fbpx

Baru-baru ini ada tular kisah sepasang suami isteri bernama Sugu dan Pavithra berkenaan saluran Youtube milik mereka. Saluran yang dinamakan ‘Sugu Pavithra’ itu berkisar tentang kehidupan mereka sekeluarga, dengan fokus rakaman isteri Sugu, iaitu Pavithra yang memasak menu seharian. Menetap di Ladang Elphil, Sungai Siput, Perak, Pavithra merupakan seorang suri rumah sepenuh masa, manakala suaminya menyara keluarga sebagai pekerja di ladang kelapa  sawit itu.

Apa yang mengejutkan berkenaan saluran Youtube mereka?

Dalam masa kurang dari enam bulan, hampir 600,000 subscribers (pelanggan) mengikuti saluran Youtube mereka!

Video apa yang dimuat naik oleh pasangan suami isteri ini sehingga mendapat jumlah subscribers yang besar dalam tempoh yang singkat? Apakah keistimewaan yang menjadikan saluran mereka bukan calang-calang, popular mendadak?

Video masakan mereka biasa-biasa sahaja. Menu masakan mereka pun biasa-biasa sahaja. Rakaman dan suntingan video mereka juga biasa-biasa. 

Tapi dengan ‘biasa-biasa’ itulah formula kejayaan bagi mereka.

Siapa sangka, orang India yang duduk di estet, kerja ladang, tanpa ada pendidikan khusus dalam cabang teknologi media, mampu menghasilkan satu saluran yang menyentuh hati banyak rakyat Malaysia.

Formula Kejayaan Mereka

Sugu dan Pavithra, passion mereka adalah perkongsian kehidupan mereka. Mereka bukan datang daripada keluarga yang berada. Dengan Sugu berpendapatan RM1000 sebulan sebagai pekerja estet, manakala Pavithra sebagai seorang suri rumah, hidup mereka tidak mewah.  Kebanyakan video tentang menu masakan seharian, tetapi yang jelas kelihatan adalah kegembiraan keluarga kecil ini dalam kehidupan seharian dalam setiap video. Pada wajah yang sentiasa tersenyum, tutur bicara Pavithra yang jelas dan lembut, Sugu yang tak kekok membantu isteri di dapur, hubungan mesra Pavithra bersama ibu mentua terutamanya dalam video ‘Masak Kari Ikan With Mak Mentua Tersayang’. 

Video mereka yang bersifat polos, kehidupan rakyat marhaen, tanpa selimut gula-gula ‘semua serba nak mewah’ macam sesetengah saluran Youtube terutama daripada golongan artis, menyebabkan orang merasakan betapa dekatnya diri mereka dengan keluarga Sugu dan Pavithra. Mereka tak malu menunjukkan situasi kekampungan keluarga mereka. Apa yang dipamerkan, itulah realiti. Pasangan suami isteri ini tidak segan berkongsi. Bagi mereka, apa perlu dimalukan, kerana mereka sudah bahagia dengan apa yang ada. 

Tak perlu rumah besar, suami kerja berpangkat tinggi – kerana duit dan kaya bukan jaminan untuk merasa cukup. Atas sebab itu, mereka menjadi berjaya dengan acuan mereka sendiri.

Jadikan Kisah Mereka Sebagai Pendorong Kita

Pavithra tiada ilmu advance dalam bidang media dan selok-belok digital. Hanya dibantu oleh kawan karib beliau. Malah beliau tiada peralatan lengkap buat merakam dan menyunting video. Dikatakan Pavithra hanya menggunakan sebuah telefon pintar yang dibeli secara hutang, lalu diletakkan di atas cawan di tempat yang kukuh sebagai ganti tripod.  Peralatan dapurnya pula hanya periuk, kuali, sudip, serta barangan asas lain di dapur, tanpa bantuan peralatan canggih seperti periuk tekanan ataupun ketuhar.

Bagi Pavithra, tujuan awal saluran Youtube ini dicipta sebagai sumber pendapatan tambahan bagi membantu suaminya. Beliau terpaksa berhenti kerja untuk menjaga dua orang anak. Dengan kemahiran beliau dalam memasak, beliau memilih kandungan masakan, seperti ada kata-kata yang diucapnya, kita hanya boleh mengajar dan menunjuk apa yang kita pandai atau berbakat, barulah akan ada orang yang mahu tonton dan belajar.

Menerusi temu bual dengan wartawan, dengan gaji pertama Pavithra sebagai Youtuber yang diperolehi baru-baru ini, beliau hanya berimpi membeli yang biasa-biasa sahaja – baju baru untuk ahli keluarga, peralatan sembahyang, dan membuat rawatan rambut. Ia kehendak dan impian yang bagi ramai daripada kita mudah lakukan bulan-bulan, tapi tidak bagi keluarga Sugu dan Pavithra. Pavithra juga berhasrat melalui pendapatan sebagai Youtuber itu dijadikan tabungan sebagai pendidikan untuk anak-anak beliau. Ini dapat dilihat bahawa Pavithra pernah memperolehi 5A dalam UPSR. Atas beberapa kekangan (kemungkinan wang) Pavithra tidak mampu pergi jauh. Justeru, beliau tidak mahu anak-anaknya mengulangi apa yang beliau lalui.

