Ramadhan yang kita rindui telah kunjung tiba. Alhamdulillah kita diberi rezeki kali ini untuk sempat bertemu Ramadhan. Bulan yang dalamnya terdapat pelbagai janji ganjaran daripada Allah. Bulan yang dalamnya terhimpun segala kebaikan dan keafdhalan ibadah. Bulan yang segala potensi-potensi kejahatan dilemahkan.

Tanda begitu dalam cinta dan sayangnya Allah kepada kita, ciptaanNya. Diberinya peluang 29 hari untuk kita merebut segala kebaikan yang ditawarkannya. Ia tanda Allah meminta agar kita kembali kepada rahmat dan ketaatan, menggapai syurgaNya yang tinggi dan menjauhi azab api neraka yang tidak terperi.

Umpama pesta, seluruh ummat Islam di seluruh dunia berebut-rebut mengejar ganjaran yang dijanjikan. Beli satu dapat 10. Amal satu dapat 1000. Wow sangat kan. Rugilah kita jika mensia-siakan peluang berada di madrasah (sekolah) Ramadhan. Sombonglah kita jika tidak ingin berusaha beroleh ampunan dari Nya.

Seringkali apabila bulan puasa tiba, kita akan dengar satu ayat ini diulang-ulang. Iaitu ayat 183 daripada Surah Al-Baqarah.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan kepada kalian berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang sebelum kalian agar kalian bertakwa.”

Ketika Allah memberi arahan wajib ke atas kita untuk berpuasa, Allah menyelitkan juga bahawa kita bukanlah ummat pertama yang menerima arahan sedemikian. Ia merupakan amalan yang telah dilakukan oleh ummat sebelum kita.

Dengan kata lainnya, Allah tidak ingin kita merasa berat dan merasakan ianya adalah perkara yang mustahil untuk dilakukan kerana ummat sebelum ini telah berjaya melakukannya. Sweet kan Allah?

Dan dalam ayat tersebut, Allah akhirkan dengan ‘ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ’ (Agar kalian beroleh takwa).

Iaitu itulah matlamat utama Ramadhan. Membentuk ummat Islam untuk menjadi hamba Allah yang bertakwa.

Takwa yang dimaksudkan adalah rasa takut kepada Allah lalu membuahkan peribadi yang memelihara diri daripada melakukan perbuatan yang menjauhkan kita dengan Allah. Seperti kata Saidina Abu Bakar

takwa adalah menjauhi apa yang menjauhimu daripada Tuhan.

 

Takwa ini menjadi buruan setiap muslim kerana ia akan menjadi benteng yang kukuh dalam diri kita. Dan Allah sebut dalam al-Quran dalam surah Al- Hujurat ayat 13, orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa. Kerana orang yang bertakwa akan memelihara dirinya daripada mencuri, memukul, menganiaya orang, bercakap buruk dan apa sahaja perbuatan buruk. Semuanya dilakukan kerana kecintaan yang mendalam kepada Tuhannya.

Lalu bagaimana kita ingin beroleh takwa?

Ada banyak cara yang kita boleh lakukan. Dalam tulisan kali ini, Kak Iman akan simpulkan ia menjadi 3 cara yang menjadi tema Iman X Ramadhan kali ini.

Muhasabah semula amalan-amalan kita sebelum ini.

  • Apa perbuatan seharian kita yang menjadikan kita tidak disukai makhluk dan menjauhkan kita dengan Allah.
  • Apakah sikap kita yang bertentangan dengan apa yang Allah sebut dalam al-Qur’an.
  • Sejauh mana Allah menjadi matlamat dalam kehidupan kita. Sudahkah kita berusaha menyempurnakan solat kita lalu membentuk peribadi kita?

Refresh atau bersihkan hati kita daripada prasangka buruk, hasad dengki, putus asa dengan rahmat Allah dan segala perasaan negatif.

Pentingnya tadzkiyatun nafs (pembersihan jiwa) adalah bagi mengosongkan hati kita dari segala keburukan dan menggantikannya dengan perkara-perkara kebaikan.

Refresh atau betulkan juga cara fikir kita. Bagaimana kita memandang kehidupan. Bagaimana kita memandang suruhan-suruhan dan larangan-larangan daripada Allah.

Seringkali cara kita memandang dan berfikir tentang sesuatu membentuk tindakan kita. Fikir dan memandang dengan mata kebaikan, akan mengahasilkan tindakan yang baik.

Perlahan-lahan kurang dan buangkan kebiasaan buruk kita. Gantikan dengan kebiasaan yang baik dan disukai Allah.

Ramadhan adalah peluang terbaik untuk kita memulakan rutin kehidupan yang baik. Buat hari-hari hingga kita terbiasa dengannya lalu membina kebiasaan baru yang lebih baik dalam bulan-bulan berikutnya.

Misalnya memberi isyarat ketika ingin memindah lorong, ia perbuatan yang nampak kecil tapi melibatkan nyawa dan keputusan orang lain. Siapa kata bagi isyarat itu bukan ibadah? Apa sahaja perbuatan baik adalah dikira ibadah apabila kita niatkannya ibadah.

Selamat memaknakan Ramadhan dengan menghayati setiap amal ibadah yang kita lakukan. Moga Allah anugerahkan takwa buat kita semua. 🙂

Sekian dulu untuk kali ini.