fbpx

Pertama kali? Ya, mungkin inilah kali pertama kita semua melalui sebuah serangan wabak secara besar-besaran yang dinobatkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai sebuah pandemik. 

Ketika artikel ini dikarang, 184 dari 196 negara yang ada di bumi ini, iaitu bersamaan 94% mempunyai kes COVID-19. Setakat ini, ia menjangkiti lebih 2.5 juta penduduk dunia dan menatijahkan lebih 170,000 kematian di seluruh dunia. 

Ini peristiwa bersejarah yang akan mengubah nasib dunia seluruhnya, dan dalam skala personal, kita sendiri akan melalui perubahan-perubahan dari segi cara fikir, pergaulan sosial kita dan banyak lagi. 

Meneropong jauh ke depan akan menimbulkan kegusaran dan ketakutan. Jika berlebihan atau di luar kawalan, ia bakal merosakkan daya kawal diri dan rasional kita. 

Lalu artikel ini memilih untuk meninjau ke belakang, menyelak khazanah sejarah kita yang agung, terutamanya sejarah Islam pada zaman lampau. Tujuannya untuk melihat pelajaran dan menyusun persiapan, kerana sudah ada pengalaman yang terkumpul dalam catatan sejarah untuk diteladani.


Wabak Pertama Dalam Sejarah Islam

Dalam catatan sejarah, wabak yang paling sering disebut adalah Ta’un ‘Amwas yang berlaku pada tahun 18 Hijriah di dataran Syam. Tetapi, ada satu fakta menarik dalam Sirah Nabawiah yang menjadi bukti bahawa Baginda SAW sendiri mempunyai pengalaman yang tersendiri dalam menghadapi serangan wabak.

Umum mengetahui bahawa ayah Baginda SAW, Abdullah bin Abdul Muttalib telah meninggal dunia ketika Nabi SAW masih dalam kandungan ibunya. Tapi mungkin jarang diketahui, bahawa kematian Abdullah adalah disebabkan wabak yang menjangkitinya ketika menziarahi saudaranya daripada Bani Najjar di Yathrib ketika beliau dalam perjalanan pulang dari Syam. Selepas sebulan dijangkiti wabak, Abdullah meninggal dunia.

Kisah Rasulullah SAW Membela Pencuri Unta

Perhatikan pula sebuah riwayat dalam Sahih al-Bukhari yang diriwayatkan oleh ‘A’isyah RA:

“Kami tiba di Madinah dan ia (Madinah) ketika itu merupakan bumi Allah yang paling dipenuhi dengan wabak, dan Wadi Buthan mengalirkan air yang payau (kesan daripada wabak).”

(Hadith Riwayat al-Bukhari)

Ini menandakan bumi Yathrib, yang selepas itu dikenali dengan nama Madinah al-Munawwarah memang sebuah wilayah yang masyhur dengan wabak. 

Sebahagian tafsiran ada juga yang mengatakan bahawa Abu Bakar RA dan Bilal RA turut terkena wabak saat berhijrah ke Madinah lalu mereka berdua merintih-rintih dan kesedihan. Ketika mengetahui akan hal kedua-duanya, 

Baginda SAW menghadiah sebuah doa khusus untuk para Muhajirin:

“Ya Allah, jadikanlah kecintaan kami kepada Madinah seperti kecintaan kami kepada Makkah ataupun lebih daripada itu.”

(Hadith Muttafaq ‘Alaih)

Maka jika ditanya, bilakah wabak pertama dalam sejarah Islam, ia telah dirasai sendiri oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat RA yang terawal.

Wabak ‘Amwas

Peristiwa ini barangkali adalah yang paling masyhur berbanding wabak-wabak lain yang menimpa umat Islam. Antara faktornya adalah kerana ia wabak dalam skala yang besar dan melibatkan para Sahabat RA kerana ia berlaku pada tahun 18 Hijriah. 

Ia merupakan sebuah wabak lanjutan kepada wabak Justinian yang tercetus di wilayah Rom. Catatan sejarah mengatakan bahawa di kota Konstantinopel sendiri wabak ini mengorbankan seramai 10,000 orang dalam sehari. 

Jumlah korban bagi wabak ‘Amwas dalam kalangan Muslimin adalah 25,000 orang kesemuanya. Antara yang terkorban dalam peristiwa ini adalah nama-nama besar dalam kalangan Sahabat RA seperti Abu Ubaidah ‘Amir bin al-Jarrah, Mu’az bin Jabal, Syurahbil bin Hasanah, Yazid bin Abu Sufyan, Suhail bin ‘Amru dan Abu Jandal.

Antara peristiwa menarik yang berlaku dalam tragedi wabak ‘Amwas ini adalah perbahasan antara Umar RA dengan para Muslimin terutamanya Abu Ubaidah RA, sama ada hendak meneruskan perjalanan ke utara Syam ataupun pulang ke Madinah. 