Jadikan Passion Mereka Sebagai Pendorong Kita

Pastinya Pavithra pun tidak meletak sasaran berapa jumlah pendapatan yang bakal beliau perolehi daripada saluran Youtube-nya. Mungkin jauh dalam jeluk hatinya, setelah dimotivasikan oleh kawan karib beliau (Kak Sri Disini) yang ada juga sebuah saluran Youtube masakan, berapa sahaja yang beliau perolehi sudah mencukupi buat membantu keluarga, walaupun sedikit. Namun, tatkala menerima gaji sulung sebagai Youtuber –  apa yang diperolehi Pavithra lebih daripada dijangka.

Atas dorongan passion, Pavithra tak fikir videonya bakal jadi atau tidak, beliau cuma ‘jalan terus’. Yang penting videonya ada, saluran Youtube-nya wujud. Soal berapa jumlah subscribers yang bakal beliau perolehi – itu lain kira.  

Semua ini bermula daripada ketidakpastian (uncertainty) sama ada mereka mampu mencapainya atau tidak. Apa yang ada pada satu keluarga yang duduk di estet, jauh dari bandar, tiada pendidikan sempurna, mahu berjaya menjadi Youtuber seperti orang lain yang serba-serbi lengkap? Tetapi pasangan suami isteri ini tidak menjadi ‘ketidakpastian’ itu sebagai satu halangan kepada mereka buat mengubah nasib. Mereka lakukan sahaja, dan terus lakukan. Mereka yakin hasilnya kelak pasti ada. Ini keyakinan linear yang mungkin kurang logik bagi realiti kehidupan (yang difikiri ramai orang), tetapi keyakinan inilah yang paling murni. Keyakinan ‘usaha sungguh-sungguh’ pasti menghasilkan ‘kejayaan’.  

Pengajaran Besar Buat Kita

Menurut Aiman Azlan, passion adalah seperti begini – ‘sesuatu’ yang dikerjakan itu memberi tenaga dan kekuatan kepada seseorang dalam bentuk keseronokan, tanpa letih, tanpa bosan, lalu seseorang itu melaksanakan ‘sesuatu’ itu sehingga ia tamat atau berjaya dicapai. 

Passion berbeza-beza bagi setiap individu. Ia boleh jadi sesuatu yang didorong oleh emosi pengharapan dan kasih sayang. Pada individu lain, ia adalah keazaman dan kesungguhan untuk mencapai matlamat atau cita-cita. Ada juga yang menggerakkan passion miliknya atas dasar perasaan kebahagiaan orang-orang di sekelilingnya.

Dalam erti kata lain passion bersinonim dengan semangat. Ia datang daripada hati. Apa yang hati rasa bahagia dan puas, itulah passion. Walau disergah kesusahan dan gangguan hebat semasa melakukannya, ia tetap dilakukan dengan ikhlas dan sungguh-sungguh – sebab itulah yang membahagiakannya (passion). Peduli apa nista orang yang membenci (baca: hater), dia tahu apa yang dilakukannya itu memberi manfaat, maka dia teruskan sambil memekakkan telinga.

Daripada kisah Sugu dan Pavithra ini terkandung pengajaran besar bagi kebanyakan kita. Jangan jadikan kesusahan dan kekurangan yang ada pada kita mengaburi hala tuju yang mahu dicapai menerusi passion kita. Jika mereka mampu buat, kita pun mampu buat. Jika ada keyakinan yang teguh, lautan luas hatta gunung tinggi mampu ditawan. Jadi, passion atau matlamat yang dilakukan di tanah landai, seharusnya tidak ada alasan yang membatasi.   

Sungguh, man jadda wa jadda. Siapa yang berusaha (insyaAllah) akan mendapat apa yang diusahakannya.

Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, betul bukan?

Follow telegram Kak Iman untuk dapatkan semua berita terkini. >> t.me/KakIman

Ditulis Oleh:,

Sang Penulis Jiwa.

Naskah terbaru dari IMAN tentang #MencariKeampunan

Nabi Adam AS pernah tergelincir melakukan kesilapan kepada Allah SWT. Apatah lagi kita sebagai manusia biasa tentulah tidak terlepas daripada melakukannya.

Melalui buku ini, Ustaz Azlan Shah menampilkan kisah dan peribadi Nabi Adam AS yang wajar kita contohi. Seorang insan yang melakukan kesilapan, lalu memilih untuk kembali kepada-Nya, lantas dianugerahkan keampunan Ilahi.

Dapatkan dalam versi Ebook di Google Play Book di link berikut > bit.ly/EbookNabiAdamAS