fbpx

Barangkali Ramadan tahun 2020 ini, merupakan Ramadan yang akan paling dikenang sepanjang hayat kita. 

Meskipun yang pasti adalah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hanyalah sehingga tarikh 4 atau 5 Ramadan, sudah tentu saranan untuk terus berdisiplin terhadap penjarakan sosial memberi bayangan bahawa kita akan menyambut kehadiran bulan mulia ini di rumah masing-masing. 

Ramadan tahun ini, tiada lagi aktiviti beribadah di surau dan masjid. Di situlah platform kita solat terawih bersama-sama, di belakang imam dengan alunan merdu bacaan al-Qurannya, di situ tempat kita bersapa dengan teman-teman, tempat bertadarus al-Quran dan mendengar tazkirah. Ramadan tahun ini juga, tiada iftar jama’i atau berbuka puasa beramai-ramai sama ada bersama keluarga, jiran-jiran atau sahabat handai. Suatu keadaan yang kita semua pertama kali merasakannya. 

Adalah amat asing dan kekok, untuk melalui Ramadan tanpa masjid, tanpa kehidupan bersosial.

Kali ini, Ramadan hanya ada kita dan keluarga kita.

“Alangkah ajaibnya seorang Mukmin itu, setiap urusannya bagi dia baik-baik saja. Tidak ada yang bersikap begini kecuali seorang Mukmin; iaitu apabila ditimpakan kepadanya kesenangan, dia bersyukur dan menganggap ia satu hal yang baik, apabila ditimpakan kepadanya kesusahan, dia bersabar dan menganggap juga ia satu yang baik.”

(Hadith Riwayat Muslim)

Entah ujian, entah kurniaan. Yang kita pasti, setiap ketentuan Ilahi itu datang bersama pendidikan kepada setiap insan. Mencontohi sikap seorang Mukmin daripada hadith di atas, adalah mustahak untuk dirungkai khasiat dan hikmah di sebalik sesuatu bentuk kesusahan yang ditakdirkan Allah SWT buat hamba-Nya. Lalu apa yang dapat kita pelajari daripada takdir PKP ketika Ramadan ini? 

Iman Yang Bergantung Kepada Masjid

Ramadan tanpa masjid mendedahkan kita akan suatu hakikat,. iaitu hakikat tentang status iman dan takwa dalam diri kita. 

Kita sering dikaburi oleh elemen fizikal dalam beragama untuk berpuas hati dengannya. Kadang-kala dengan menghadirkan diri ke masjid sendiri telah menyebabkan kita berpuas hati lalu merasakan iman dan takwa itu tercapai.

Kita seronok saat menyelesaikan hari demi hari dalam Ramadan yang dihiasi dengan berulang-aliknya kita ke masjid. Ditambah lagi dengan suara imam yang bersilih-ganti melakukan mimikan kepada imam-imam kegemaran kita seperti Imam Sudais, Imam Fahd al-Kandari, Imam Misyari Rasyid al-‘Affasi lalu tanpa kita sedar kita terbuai-buai atas sangkaan iman dan takwa kita meningkat. Sedangkan kita kabur, adakah iman dan takwa yang meningkat ataupun perasan saja yang melayang-layang?

Kita telah menjadi hamba kepada Ramadan, bukan hamba kepada Tuhan.

Ramadan Paling Berjaya Walaupun Tanpa Masjid

Tanpa masjid, kitalah yang akan memandu sendiri solat terawih kita. 

Kitalah juga yang akan memilih surah-surah untuk dibaca. Pilihlah surah yang kita minati dan fahami. Walau tidak dihafal, bentangkan saja al-Quran di depan untuk dibaca. 

Alangkah menarik untuk kita ketahui bahawa pada zaman Rasulullah SAW, Baginda sendiri tidak pernah dianjurkan solat terawih sebagaimana kebiasaan kita. Ia mula dianjurkan oleh Umar al-Khattab bagi menghidupkan malam-malam sepanjang Ramadan. 

Solat terawih pada zaman Rasulullah SAW hakikatnya adalah solat-solat malam, tahajud dan qiamullail yang afdal-nya (utama) dilakukan pada sepertiga malam. 

