fbpx

Kemahiran pengurusan kewangan peribadi merupakan satu kemahiran yang harus ada pada setiap individu. Berdepan dengan situasi semasa di Malaysia, bahkan dunia yang kini menuju ke arah kegawatan ekonomi (Recession) dengan faktor penyumbang terbesar iaitu wabak covid 19 menyedarkan kita betapa pentingnya untuk mempunyai kemahiran ini.

Pelbagai kemungkinan boleh berlaku jika keadaan sekarang berterusan seperti penutupan perniagaan, kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan, serta mampu meningkatkan kadar jenayah dalam kalangan masyarakat kita.

Belum terlambat untuk mengatasi masalah kewangan peribadi, jika anda mengetahui dan mengamalkan pengurusan kewangan dengan betul.

Berikut dikongsikan beberapa tips berkaitan pengurusan kewangan peribadi kita di saat kegawatan ekonomi ini. Semoga sedikit sebanyak dapat memberi panduan kepada kita semua.

  1. Mengenal pasti pendapatan dan perbelanjaan yang tetap dan yang berubah 

Mengenal pasti  pendapatan dan perbelanjaan kita yang tetap dan yang berubah pada setiap bulan. Pendapatan tetap seperti gaji manakala pendapatan yang berubah seperti elaun tambahan atau keuntungan pelaburan. Manakala perbelanjaan tetap seperti sewa dan bil-bil, perbelanjaan berubah seperti belian pakaian dan kos minyak. 

Dengan mengetahui sumber-sumber ini, kita dapat merancang minima hasil dan belanja untuk kehidupan kita pada setiap bulan dan berapakah lebihan yang kita ada.

  1. Buat kira-kira 

Buat perkiraan aliran tunai diri dan keluarga dengan teliti khususnya. Hal ini penting untuk memenuhi komitmen perbelanjaan dan pembayaran wajib bulanan seperti pembayaran balik pembiayaan kewangan dari bank untuk sewa beli kereta, rumah, peribadi termasuklah kad kredit, bil utiliti seperti bil air, bil elektrik, bil telefon dan internet. 

via GIPHY

Jika difikirkan tidak mampu memenuhi semua atau sebahagian ini, kekalkanlah diri anda dalam program moratorium mengikut bank masing-masing.

  1. Komunikasi dengan pihak anda berhutang.

Banyakkan berkomunikasi dengan pihak yang anda mempunyai hutang yang perlu dilunaskan jika mempunyai masalah dan gunakanlah negosiasi yang paling terbaik.

via GIPHY

  1. Merekod dan menganalisa aliran duit yang keluar masuk setiap bulan. 

Di dalam islam, kita amat dituntut untuk merekod dan mengetahui jumlah aliran duit kita supaya kita dapat membayar zakat dan membuat simpanan untuk mengerjakan rukun islam yang kelima. Tanpa rekod, bagaimanakah ibadah ini dapat dilaksanakan? Selain itu, tujuan merekod adalah untuk mengetahui keadaan semasa kewangan kita dan berapakah lebihan perbelanjaan yang boleh kita gunakan untuk simpanan.

  1. Setiap individu mestilah mempunyai simpanan kecemasan sekurang-kurangnya 3-6 bulan pada setiap masa. 

Hal ini sangat membantu jika kita tiba-tiba diuji dengan kehilangan pekerjaan, ataupun ada perbelanjaan besar secara tiba-tiba. Simpanan kecemasan ini diambil kira dari perbelanjaan tetap atau wajib kita setiap bulan dan di darab dengan 3 -6. Contohnya kita mempunyai perbelanjaan tetap sebanyak RM500 sebulan, jadi simpanan kita pada setiap masa mestilah mempunyai sekurangnya RM500x3 iaitu  RM1500.

Jika kita masih belum ada wang kecemasan, haruslah bermula sekarang. Kenal pasti lebihan wang kita setiap bulan apabila pendapatan tetap ditolak dengan perbelanjaan tetap, asingkan wang tersebut terus ke akaun simpanan.

  1. Asingkan bank akaun simpanan dan harian 

Asingkan bank akaun simpanan dengan bank akaun harian kita supaya kita tidak keliru atau tersalah guna. Dicadangkan supaya wang simpanan ini diletakkan di dalam Islamic Fixed Deposit akaun atau di dalam Tabung Haji. Sambil kita simpan duit kita di tepi, sambil kita menerima untung atau hibah dari bank berkenaan. Kedua-dua simpanan ini boleh terus dilakukan secara atas talian. 

  1. Mempunyai takaful mengikut kemampuan jumlah caruman. 

Ramai yang sudah mempunyai takaful perubatan, tahniah! Bagi yang belum, segera hubungi mana-mana ejen takaful untuk bantu anda mencarum. Takaful sangat berguna terutama bila kita berhadapan dengan keadaan kesihatan sekarang yang membimbangkan. Syarikat-syarikat takaful mempunyai inisiatif tersendiri khusus untuk situasi covid 19 ini, sebagai contoh Prudential ada menyediakan pampasan berjumlah RM5000 tunai segera jika kita disahkan positif covid19, manakala jika kita diarahkan membuat ujian covid 19, kita boleh membuat tuntutan sebanyak RM300 untuk bayaran ujian tersebut. 

Selain takaful kesihatan, takaful nyawa amat digalakkan sekiranya berlaku kes kematian secara mengejut, sekurangnya kita mempunyai pampasan yang boleh disalurkan kepada ahli keluarga untuk membayar hutang kita atau sebagai pendapatan kepada ahli keluarga yang di tinggalkan. 

  1. Manfaatkanlah apa-apa insentif yang diperoleh daripada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri. 

Insentif wang tunai yang diberikan itu  selain bertujuan membantu golongan yang terjejas pendapatan, ia juga untuk menggalakkan perbelanjaan yang berpatutan dalam kalangan rakyat. Hal ini sangat penting, supaya dengan berbelanja, kita akan menumbuhkan permintaan (demand), seterusnya mewujudkan ‘supply’. 

Ekonomi ini ibarat satu pusingan kehidupan. Dengan kita berbelanja, kita membantu terbukanya peluang perniagaan, seterusnya memberikan pendapatan kepada syarikat untuk membayar pekerjaan. Dengan pekerjaan, rakyat dapat meneruskan kehidupan. 

Sebagai contoh mudah, apabila tamat tempoh PKP, teruskanlah membeli nasi lemak di tepi jalan, dan pisang goreng kepada kawan-kawan di pejabat supaya mata pencarian peniaga kecil dapat berkembang,dan begitulah rantaian jual beli, supply dan demand akan terus berlaku dengan harapan dapat mengurangkan kesan teruk kegawatan ekonomi.

 Semoga beroleh pencerahan dan dapat diamalkan, insha Allah!

 

Penulisan oleh;

Aida Rafhana dan Sayuti Sulaiman,
Tim perakaunan dan kewangan IMAN