What’s next selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL 2019)?

Alhamdulillah, PBAKL 2019 telah pun berlalu selama 2 minggu. Buku-buku yang telah dibeli, perlahan-lahan sudah mula disusun di rak buku atau kalau yang rajin sudah pasti buku-bukunya dibalut. Ada juga kawan-kawan yang telah menghabiskan beberapa buah buku. Seronok tengok budaya ini semakin mendapat tempat dalam masyarakat.

Masa-masa lapang diisi dengan membaca, malah jika tak lapang pun, masa untuk membaca itu diwujudkan. Bak kata peribahasa Melayu, “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.”

Artikel kali ini Kak Iman ingin kongsikan 5 cara untuk kita bersama-sama cuba lakukan bagi menyemarakkan budaya membaca dan menyokong usaha #MalaysiaMembaca!


Pertama – baca, baca dan baca.

Memetik kata-kata Ustaz Hasrizal, “buku memerlukan pembaca untuk ia menjadi buku.

Bacalah. Buat apa sahaja yang boleh memberi kita galakan untuk membaca. Benda boleh baca, buat apa simpan? Eh! Hee… Bacalah. Mulakanlah dengan apa jua buku. Seperti yang sering diulang-ulang oleh Muharikah, “bacalah buku yang kita suka (tak kisah lah walaupun buku tersebut sangat nipis dan mudah).

Kerana dari situ nanti kita akan mencintai pembacaan dan dari situ pembacaan kita akan berkembang. Peganglah buku dan bacalah dengan nama Tuhan. Niatkan dengan membaca kita ingin keluar dari kejahilan (ketidaktahuan). Bacalah. Agar kita menjadi tahu. Kita hanya perlu mulakan membaca, perlahan- lahan, kita akan bertemu buku yang sangat sesuai untuk kita, hingga kita tak mahu berpisah dengannya. Eh,macam jodoh la pula.


Kedua – kongsi, kongsi dan kongsi.

Ada banyak cara kita boleh berkongsi. Ada banyak perkara yang boleh dikongsi. Kongsikan buku yang kita baca, ceritanya tentang apa, beli di mana, apa yang menarik dengan buku tersebut dan apa-apa sahaja mengenai dunia buku.

Bagi yang suka menulis, boleh kongsikannya dengan tulisan dalam bentuk review atau apa sahaja di media sosial. Kalau suka bercakap, boleh buat video atau live atau cerita dengan kawan-kawan di sekolah, universiti atau pun pejabat sambil makan-makan.

Secara tidak sedar, orang-orang sekeliling kita akan turut tertarik dan ingin membaca buku yang kita kongsikan. Atau paling kurang, jika orang sekeliling kita tak suka membaca pun, sekurang-kurangnya dia jadi tahu tentang buku tersebut dan siapa tahu satu hari nanti dia tergerak hati membeli dan membaca buku yang kita ceritakan. Tak ke untung begitu? Mengalir-ngalir pahala buat si tukang kongsi.

 

Ketiga – amal, amal dan amal.

Buku dapat kita seertikan dengan ilmu. Apa sahaja.

Buku travel = ilmu travel. Buku masakan = ilmu masakan. Buku biografi = ilmu kehidupan dan inspirasi. Buku agama = ilmu agama. Novel fiksyen = ilmu kehidupan dan nilai-nilai dalam buku tersebut.

Ilmu itu menjadi begitu berharga dan bernilai apabila kita mengamalkannya dalam kehidupan kita sehari-hari. Sekecil-kecil perkara yang ada dalam setiap buku, harus kita amalkan agar pembacaan kita menjadi bernilai.

Bukan setakat sebuah hobi. Membaca adalah sebuah pekerjaan pembentukan diri kita. Apa yang kita baca membentuk cara fikir dan tindak tanduk kita. Apa yang membezakan kita dengan orang lain kadang-kadang hanyalah amal atau berbuat atau berkerja. Misalnya, hanya orang yang cuba mengikut resepi yang dibacanya dalam buku masakan akan beroleh manfaat yang besar darinya berbanding orang yang hanya membacanya. Begitu juga dengan buku-buku lain.

 

Keempat – hadiahkan buku kepada kawan-kawan, keluarga atau sesiapa sahaja!

Apabila sebut tentang memberi hadiah buku, terkadang kita membayangkan buku-buku dengan harga yang mahal. Nilai sebuah hadiah bukan terletak pada nilai RM darinya. Tetapi nilai ingatan dan niat si pemberi tadi.

Jika kita ada bajet yang lebih, dari menghadiahkan gajet yang mahal atau bunga yang akan layu atau coklat yang sekali makan terus habis, gantikanlah ia dengan sebuah buku. (Eh, tapi bukanlah setiap masa bagi buku, gilir-gilirlah dengan coklat ke. Hehe. Nyum-nyum, sedapnya coklat).

Bukan apa, membaca harus dijadikan budaya. Salah satu caranya adalah dengan memberi hadiah. Kalau bajet tak cukup banyak, boleh sahaja hadiahkan buku yang kita sedia ada yang kita dah baca. Uish, lagi berharga. Beri barang yang paling kita sayang. Itu bukti sayang.

 

Kelima – beri pinjam atau bertukar-tukar buku.

Buku-buku yang anda beli di PBAKL 2019 tempoh hari, boleh pinjamkan atau bertukar dengan kawan-kawan atau ahli keluarga. Hal ini juga penting bagi menjadikan pembacaan sebagai budaya. Tambahan pula, minat dan kecenderungan setiap orang kan berbeza-beza.

Sekali-sekala cuba pinjam buku kawan untuk memahami buku yang bagaimana dia suka. Dari situ juga kita boleh faham, “Ohhh, sebab itulah peribadi dan karakternya begitu, sebab buku-buku bacaannya begini.” Oleh itu, kita akan lebih memahami.

Sekian perkongsian kali ini. Selamat membaca, berkongsi, beramal, memberi hadiah dan bertukar- tukar buku! Moga terus tetap semangat menjadikan membaca budaya kita.

 

Akhir sekali Kak Iman kongsikan kata- kata daripada:

( Dr. ‘Aidh Abdullah al-Qarni dalam bukunya Aku, Buku dan Cinta )

“Di saat engkau berdua-duan dengan sebuah buku, zaman akan menjadi singkat.

Masa akan hadir di depanmu. Pelajaran-pelajaran akan datang mendekatimu.

Nasihat yang menyentuh dan pengalaman-pengalaman akan datang

untuk menambahkan semangatmu.

Keajaiban akan datang dan membuatmu kagum.

Perahlah ilmu dari dalam buku. Di dalamnya terdapat istana pemikiran.

Pemilik buku, lebih kaya daripada Qarun, lebih kuat daripada tentera al-Nu’man. “

 

Sekian dulu untuk kali ini.