Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 akan berlangsung dalam masa beberapa hari lagi. Sebelum ini Kak Iman dah kongsikan tentang apa yang menarik di PBAKL sehingga kalian tak boleh melepaskan peluang ke sana. (Jika belum baca, boleh baca Apa Yang Best Dengan PBAKL?)

Hari ini Kak Iman akan kongsikan 7 tips berbelanja di PBAKL. 2 tips sebelum ke PBAKL, 5 tips ketika di PBAKL.

Sebelum ke PBAKL

    1. Buat senarai buku- buku yang ingin dibeli

Biasanya setiap penerbit akan kongsikan buku- buku terbitan mereka di laman web dan media sosial mereka. Kalian boleh lihat di sana. Senaraikan buku-buku yang ingin dibeli dan dari penerbit mana. Senarai ini penting bagi memastikan buku yang dihajati takkan terlupa untuk dicari. Maklumlah, bila dah sampai PBAKL nanti akan ada banyak sangat buku. Rambang mata, semua buku nak dibeli. Lepas itu nanti dah terlupa atau tak cukup duit untuk beli buku yang dihajati dari awal. Nanti teringat- ingat, kempunan kata orang- orang tua.

 

 

    2. Tetapkan berapa wang yang ingin dikeluarkan

Hal ini penting bagi memastikan perbelanjaan kita terkawal. Mula lah menabung sedikit demi sedikit. Letak bajet untuk buku-buku kegemaran berapa, untuk buku-buku hadiah buat ahli keluarga berapa, untuk buku-buku pelajaran atau ilmiah berapa dan seterusnya. Takpe, biar tak banyak tapi seimbang. Tidaklah hanya membeli buku kegemaran semata-mata.

Semasa di PBAKL

    1. Tanya apa promosi yang ditawarkan di booth tersebut.

Kebiasaannya terdapat pelbagai promosi yang ditawarkan semasa PBAKL. Masing- masing berusaha memberikan yang terbaik buat semua pengunjung yang hadir. Ada sesetengah booth yang memaparkan apakah promosi yang ditawarkan, ada sesetengahnya tidak, dan ada juga yang memaparkan promosi, tetapi kurang difahami. Jangan malu membuka mulut. Tanya kepada promoter di booth tersebut, apakah promosi yang mereka tawarkan. Ada banyak faedah yang akan kita perolehi dari situ.

    2. Datang bersama kawan

Ada banyak sebab kita perlu datang bersama kawan. Antaranya adalah kerana kita boleh berkongsi mendapatkan buku yang diingini dengan harga yang sangat murah. Misalnya sebagai contoh pada PBAKL 2018 yang lepas, ada booth yang menawarkan potongan sehingga 40 % walaupun untuk buku yang baru terbit (ini jarang-jarang berlaku) dengan syarat pembelian haruslah sekurang- kurangnya 5 buah buku. Apa lagi, kita boleh ajak kawan membeli bersama kita. Kita beli 3 buah, dia beli 2 buah atau sebaliknya. Selain itu, datang bersama kawan yang mempunyai minat membaca yang tinggi sangat membantu kita dalam mendapatkan buku yang tepat untuk kita, kerana biasanya mereka ini akan suka mencadangkan dan menceritakan buku- buku yang telah mereka baca.

 

 

    3. Bawa beg yang sesuai

Bawa beg yang sesuai sangatlah penting bagi memastikan keselesaan kita sepanjang berada di PBAKL. Kak Iman suka untuk cadangkan kalian bawa beg galas. Hal ini bagi memudahkan kalian untuk bergerak dari satu booth ke satu booth. Beg plastik yang dipegang banyak pada tangan mengalami kemungkinan keciciran dan juga menyulitkan pergerakan. Tahun lepas, ramai kawan-kawan yang tertinggal barang-barang di booth Iman. Huhu, tahun ni jangan tinggal lagi tau, nanti kesian awak cari tak jumpa-jumpa. Oh ya tambahan pula, tahun ini pihak penganjur juga telah menyarankan kepada para pempamer dan pengunjung yang akan datang untuk tidak menggunakan plastik demi menjaga alam sekitar. Ok, jangan lupa bawa beg ya nanti !


    4. Makan sebelum datang

Mengharungi ramainya pengunjung di PBAKL, dan menapak ke tingkat demi tingkat PWTC bagi mencari buku yang diingini dan bertemu penulis yang diminati memerlukan tenaga yang banyak. Bagi memastikan kalian kekal bertenaga, pastikan kalian tidak datang dalam keadaan yang lapar. Tambahan pula, harga makanan yang dijual di PWTC agak mahal. Oleh itu, bagi kalian yang ingin berjimat dan menggunakan duit tersebut untuk membeli buku, pastikan kalian sudah makan terlebih dahulu. Bawa air mineral dan roti atau biskut bersama kalian. Hehe. Nanti kalau tiba-tiba rasa lapar bolehlah duduk sekejap dan makan. Jangan risau ada banyak tempat kalian boleh duduk bersila merehatkan diri.

 

    5. Menggunakan pengangkutan awam

 Seperti yang kita sedia maklum terutamanya pada hari cuti Sabtu dan Ahad, kawasan di sekitar PWTC pasti akan dipenuhi banyak kereta dan mengalami kesesakan jalan raya. Kalian boleh menaiki LRT dan turun di Stesen PWTC atau jika menaiki KTM boleh turun di Stesen Putra. Dari stesen ini, kalian boleh berjalan kaki untuk sampai ke PWTC. Ruang parking kereta yang agak terhad dan tiket parking yang agak mahal membuatkan Kak Iman mencadangkan kalian menaiki pengangkutan awam sambil menikmati keindahan kota dan warganya. Namun,jika datang bersama keluarga dan memilih menaiki kenderaan, Kak Iman cadangkan kalian datang pada hari bekerja atau datang pada awal pagi.

 

Ok, sekian dulu tips kali ini. Kongsikan tips kalian juga. Jumpa di PBAKL nanti.

Sekian dulu untuk kali ini.