fbpx

Manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Bahkan perkataan ‘manusia’ dan ‘insan’ adalah perkataan yang dipinjam dari kata akar bahasa Arab, ‘nasiya’ yang bermaksud ‘lupa’.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Setiap anak Adam pasti sering melakukan dosa dan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang berdosa adalah orang yang rajin bertaubat.”

(Riwayat Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Secara fitrahnya, kita sebagai manusia memang mudah lupa. Kita sering kali terlupa tentang perbuatan kita, dosa kita dan taubat yang kita lakukan sebelumnya. Itu sebabnya, kita semua diseru agar sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Kenapa Kita Perlu Melazimi Taubat?

1. Taubat jalan menuju penyelesaian masalah.

Ibnu Qayyim berkata: “Apabila engkau berdoa, sementara waktu yang dimiliki begitu sempit, padahal dadamu dipenuhi dengan begitu banyak keinginan, maka jadikanlah seluruh isi doamu istighfar, agar Allah mengampunkan kamu. Apabila engkau diampuni, maka semua keperluanmu akan dipenuhi oleh-Nya tanpa engkau memintanya.

Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)

 

A Beautiful Story of Repentance ! | ISLAM---World's Greatest Religion!

2. Taubat membuka pintu rezeki.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman tentang dakwah Nabi Nuh AS kepada umat baginda. Antara seruan baginda adalah seruan supaya bertaubat, lalu dengan itu Allah SWT akan menurunkan rezeki yang melimpah ruah kepada mereka.

“Sehingga aku berkata (kepada mereka); pohonlah keampunan kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantar hujan lebat mencurah-curah kepada kamu, Dan Dia akan memberikan kamu harta yang banyak berserta anak pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Nuh: 10-12)

3. Taubat meraih kekuatan jiwa.

Selain itu, taubat mendekatkan diri kita kepada Allah SWT. Dan dengan refleksi dan muhasabah yang berterusan, hati kita lebih lembut dan terbuka kepada cahaya keimanan. Keimanan itulah yang menguatkan jiwa manusia.

Jika kita perhatikan tiga kelebihan ini, kesemuanya memberi keuntungan kepada kita. Tidakkah kita rasakan hal ini aneh?

 

Muslim couple denied Swiss citizenship over handshake refusal

Kerana jika dianalogikan, katakan kita meminta maaf kepada manusia kerana suatu kesalahan yang kita lakukan, cukuplah sekadar dia memaafkan kita. Tidak perlu dia memberi apa-apa ‘benefit’ kepada kita kerana telah menjadi kewajiban kita untuk meminta maaf.

Namun, kesnya tidak begitu dengan Tuhan kita yang Maha Pengampun dan Maha Pemurah.

Sudahlah kita yang buat dosa pada-Nya, Dia beri hadiah pula setelah kita bertaubat! Semua keuntungan itu bukan untuk Dia, tapi kita yang raih untung dengan taubat kita sendiri!

Begitulah betapa sayangnya Allah SWT kepada kita.

 

Bila Masanya Kita Perlu Bertaubat?

Taubat tidak terhad kepada dosa yang besar atau yang jelas semata-mata. Bahkan Rasulullah SAW yang dijanjikan syurga oleh Kekasihnya beristighfar 70 kali setiap hari. Ia perlu dibiasakan, terutamanya apabila hati kita terasa gelisah pada saat melakukan dosa.

Tahukah anda, rasa gelisah ketika melakukan dosa itu petanda yang hati seseorang masih hidup dalam cahaya iman?

Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai kebaikan dan dosa. Dalam petikan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan ad-Darimi, serta direkodkan dalam kumpulan 40 hadis Imam An-Nawawi, Baginda SAW berkata, “Mintalah fatwa dari hatimu. Kebaikan adalah apa yang mententeramkan jiwa dan hati. Dosa adalah apa yang meresahkan jiwa dan meragukan hati, meskipun orang memberi fatwa membenarkanmu.” (HR Ahmad dan Ad-Darimi).

Dosa itu meresahkan jiwa. Maka ketika rasa gelisah itu muncul ketika kita sedang melakukan kesalahan, maka teruslah bertaubat dan beristighfar semasa perasaan itu masih ada. Itu tandanya Allah SWT sedang memanggil kita untuk kembali ke sisi-Nya.

Kalau kita selalu mengabaikan perasaan gelisah itu, dikhuatiri kita akan mula rasa selesa dan dengan dosa yang dilakukan. Lambat laun perasaan itu akan hilang dan kita tidak berasa takut lagi untuk melakukan dosa.

Maka, jangan tunggu untuk memohon keampunan!

“Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(Az-Zumar: 53)

 

Betapa luasnya pengampunan Allah SWT, sehingga Dia membuka pintu taubat itu setiap masa. Tidak ada syarat masa dan jam tertentu untuk bertaubat, melainkan apabila kita mati. Semoga kita tidak menjadi orang-orang yang menyesal kerana tidak bertaubat tatkala nyawa sampai di kerongkongan. Ketika itu, semuanya sudah terlambat.

 

Walaupun kita sering mengulang dosa yang sama, jangan sesekali berputus asa terhadap rahmat Allah SWT, kerana Dia tidak pernah ‘berputus asa’ terhadap kita. Mohonlah keampunan dengan penuh tulus ikhlas dan penuh penyesalan.

“Wahai Anak Adam, sepanjang engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku akan Aku ampunkan apa yang kamu lakukan. Aku tidak peduli, wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang membawa kesalahan sebesar dunia, kemudian engkau datang kepada-Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.”

(Riwayat at-Tirmizi)

 

Pengampunannya luas walaupun kita mengulang kesalahan asalkan kita bertaubat dan berusaha meninggalkan dosa tersebut.

Allah tak akan tinggalkan kita selagi mana kita bertaubat. Sesungguhnya, keampunan-Nya mengatasi kemurkaan-Nya.

Follow telegram Kak Iman untuk dapatkan semua berita terkini. >> t.me/KakIman

 Penulisan oleh,

Tim Su Tan.