa tersendiri.

Tahun dan masa yang dilalui kita semua adalah sama. Tetapi setiap orang punya garis masa tersendiri. Bergerak dari satu fasa ke fasa. Dari fasa remaja ke fasa dewasa dan seterusnya.

Ada orang belajar dulu kemudian kerja. Ada yang sebaliknya. Ada orang mendirikan rumah tangga ketika masih di zaman universiti, ada pula ketika sudah mempunyai kerjaya dan ada juga yang berbeza.

Dan Demi Tuhan, semuanya harus dinikmati. Tiada siapa yang berhak mengatakan siapa salah dan siapa betul dalam garis masa kehidupan ini. Tahan lah diri daripada mengatakan garis masa hidup kita benar dan orang lain salah atau sebaliknya.

Sebab itulah kita tak boleh bandingkan diri kita dengan orang lain.

 

3. Fokus tentang diri sendiri dan perkara di dalam kawalan.

Kita tak boleh kawal apa orang lain nak cakap atau fikir. Kita tak boleh marah mereka atas pendapat dan bicara mereka.

Jadi apa yang kita boleh?

Kita boleh kawal diri kita. Kita boleh tentukan bagaimana cara kita ingin memandang sesuatu. Daripada membazirkan masa bergaduh dan menyalahkan orang lain, lebih baik masa itu kita gunakan untuk fokus kepada diri kita. Kenal kemampuan diri kita. Bina kemahiran diri kita. Terus menerus bekerja dan menambah baik diri dari masa ke masa.

Sebab itulah kita tak boleh bandingkan diri kita dengan orang lain.

 

4. Kita semua hebat dengan cara kita sendiri.

Pernah tak ada situasi di mana kita begitu rasa rendah diri dan tidak yakin dengan pendapat yang kita berikan. Terasa ‘tak pandai’ sangat. Tapi sebenarnya, di luar pengetahuan kita, dalam masa yang sama, orang sekeliling semua begitu mengkagumi kita.

Begitu juga sebaliknya. Orang-orang yang kita kagumi juga punya perasaan yang sama. Rasa rendah diri dan rasa tak layak.

Hakikatnya kita semua hebat. Hanya saja di bidang yang berbeza dan cara yang berbeza.

Sebab itulah kita tak boleh bandingkan diri kita dengan orang lain.

5. Yakinlah Allah mengetahui segalanya.

إِنَّ اللَّهَ عَالِمُ غَيْبِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ
Sebagaimana firman Allah dalam Surah Fatir ayat 38 yang bermaksud Sesungguhnya Allah mengetahui yang tersembunyi di langit dan di bumi.

Dan juga dalam Surah Al Hadid ayat 6:
وَهُوَ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ
Bermaksud: Dan Dia Maha Mengetahui segala isi hati.

Yakinlah Allah mengetahui yang terbaik buat kita. Allah yang mencipta kita, Allah telah susun perjalanan hidup kita. Ada sebab yang terindah atas setiap susunan Allah. Hanya sahaja kita yang belum menemui hikmahnya.

Sebab itulah kita tak boleh bandingkan diri kita dengan orang lain.

Terus tersenyum melalui hari di depan. Rasakan diri anda berharga. Paling kurang untuk diri dan keluarga. Setiap kali rasa ingin membandingkan diri itu datang, cepat-cepat ingat 5 perkara di atas.

 

Penulisan oleh,

Hidayah Hamid,

Penulis Konten IMAN