Elemen Terpenting Dalam Penulisan Novel : Panduan Merancang Halatuju

Saya tahu, bukan mudah untuk menulis novel. Terutamanya buku pertama. Kerana kita perlu belajar menyusun plot, mencipta watak, dan berimaginasi tentang jalan cerita.

Bahkan kita juga bakal berurusan dengan penerbit buat pertama kali. Sekejap, apa pula jenis dan saiz font yang patut saya guna untuk manuskrip? Apa spacing-nya? Kemudian, apa pula persediaan untuk menghadap editor yang menakutkan itu?

Semua persoalan datang selonggok dalam satu masa.

Ah, serabut kepala!

Tapi jangan risau. Sebab bahagian yang menyerabutkan ini ialah bahagian yang penting untuk berlaku sebelum mula menulis. Kita tidak serabut kepala atas tujuan yang sia-sia.

Lebih lama dan susah kita menyusun plot, lebih mudah proses menulis nanti. Dan ingatlah, keserabutan ini akan terasa sangat berbaloi bila kita siap menulis karya yang hebat nanti.

Hari ini, saya nak menjelaskan tentang salah satu bahagian serabut berkenaan, iaitu mesej utama novel. Saya pernah menghadapi suatu tempoh semasa sedang menulis, bahkan semasa sudah menulis separuh novel bila mana saya tiba-tiba terfikir,

“Apa yang aku nak sampaikan sebenarnya dalam cerita ini?”

 

Mesej Utama

Semasa menulis, kebanyakan kita cenderung untuk fokus kepada pengkisahan luaran. Kita larut dalam susunan plotnya. Watak utama perlu buat begitu, kemudian dia perlu buat begini, kemudian penjahat datang, kemudian penjahat ditangkap… Akhirnya cerita berakhir.

Yang kita selalu lupa titikberatkan ketika menulis ialah pengkisahan dalaman yang berkait rapat dengan isu dalaman dalam diri watak utama. Di sinilah kita patut bertanya kepada diri sendiri soalan,
“Apa yang aku nak sampaikan sebenarnya melalui watak utama dalam cerita ini?”

Setiap cerita mesti ada mesej utama dan nilai teras (core value) yang nak disampaikan. Apakah struggles yang dihadapi oleh watak utama? Kalau kita tak ada mesej utama, pembaca tidak dapat menghargai cerita yang kita sampaikan.

Kita pastinya tidak mahu sekadar menulis cerita.

Menurut Shawn Coyne, seorang editor terkenal yang menulis buku The Story Grid: What Good Editors Know, setiap cerita harus ada mesej utama yang menepati salah satu daripada internal content genre ini iaitu:

WORLDVIEW (Perubahan persepsi dalam hidup watak)

a. Education : meaningless to meaning.
b. Maturation : naivete to wordliness.
c. Revelation : ignorant to knowing.
d. Disillusionment : belief to disillusion.

 

MORALITY (Perubahan kompas dalaman/moral watak)

a. Punitive : good guy goes bad and punished.
b. Redemption : bad guy reforms.
c. Testing : willpower vs temptation.

 

STATUS (Perubahan kedudukan sosial watak)

a. Pathetic : weak tries to rise and fails.
b. Sentimental : weak succeeds againts all odds.
c. Tragic : striver’s mistake dooms to failure.
d. Admiration : principled person rises without compromise.
Dah tentulah, kita tak perlu ingat semua ini –sekarang. Senarai mesej utama ini sentiasa boleh dirujuk semasa kita sedang menulis.

Belajar dan Perhatikan

Cara cepat untuk kita belajar mengenai mesej utama ini juga ialah melalui filem-filem yang kita tonton. Apabila kita sedang tonton, tanya diri sendiri:

“Bila waktunya core value watak utama berubah?”

Dalam filem Spiderman Homecoming misalnya, cuba lihat pada babak ketika Peter Parker terperangkap di bawah runtuhan konkrit di dalam gudang setelah diserang penjahat. Sebelum ini Peter menganggap kekuatannya datang daripada sut yang diberi oleh Tony Stark. Fikirnya, dia kuat hanya apabila dia pakai baju Spiderman.


Ketika dia terperangkap di bawah runtuhan itu, dia mula sedar yang kekuatan sebenar dia ialah pada dirinya sendiri, bukan pada sut. Akhirnya dia mampu mengangkat konkrit yang sangat besar tersebut menggunakan kudratnya sendiri.

Ketika itu, core value watak utama berubah dengan drastik. Peter mula sedar akan sesuatu dan persepsinya berubah. Daripada tak bermakna kepada bermakna.

Ini menepati salah satu Genre Dalaman yang disebut oleh Shawn Coyne tadi:

 

1. WORLDVIEW
a. Education : meaningless to meaning.

Bagaimana pula dengan filem lain?

Avengers, The Incredibles dan Frozen misalnya? Apa kata anda perhatikan sambil-sambil tonton filem seterusnya nanti.

Dan selepas ini perhatikan pula bagaimana core value ini boleh membantu pembinaan manuskrip anda.

Kesimpulannya, sebelum kita menulis novel, kenal pasti apa mesej utama yang kita nak sampaikan. Jangan sampai tatkala kita buat karya komedi, orang cuma dapat ketawa, atau tatkala kita buat karya aksi, orang cuma kagum, tapi bila habis cerita, orang tak ingat pun siapa watak utama kerana orang tak tahu apa struggles dia.

Kalau anda ada pertanyaan berkenaan penulisan dan manuskrip, jangan segan-segan untuk mesej saya! Saya wujud di Twitter, Instagram, Wattpad, Goodreads dan E-mail!

Teruskan berusaha menulis dan good luck!

Great Contents Matter.

Auni Zainal,

Editor dan penulis di Iman Publication.
Penulis buku Sekali lagi dan Koloni [M].