fbpx

1. Rehat itu sama penting dengan produktiviti.

Bahkan, berehat merupakan salah satu bahagian dalam produktiviti.

Kita seharusnya tidak perlu rasa bersalah apabila kita merasakan kita perlu berehat. Benar, kebanyakan kita sudah cukup rasa bersalah kerana merasakan kita tidak menyumbang banyak perkara pada waktu ini.

Namun, mengambil masa untuk berehat juga sangat penting untuk kesihatan mental. Bila ada saja masa untuk berehat, gunakan sebaiknya.

2. Fikiran kita tak selapang masa yang kita ada. 

Dengan banyaknya perubahan drastik yang berlaku dalam tempoh sebulan ini, kita terpaksa menyesuaikan diri dengan pelbagai perkara. 

Ada yang terus kehilangan sumber pendapatan, ada yang terpisah dengan keluarga, dan ada yang terpencil seorang diri. Dalam situasi-situasi seperti itu, ada antara kita yang dapat menyesuaikan diri dengan baik. Ada pula yang langsung tidak boleh. 

Antara reaksi kebiasaan semasa tempoh ini adalah:

  • Risau akan keselamatan diri dan keluarga.
  • Risau akan kekurangan bekalan makanan dan ubatan.
  • Rasa terasing secara sosial dan rasa keseorangan.
  • Rasa bersalah terutamanya kerana mengharap bantuan orang lain dalam kehidupan seharian.
  • Tabiat tidur dan makan yang berubah.
  • Sukar fokus dan sukar tidur.
  • Kondisi penyakit mental semakin teruk.
  • Rasa semakin tertekan kerana keadaan sosial dan ekonomi keluarga yang serba kekurangan dari kebiasaan.

Setiap orang memberikan reaksi yang berbeza-beza, bergantung kepada latar belakang masing-masing. Walau apa yang terjadi, kita harus sentiasa ingat bahawa tempoh ini hanya sementara. 

Ambil masa untuk bertenang. Cuba buat aktiviti yang anda ‘enjoy’ dan suka buat.

Untuk mendapatkan rehat yang berkualiti, ada beberapa perkara yang harus kita tahu:

i) Tahu bila waktu nak berehat

Tubuh kita akan tahu bila waktu yang ia perlukan rehat. Berlaku adillah pada tubuh anda. Bincang dengan majikan, pensyarah atau pasangan jika ia melibatkan tugas harian. 

Jaga waktu tidur malam anda. Dapatkan tidur yang mencukupi. Tempoh ini akan mengganggu jadual tidur dan kita mungkin juga akan mengalami kesukaran untuk tidur.

ii) Rehat pada waktu rehat

Pada zaman ini, definisi rehat telah diperluaskan dengan pelbagai makna. Rehat yang kita maksudkan di sini adalah betul-betul berehat.

Jangan berfikir tentang tugasan atau kerja pada waktu berehat. Jangan berfikir tentang idea baru. Lapangkan fikiran dengan perkara yang menenangkan hati.

Anda boleh tutup notifikasi mesej atau data internet buat sementara waktu. Maklumkan dan berbincang lebih awal jika ia melibatkan waktu kerja dan waktu menjaga anak.

Berhenti sebentar daripada menonton, membaca atau mendengar berita, termasuk di media sosial. Mendengar tentang pandemik ini kadang-kadang boleh menimbulkan kegelisahan dan ketegangan.

Rehat fizikal mungkin jelas bagi kita. Namun, rehat secara mental adalah perkara yang selalu kita terlepas pandang kerana keriuhan dalam otak adalah perkara yang tidak dapat dilihat hatta oleh kita sendiri. 

Anda harus tetapkan sempadan yang jelas, semudah bertegas dengan diri sendiri.

Bagaimana cara anda berehat apabila hanya terperap di dalam rumah? Cara paling berkesan bagi saya adalah berbaring atau membaca buku sambil mendengar muzik. Mengemas juga boleh memberi kerehatan mental, walaupun selepas itu saya mungkin akan ‘pengsan’ sebab keletihan!

Kongsikan dengan kami bagaimana anda berehat ketika tempoh PKP ini di ruangan komen. Senaraikan semuanya – mana tahu kalau-kalau salah satu daripadanya akan memberi solusi kepada orang yang membacanya!

Follow telegram Kak Iman untuk dapatkan semua berita terkini. >> t.me/KakIman

 

Penulisan oleh,

Auni Zainal,

Penulis IMAN.