Kalau direnung kembali, alangkah bertuahnya kita kerana ini seakan-akan suatu anugerah untuk kita merasai semula bagaimana suasana Ramadan pada zaman Nabi SAW. 

Jika mampu, tukarkanlah jadual solat terawih kita ke waktu sepertiga malam, tidurlah awal. Itulah waktu yang lebih utama untuk menghidupkan malam-malam Ramadan kita.

“Barangsiapa yang menghidupkan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan segala dosanya yang telah lalu.”

(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tanpa masjid, kitalah yang akan memimpin tadarus al-Quran. 

Jika tidak mampu bertajwid dengan baik. Inilah peluangnya mempelajari dengan serius dengan guru-guru tajwid secara online, sekali gus menjadi guru pula kepada ahli rumah kita. Inilah masanya juga untuk mengkayakan kefahaman kita terhadap inti-inti al-Quran. 

Masa yang banyak di rumah ini, isikanlah dengan membaca. Carilah bahan-bahan bacaan sama ada di internet ataupun buku fizikal. 

Tidak perlu bebankan diri dengan tafsir yang besar-besar seperti Ibnu Kathir – capailah buku-buku yang lebih sederhana dan ringkas. Yang utama, adalah kesan tadabbur (renungan) terhadap sanubari kita. Jika ada lagi masa berbaki, hafazlah apa yang termampu bagi mengakrabkan lagi interaksi kita dengan wahyu Allah SWT.

Tanpa masjid, kitalah yang akan menadah tangan dan menitipkan doa kepada Allah SWT, bukan sekadar mengaminkan doa yang dibaca imam. 

Tidak semestinya berbahasa Arab, tidak semestinya doa-doa ma’thur yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah, lantunkanlah harapan dan hajat seikhlas hati, yang menggetarkan nurani dan mengalirkan air mata suci. Itulah sebaik-baik doa. 

Apa erti doa, jika hanya tahu melafazkan amin demi amin, tetapi hatinya tidak hadir malah akalnya tidak dapat memahami.

Dari Prahara Menjadi Anugerah

Selain tiadanya masjid, bazar Ramadan dan kesibukan-kesibukan duniawi kita juga telah ditiadakan. Nah, selain diuji dengan ketiadaan masjid, ujian Ramadan seperti bazar yang sarat dengan hidangan menarik nafsu makan itu juga telah tiada. Lalu bersederhanalah sebaiknya. 

Tiada lagi window shopping di bazar-bazar Ramadan. Berpada sajalah dengan hidangan seperti hari-hari sebelum Ramadan, yang sekadarnya memenuhi perut kita yang kosong seharian. 

Tiada juga peluang untuk mata ini melihat yang bukan-bukan di luar sana, tiadalah juga peluang meluahkan kata-kata jahat kepada orang, mengumpatnya, batu apinya, mencarutnya, penipuannya dan sebagainya. Kecualilah jika kita tidak dapat mengawal diri kita pula saat berinteraksi di platform media sosial.

Alangkah istimewanya Ramadan kali ini.

Alhamdulillah, Maha Suci Allah. Inilah rangkuman hikmahnya. Daripada prahara telah berubah menjadi anugerah. 

Kunci iman dan takwa kini tergantung sepenuhnya di tangan kita tanpa dikaburi oleh faktor masjid dan surau. Kitalah yang mengawalnya. 

Tertutup juga satu demi satu peluang untuk berbuat jahat atau menyibukkan diri dengan hal-hal yang tidak bermanfaat. 

Mudah-mudahan, selain ini menjadi Ramadan yang paling bersejarah kerana ia Ramadan tanpa masjid, kita harapkan agar ini jugalah Ramadan yang paling berjaya sepanjang hidup kita. 

Ramadan yang betul-betul memuncakkan iman dan takwa, dan lahirlah kita sebagai insan baru saat berlalunya Ramadan.

“Siapa yang menemui Ramadan tetapi dia tidak diampuni (Allah SWT), dia dimasukkan ke dalam neraka, dan Allah SWT menjauhkan diri-Nya daripada orang tersebut.”

(Hadith Riwayat al-Tabarani)

Wallahu a’lam.

Follow telegram Kak Iman untuk dapatkan semua berita terkini. >> t.me/KakIman

Penulisan oleh,

Khubaib Akhi,

Editor IMAN.