Umar RA ketika itu sedang memimpin pasukan Muslimin sebagai pasukan bantuan kepada pasukan sedia ada yang dipimpin oleh Abu Ubaidah di Anatolia dalam rangka membuka wilayah-wilayah baru Islam. Akhirnya Umar RA memutuskan agar ke Madinah dan para Sahabat yang berada di wilayah Syam akan kekal di sana, mengambil inspirasi daripada hadith Nabi SAW:

“Jika berlaku wabak di suatu tempat, jangan menuju kepadanya. Sekiranya kalian ada di tempat itu, jangan keluar darinya kerana takut.”

(Hadith Riwayat al-Bukhari)

Wabak Mautul Aswad (Black Death)

Mendengar namanya saja sudah menggerunkan, apatah lagi mengetahui cerita-cerita tragis yang berlaku di seluruh dunia setelah wabak ini merebak. Lebih 200 juta orang terkorban. Wabak ini memuncak pada tahun 1347-1351. Tidak ketinggalan, wilayah Islam turut terkena wabak ini dan mengorbanan ramai orang.

Di bumi Syam sendiri, ia mengorbankan lebih 200 orang sehari dan jumlah itu semakin bertambah dari hari ke hari. Para Muslimin sibuk menguruskan jenazah sehingga sumbangan wakaf ditumpukan kepada hal ehwal jenazah. Di sebahagian tempat seperti yang dinyatakan oleh al-Maqrizi, Masjid ditutup bahkan sebahagiannya tidak melaungkan azan kerana orang ramai ketakutan.

Ibn Hajar al-‘Asqalani pula antara tokoh besar yang turut diuji dengan kematian 3 orang anaknya termasuk keluarganya yang terhampir. Selain itu, turut terkorban Imam Shihabuddin Ibnu Fadhlillah Al-‘Umari, Syeikh Ibnu Rushayyiq Al-Maghribi Imam Zainuddin Abdurrahman Al-Mizzi dan Imam Abu Hafs Al-Bazzar. Kesemuanya adalah ilmuan Islam yang popular pada zaman tersebut.

Apa yang menarik adalah kesan daripada serangan wabak ini, para ilmuan Islam menghasilkan karangan-karangan ilmiah sebagai bekalan ilmu berkaitan wabak. 

Antara buku yang dihasilkan dalam tempoh tersebut adalah karya Ibn Hajar al-‘Asqalani sendiri iaitu Badhlul Ma’un Fi Fadhli al-Ta’un (Sebuah Kurnia, Tentang Fadilat Wabak) dan Ibn al-Wardi dengan karangannya, al-Naba ‘An al-Waba’ (Kisah Tentang Wabak). Karangan mereka menyentuh persoalan hukum-hakam berkaitan wabak di samping membahaskan salah faham terhadap nas agama dalam berhadapan dengan wabak.

Sejarah Menghidupkan Harapan

Umat telah berpengalaman menghadapi wabak dalam sebahagian daripada sejarahnya yang sempat dinukilkan di sini. Wabak memang menyakitkan. Bukan kerana semata-mata menyakitkan tubuh, ia membantutkan kemajuan selain mengesani ekonomi dan kehidupan sosial. 

Tha'un & Black Death: Wabah Mematikan Abad Tengah | Wahdah Islamiyah

Tetapi tahukah kita, meskipun pembukaan wilayah baru Islam terhenti seketika saat dilanda Ta’un ‘Amwas, tahun-tahun berikutnya melambangkan sebuah kebangkitan dari kesengsaraan?

Pada era Uthman RA iaitu 5 tahun setelah Ta’un ‘Amwas, Islam telah sampai ke sejauh Azerbaijan pada hari ini selain meluaskan penguasaannya ke wilayah utara Afrika. Al-Quran standard yang pertama turut lahir pada era tersebut. Meskipun dilanda Black Death, pembukaan kota Konstantinopel yang gilang-gemilang telah dijayakan oleh Sultan Muhammad al-Fatih. Suatu usaha yang gagal disempurnakan sejak percubaan pertama pada era Mu’awiyah bin Abi Sufyan RA.

Hanya gerhana, bukan tenggelamnya matahari, apatah lagi kiamat. 

Kita harapkan yang baik-baik saja pada masa hadapan. Harapan tidak akan putus, cita-cita tidak akan mati. Kita akan melalui hayat ini pada bulan-bulan mendatang selepas tempoh PKP dengan jayanya, rasional dan tidak panik. 

Jikalau Allah SWT mentakdirkan sebaliknya, kita ucapkan saja kalimah yang lahir daripada lisan Abu Ubaidah dan Umar al-Khattab ketika saling berhujah dalam menghadapi Ta’un ‘Amwas, yang saya sederhanakan kesimpulan seperti berikut:

“Kita berada antara dua takdir, sama ada takdir yang baik atau tidak. Tetapi kedua-duanya pun adalah takdir. Kita akan terus berusaha. Jika berjaya kita syukuri, jika gagal kita bersabar.”

Wallahu a’lam.

Follow telegram Kak Iman untuk dapatkan semua berita terkini. >> t.me/KakIman

Penulisan oleh,

Khubaib Akhi,

Editor IMAN.